Islam

Cara Solat Istikharah Ringkas, Untuk Petunjuk (Cinta, Jodoh, Kerjaya)

Cara solat istikharah

Bila hati tidak keruan dah berbolak-balik, disarankan agar melaksanakan solat istikharah. Samada tentang cinta, jodoh atau kerja sekalipun, kita semua digalakkan untuk solat istikharah agar mendapat ketenangan.

Maksud Solat Istikharah

Istikharah dari segi amalan adalah bermaksud untuk meminta yang terbaik. Kadang-kala kita didatangi dengan pelbagai pilihan, samada yang menarik atau tidak.

Ada buruk dan baiknya dalam memilih antara dua. Kadang-kala pula, tiada pilihan langsung dimana kita sedang terduduk buntu memilih jalan dan pintu apa yang harus dilalui.

Tujuan Solat Istikharah

“Pergilah solat istikharah”, detik hati. Namun, jangan sewenangnya meletakkan seluruh ‘tanggungjawab membuat pilihan ke atas solat tersebut. Apa guna segala deria dan akal fikiran yang telah Tuhan nikmatkan?

Pertama sekali, nilaikan dan senaraikan baik dan buruk setiap pilihan yang ada di atas kertas. Kemudian boleh mencuba untuk mencari maklumat dan bertanyakan kepada orang yang berpengetahuan agama, dipercayai dan bijaksana. Begitulah nasihat dari Imam Al-Nawawi.

Sekiranya sudah berusaha namun masih belum boleh memilih, di sini gunanya solat istikharah kepada kita. Kita memohon supaya Allah SWT memberi ilham dan petunjuk kepada kita dalam membuat keputusan yang terbaik.

Waktu Solat Istikharah

Rakaat solat ini adalah sebanyak dua rakaat sehingga dua belas rakaat, bergantung kepada setiap individu. Ia boleh dilaksanakan pada bila-bila masa, pagi, petang atau malam. Elok juga dilakukan pada waktu malam sebelum tidur.

Imam Abdul Al-Wahab Al-Sha’rani dan Sheikh Ibnu Al-Arabi pula mencadangkan ia dilakukan pada waktu dhuha, iaitu pada waktu ‘cantik’ dan waktu ‘rezeki’di mana ketika fajar sudah mula terbit sehingga sebelum tengahari.

Cara Mudah Solat Istikharah

Sekiranya dalam perjalanan atau mengalami haid, memadai dengan membaca doanya sahaja. Manakala berikut adalah cara solat istikarah yang ringkas bagi yang mampu;

  • Niat: “Sahaja aku solat sunat istikarah dua rakaat kerana Allah Taala.”
  • Rakaat pertama: Surah Al-Fatihah & Surah Al-Kafirun / tujuh kali ayat Al-Kursi
  • Rakaat kedua: Surah Al-Fatihah & Surah Al-Ikhlas
  • Ketika sujud terakhir, pohonlah kepada Allah S.W.Tdipertunjukkan jalan yang betul dalam membuat keputusan
  • Selepas memberi salam, bacalah alhamdulillah, berselawat dan diikuti bacaan doa istikarah

Doa Solat Istikharah

Doa boleh dibaca dalam bahasa Arab atau terjemahan bahasa Malaysia sepertimana berikut;

“Ya Allah, aku memohon agar Engkau memilihkan mana yang baik pada ilmu Engkau ya Allah. Aku memohon agar Engkau memberikan kepastian melalui ketentuanMu dan aku memohon limpahan Engkau Yang Maha Agung, kerana sesungguhnya Engkau Yang Maha Berkuasa, walhal aku tidak tahu dan Engkaulah Yang Amat Maha Mengetahui segala sesuatu yang masih tersembunyi.”

 

“Ya Allah, jika persoalan ini…(nyatakan persoalan anda itu di sini)…baik bagiku, baik bagi agamaku, dan baik bagi hidupku, maka mudahkanlah ia bagiku, kemudian berikanlah keberkatan didalamnya untukku.”

 

“Ya Allah, jika sesungguhnya persoalan ini…(nyatakan persoalan anda itu di sini)… tidak baik bagiku, bagi agamaku dan penghidupanku, juga tidak baik akibatnya bagiku, maka jauhkanlah hal ini daripadaku, dan jauhkanlah aku daripadanya. Taqdirkanlah aku (dengan) kebaikan di mana sahaja aku berada kemudian jadikanlah aku orang yang redha atas anugerah Mu.”

 

Tunggu Mimpi Selepas Solat Istikharah

Setelah berusaha memilih, bertanya dan berdoa, berserahlah kepada Allah SWT. Pilihan kadang-kala dipertunjukkan melalui mimpi, atau gerak hati.

Walaubagaimanapun, kita tidak semestinya akan ternampak mimpi atau tanda. Allah Maha Berkuasa. Kemungkinan Allah SWT akan meletakkan sedikit kecenderungan di dalam hati kita untuk menjalankan sesuatu tindakan atau sebaliknya.

Doa Istikharah Memilih Kerja

“Ya Allah! Jika Dikau mengetahui bahawa pekerjaan yang aku telah terima ini…” dan sambung doa istikarah seperti diatas.

Doa Istikharah Jodoh dan Memilih Pasangan

Begitu juga sekiranya anda ingin melaksanakan solat istikarah untuk memilih jodoh yang terbaik untuk diri anda, anda boleh tukarkan kepada “(nama jodoh) sebagai pasangan hidup” .

Walaubagaimanapun, anda bebas untuk menggunakan ayat sendiri yang lebih anda fahami kerana Allah Maha Mengetahui apa yang anda ingin nyatakan.

Kelebihan Solat Istikharah

Akhir kata, berikut adalah kelebihan solat istikharah kepada umat islam;

  • Menguatkan hubungan Makhluk dengan Sang Pencipta
  • Menenangkan fikiran dan memberi keyakinan
  • Mengingati kisah Nabi Ibrahim mendapat ilham mengorbankan anaknya melalui mimpi
  • Kisah Nabi Yusuf dan kehebatannya menafsir ilmu mimpi
  • Mengikut amalan anjuran Nabi Muhammad SAW

Akhir kalam

Semoga bermanfaat. Ingatlah, setiap pilihan ada baik buruknya. Setiap baik buruk ada pengajarannya. Setiap pengajaran akan memantapkan kita sebagai seorang insan. InsyaAllah.

Click to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Yang Popular

To Top