10 Cara Berkomunikasi dengan Baik dan Berkesan dalam Whatsapp


Anda ada berapa kumpulan WhatsApp? Mungkin ada yang menjawab 3 atau 10. Bahkan, mungkin juga lebih dari 20.

Ada Whatsapp group family, ada juga Whatsapp group pejabat. Ia semakin bertambah bila group dalam group, akan buat lagi group baru.

Kehebatan masyarakat kita dalam penggunaan aplikasi WhatsApp terbukti dengan laporan statistik The Digital News Report 2017, yang merekodkan pengguna internet di Malaysia sebagai pengguna aplikasi WhatsApp tertinggi di dunia.

Dalam perhubungan siber ini, tindakan ahli keluar (left) dari kumpulan WhatsApp memang biasa berlaku. Selalunya, ia disebabkan cara berkomunikasi dengan baik dan berkesan diabaikan dan tidak diambil peduli.

Bila ini terjadi, macam-macam reaksi dan tafsiran akan timbul daripada ahli-ahli. Sedangkan pada awal kewujudannya, suasana kumpulan begitu meriah. Hinggalah pada suatu ketika, yang tinggal hanyalah ‘founder’ merangkap admin serta beberapa kerat sahaja ahli.

Lebih mengharukan, kumpulan itu akhirnya menjadi sepi bagai tanah perkuburan.

Kita cuba lihat apa yang boleh dilakukan supaya kumpulan WhatsApp yang kita sayangi itu akan terus kekal dan membuahkan silaturrahim yang bertambah subur dari hari ke hari.

1.  Admin jangan buat tidak tahu

Tip pertama diberikan kepada pentadbir kumpulan. Pentadbir atau ‘admin’ sangat penting kerana ia umpama ‘fasilitator’ atau ‘pemantau’ yang mempastikan kumpulan berjalan baik.

Tidak salah jika pihak admin kerap mengingatkan tujuan asal penubuhan kumpulan atau menggalakkan interaksi yang mesra. Jika satu kumpulan hanya ada seorang pentadbir, ahli akan berasa kumpulan itu umpama milik pentadbir.

Kumpulan yang mempunyai ramai pentadbir pula akan mewujudkan rasa kekitaan yang lebih tinggi. Jika ada sebarang konflik, lebih ramai ‘admin’ yang dapat bekerjasama antara satu sama lain.

2. Mohon izin sebelum masukkan ahli

Ada baiknya sebelum memasukkan seseorang ahli, minta izin terlebih dahulu daripadanya. Ini akan menjadikan dia lebih bersedia dan tidak rasa terpaksa memasuki satu-satu kumpulan.

Sekiranya ia tidak mahu, tiada siapa yang boleh memaksanya, kecuali kumpulan itu sebahagian daripada tugas rasmi yang diarahkan.

3. Raikan perbezaan pendapat

Apabila ada ahli yang bertanya atau berkongsi sesuatu maklumat yang memang berfaedah, ahli-ahli memberi respon. Walaupun seorang sahaja pun yang memberi respon, ia memuaskan hati rakan kita.

Setidak-tidaknya gunakan emoji angkat ibu jari itu bagi menghargai rakan kita itu. Ucapan terima kasih, pujian dan juga sedikit komen tentunya lebih baik. Mesej (yang penting dan bermanfaat) yang tidak dikomen akan membuat pengirimnya rasa dipinggirkan.

4. Ejaan penuh dan ayat jelas

Dalam komunikasi menggunakan teks, ejaan penuh sentiasa menunjukkan penghantarnya seorang yang berhemah. Mengeja seperti yang digelarkan sebagai ‘budak Wechat’ elok dielakkan.

Lagi pun, ada kemungkinan singkatan yang digunakan itu sukar difahami oleh orang tertentu, lalu menimbulkan salah faham atau membuat rakan kita malas untuk membacanya. Tulisan seperti ‘pe kbr chat ke? Lm x jpe, aq nampak ko dh krs skrg’ akan membuat otak kita letih membacanya.

5.  Elakkan berkongsi mesej yang kontroversi, belum sahih, atau separuh benar

Apabila kita menerima mesej yang bersifat kontroversi, meragukan atau dari sumber yang tidak rasmi, eloklah dibiarkan daripada dikongsi ke dalam kumpulan.

Ada dalam kalangan rakan atau ahli akan merasa bosan dengan hadirnya mesej atau video sebegitu. Jalan paling mudah, tekan ‘left group’.

Untuk ini, sebenar ada banyak laman sesawang yang kita boleh jadikan rujukan jika tidak pasti tentang informasi yang singgah di garis masa atau kumpulan WhatsApp, contohnya rootofscience.com, sebenarnya.my, dan pseudoscience.watch.

Perkongsian mesej berunsur tazkirah dan nasihat adalah baik, namun elakkan mesej yang kandungannya pelik lagi tidak diketahui sumbernya.

6. Elakkan perkongsian berunsur lucah

Jika ada ahli yang gemar berkongsi gambar atau video seperti yang disebutkan, sudah tentu ramai ahli yang berasa tidak perlu lagi berada dalam kumpulan. Ada banyak perkara yang boleh menjadi bahan gurauan selain gambar separuh lucah,  atau seumpamanya.

7. Elak topik terlalu serius

Kumpulan WhatsApp bukanlah wadah untuk berbincang sesuatu yang terlalu serius dan menggantikan mesyuarat. Untuk membuat keputusan yang penting, atau membincangkan hal-hal bersifat akademik, perjumpaan bersemuka dan mesyuarat tetap jalan yang terbaik.

Berbahas, berhujah dan berdebat di dalam kumpulan WhatsApp kerapkali tidak menyelesaikan sesuatu isu, bahkan meninggalkan rasa tidak puas hati. Bukan sahaja mereka yang terlibat mungkin keluar dari kumpulan, bahkan ahli lain yang rasa kurang selesa akan meninggalkan kumpulan.

8. Elakkan politik kepartian

Topik politik sememangnya topik yang menarik, namun sensitif bagi kebanyakan orang. Apatah lagi bila menyentuh nama-nama pemimpin atau parti-parti politik itu sendiri.

Oleh itu elakkan berkongsi bahan-bahan kempen politik atau berita-berita dari portal parti yang kita sokong, bagi mengelakkan rakan-rakan berdebat atau pergi meninggalkan kumpulan. Kecualilah memang kumpulan itu semuanya ahli parti yang sama atau memang itu kumpulan itu berkenaan cawangan parti kampung tertentu.

9. Jangan monopoli perbualan

‘Asyik-asyik dia saja bercakap’. Ahli-ahli suka mendengar lebih ramai rakan mereka dalam perbualan. Jika kita sahaja yang gemar menaip, menghantar mesej atau video dalam kumpulan tanpa henti, itu menimbulkan perasaan bahawa kumpulan itu milik kita seorang.

Maka, sikap berpada-pada perlu diamalkan. Lainlah jika kumpulan itu memang dikhaskan untuk majikan menyampaikan arahan dari semasa ke semasa.

10.  Saling memahami, berlapang dada dan bersangka baik

Walaupun kita mengharapkan suatu yang ideal dalam kumpulan maya ini, perkara yang tidak diingini atau kurang disenangi pastinya tidak dapat ditiadakan. Jika serius sepanjang masa pun, tentu membosankan.

Demi menjaga kemaslahatan semua pihak dan silaturrahim yang telah terbina, kita amalkan berlapang dada dan bersangka baik dengan kerenah rakan-rakan.

Semua orang ada urusan hidup masing-masing yang mungkin menyebabkan mereka terlepas pandang kandungan di telefon. Dan kumpulan WhatsApp bukanlah satu-satunya medium untuk kita berhubung satu sama lain.

Perlu diingatkan berkomunikasi dengan baik ini bukan hanya boleh digunapakai di pejabat sahaja. Ia sama sahaja, samada dengan pelanggan mahupun keluarga dan anak-anak. Semoga kita sentiasa menjaga jari-jari kita dari menaip yang tiada manfaatnya.

Layari The Berkat untuk lebih informasi tentang pendidkan dan kerjaya.

[yasr_overall_rating size=”medium”]

Rate this post

Carian dari Google:

  • group whatsapp hilangkan bosan

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Yang Berkaitan