Cara Mandi Wajib Yang Betul (Jangan Main Hentam, Takut Tak Sah)


Apabila anda sedang berada dalam keadaan berhadas besar, anda perlu menyucikan diri terlebih dahulu sebelum anda meneruskan dengan ibadah wajib yang lain seperti solat, membaca Al-Quran dan lain-lain. Ini bermakna, mahu mandi perlu ada ilmu. Perlu tahu apa cara mandi wajib yang betul, yang bukan main hentam keromo sahaja.
Akan tetapi, tak ramai yang tahu rukun mandi wajib yang betul seperti yang telah ditetapkan oleh hukum syarak.
Oleh itu, di bawah adalah panduan ringkas tentang cara mandi wajib yang boleh anda ikuti yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam (JAKIM) tentang kemusykilan akan cara mandi wajib yang sebenarnya.

Kenapa Perlu Mandi Wajib?

Terdapat beberapa sebab kenapa anda perlu mandi wajib iaitu:

  1. Keluar mani sama ada sengaja atau tidak
  2. Bersetubuh (Berjimak)
  3. Datang haid
  4. Nifas
  5. Wiladah
  6. Mati selain daripada mati syahid

 

Rukun Mandi Wajib

Terdapat tiga (3) rukun mandi wajib iaitu:

  1. Niat sama ada secara lisan atau dalam hati
  2. Menghilangkan segala kotoran dan najis yang terdapat pada anggota badan.
  3. Meratakan air ke seluruh anggota badan yang zahir termasuk ke semua bahagian lipatan badan.

 

Cara Mandi Wajib: Secara Umumnya

Cara mandi wajib yang betul sepertimana ditunjukkan oleh Baginda Rasulullah SAW adalah seperti berikut:

  1. Niat ketika air sampai ke tubuh
    Terdapat beberapa niat yang berbeza yang anda boleh lafazkan sesuai dengan sebab kenapa anda mandi wajib.Cara mandi wajib yang betul
  2. Membaca “Bismillah”
  3. Mencuci tangan sebanyak tiga kali
  4. Mencuci kemaluan dengan tangan kiri
  5. Membersihkan atau menyucikan tangan kiri dengan sabun
  6. Wuduk boleh dilakukan seperti wuduk biasa sepertimana biasa dilakukan sebelum melakukan solat. Ataupun boleh menangguhkan mencuci kaki selepas selesai mandi.
  7. Membasuh kepala dengan mengusap rambut secara meratakan kepala lalu siram 3 kali dengan air.

Ini berdasarkan hadith dari ‘Aisyah (R.A) di dalam Sahih al-Bukhari yang maksudnya:
“Kemudian Baginda SAW memasukkan jari-jarinya ke dalam air, kemudian mengusap rambutnya, kemudian menyiram kepalanya 3 kali dengan kedua-dua tangannya”
Ketika menyiram kepala, hendaklah dimulai dengan bahagian kanan, kemudian bahagian kiri dan seterusnya bahagian tengah kepala. Ini berdasarkan hadith ‘Aisyah (R.A) yang maksudnya:
“Baginda menyiram kepalanya di bahagian kanan, kemudian bahagian kiri”

  1. Memulakan dengan bahagian kanan tubuh.

Dari ‘Aisyah (R.A): “Sesungguhnya Rasulullah SAW suka mendahulukan bahagian kanan pada semua urusannya, ketika memakai kasut, ketika bersikat dan ketika bersuci”. (Sahih Muslim)

  1. Meratakan air ke seluruh tubuh badan

 

  1. Berwuduk jika hendak mengerjakan solat fardhu. Perbezaan antara mandi wajib dengan mandi sunat hanyalah pada niatnya sahaja. Cara kaedah mandi adalah sama.

 

Bagi wanita yang didatangi haid, nifas dan berjunub

Bagi wanita yang didatangi haid, nifas dan berjunub, anda boleh ikuti langkah-langkah seperti yang disebut di atas. Tetapi ketika anda hendak membasuh bahagian kepala, anda perlu membuka ikatan rambut anda supaya air dapat diratakan di antara ubun-ubun kepala anda.
Ini pula berdasarkan hadith ‘Aisyah (R.A) di dalam Sahih al-Bukhari di mana beliau kedatangan haid ketika menunaikan haji. Lalu Baginda Rasulullah SAW berkata sedemikian:
“Tinggalkanlah umrahmu, lepaskanlah ikatan rambutmu (ketika mandi) dan sisirlah rambutmu”
 

Bagaimana pula dengan bulan puasa?

Pada bulan puasa, anda hanya perlu mandi seperti biasa kerana syarat sah mandi wajib adalah meratakan air ke seluruh anggota badan zahir dan bukan rongga-rongga badan.
Sekiranya anda belum mandi wajib ketika masuknya waktu fajar, puasa anda kekal sah dan tidak akan membatalkan puasa anda sekiranya anda lupa untuk mandi wajib. Akan tetapi, anda perlu menyucikan badan sebagai persediaan untuk anda melakukan ibadah solat.
 

Bolehkah sabun digunakan semasa mandi wajib?

Anda boleh gunakan sabun sebagai alat untuk membersihkan segala kotoran dan najis yang ada pada anggota badan anda.
Pastikan air dapat diratakan sepenuhnya ke seluruh anggota zahir badan anda termasuklah pada bahagian lipatan badan.
 

Perkara sunat ketika mandi wajib

Perkongsian dari Mufti Wilayah Persekutuan, disunatkan bagi seseorang itu ketika mandi junub untuk menggosok keseluruhan badannya.
Bahkan disisi Imam Malik, beliau mewajibkannya kerana meratakan air sahaja tidak mencukupi dan tidak sempurna. Walaubagaimanapun, kotoran yang sedikit seperti daki, tidak menghalang air daripada terkena kulit.
Oleh itu, sah hukum mandi wajib walaupun tidak menghilangkan daki tersebut terlebih dahulu.
berkaitan kotoran di bawah kuku pula, pada kebiasaannya adalah disebabkan dari benda kotor asing dan bukan dari tindakbalas semulajadi badan, maka wajib untuk menghilangkannya terlebih dahulu sebelum berwuduk dan mandi wajib.
 

Akhir kalam

Cara mandi wajib yang betul
Kesimpulannya, kaedah menyucikan diri amatlah penting untuk dipelajari supaya ibadah harian kita dapat diterima oleh Allah S.W.T berikutan dengan kaedah penyucian yang betul.
Semoga bermanfaat.

Sebarkan kebaikan

Leave a Comment