Cara Solat Tahajjud Yang Ringkas (Bangunlah Malam, Qiamullail)


Apabila anda terjaga daripada tidur pada waktu malam, ianya dituntut untuk anda melakukan ibadah solat sunat tahajjud bagi mendapatkan rahmat daripada Allah S.W.T. Apalah salahnya mendirikan 2 rakaat solat tahajud? Sebelum itu, kena tahu cara solat tahajjud yang ringkas dan mudah. Bila sudah biasa, tak akan rasa terbeban.
Maka, izinkan kami terangkan panduan melakukan solat sunat tahajjud yang diambil daripada penerbitan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan laman web Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.
 

Maksud Solat Sunat Tahajjud

Tahajjud ialah solat sunat apabila anda terjaga daripada tidur malam walaupun hanya tidur sebentar. Solat ini dilakukan selepas daripada waktu isyak sehingga terbit waktu fajar.
Akan tetapi, waktu paling afdhal dalam melakukan ibadah ini adalah pada satu pertiga malam iaitu pada kira-kira jam 3.00 pagi sehingga terbitnya fajar. Solat ini dilakukan sekurang-kurangnya dua rakaat samada bersendirian atau secara berjemaah.
Pengerjaan ibadah ini dapat dilihat daripada firman Allah S.W.T di mana Allah berfirman:
“Dan pada sebahagian malam hari bersolat Tahajjudlah kamu sebagai suatu ibadat tambahan bagimu; Mudah-mudahan Tuhan-mu mengangkat kamu ke tempat yang terpuji.”
(Surah al-Isra’: 79)
 
Terdapat juga hadith daripada Rasulullah SAW yang bersabda:
“Kerjakanlah solat malam sebab itu adalah kebiasaan orang solihin sebelum kamu, juga suatu jalan untuk mendekatkan diri kepada Tuhanmu, juga sebagai penebus segala amalan buruk, pencegah dari perbuatan dosa dan dapat menghalangi penyakit dari badan.”
(Riwayat Tirmizi dan Ahmad r.a.)
Oleh itu, ianya tidak dinafikan lagi bahawa ibadah ini sememangnya dianjurkan oleh Rasulullah dan para sahabat berikutan dengan firman Allah S.W.T yang turun bersama dalam ayat 79 Surah Al-Isra’.
 

Fadhilat dan Kelebihan

Kita bukannya perlu tahu cara solat tahajjud sahaja. Perlu juga tahu apa kelebihannya, supaya lebih termotivasi dan terinspirasi untuk bangun setiap malam.
Terdapat banyak kelebihan dan fadhilat sekiranya anda mengamalkan solat sunat tahajjud sebagai rutin ibadah harian anda.
Di samping ganjaran pahala yang banyak, anda juga akan dinaikkan darjat anda jika anda istiqomah dalam melakukan ibadah solat sunat tahajjud ini. Oleh itu, antara fadhilat yang lain yang datang bersama amalan solat tahajjud ini adalah:

  • Mendapatkan perlindungan dan pengawasan Allah S.W.T dan menampakkan kesan-kesan ketaatan pada wajah anda.
  • Dikasihi oleh para ahli ibadat dan orang-orang mukmin.
  • Percakapan anda akan mempunyai hikmah, kebenaran dan bijaksana.
  • Wajah anda akan menjadi bersih bersinar dan bercahaya semasa dibangkitkan di padang mahsyar.
  • Anda akan dimudahkan hisab.
  • Anda mudah untuk melalui Titian Siratul Mustaqim seperti kilat yang menyambar.
  • Anda akan menerima anugerah catatan amalan dengan tangan kanan.
  • Anda dijauhkan daripada kebinasaan.

 

Waktu Sembahyang Malam

Dalam hal ini, sumber dari Mufti Wilayah Persekutuan mengatakan ada tiga pendapat:

  • Pada mulanya tidur, kemudian solat, kemudian tidur dan kemudiannya solat.
  • Bersolat setelah tidur terlebih dahulu.
  • Dilakukan selepas solat Isya’.

Inilah dakwaan oleh para ulama’ tabi’in berkaitan cara tahajjud. Boleh jadi mereka melandaskan pandangan itu kepada perbuatan Nabi SAW yang tidur dan solat, kemudian tidur, dan bangun bersolat.
Lantaran itu, mereka menjadikan perbuatan Baginda SAW itu sebagai menunjukkan bagaimana menjunjung perintah dalam ayat al-Quran terbabit. Jika demikian halnya, maka tidak jauh kemungkinan benarnya pendapat tersebut.
 

Cara Solat Tahajjud: Mengerjakan Solat Sunat Malam yang Ringkas

Solat Tahajjud amatlah mudah untuk didirikan dan anda boleh lakukannya sekurang-kurangnya 2 rakaat. Di bawah adalah tatacara dalam melakukan solat sunat tahajjud:

  1. Niat

Niat solat tahajjud
Maksudnya: “Sahaja aku sembahyang sunat Tahajjud dua rakaat kerana Allah Taala.”
 

  1. Bacaan Dalam Solat

Rakaat Pertama:
Pada rakaat pertama anda boleh baca surah al-Fatihah dan disambung dengan surah al-Kafirun
Rakaat pertama
 
Rakaat Kedua:
Pada rakaat kedua anda boleh baca surah al-Fatihah dan disambung dengan surah al-Ikhlas
Rakaat kedua
 

Doa Selepas Solat Malam

Doa selepas solat tahajjud
Maksudnya: “Ya Allah bagi-Mu segala pujian, Engkaulah Pencipta semua langit dan bumi serta segala yang terdapat di dalamnya.
Bagi Engkau segala pujian,Engkaulah yang menerangi semua langit dan bumi dan orang-orang yang berada di dalamnya. bagi Engkau segala pujian, Engkaulah yang benar dan janji Engkau adalah benar, syurga dan neraka adalah benar, semua nabi Engkau adalah benar, Muhammad SAW adalah benar, dan hari kiamat adalah benar.
Ya Allah kepada-Mulah aku serahkan diriku, aku percaya kepada Engkau, tempat aku berserah diri dan kepada Engkau aku kembali, dengan pertolongan Engkau aku menghadapi musuhku, kepada Engkau aku berhukum.
Ya Allah ampunilah dosa-dosaku yang terdahulu dan terkemudian, dosa yang tersembunyi dan yang nyata dan dosa yang hanya Engkau sahaja yang mengetahui. Engkaulah yang dahulu dan yang akhir, tiada tuhan kecuali Engkau dan tiada daya upaya kecuali dengan pertolongan Engkau.”
 
Sebenarnya, tidak semestinya perlu ikut doa selepas solat tahajjud ini sepenuhnya. Anda digalakkan juga untuk berdoa apa-apa sahaja dalam Bahasa Melayu. Lebih afdal ialah apa sahaja yang terbuku dalam hati, dan luahkannya dengan mulut.
Berdoalah. Merintihlah, sehingga menangis teresak-esak.
 

Akhir kalam

Kesimpulannya, solat sunat tahajjud ini sangatlah mudah untuk diamalkan.
Semoga panduan cara solat tahajjud ini dapat membantu anda dalam mendirikan solat sunat tahajjud dengan lebih istiqomah. Apabila terjaga, ambillah wuduk, berjagalah malam dan dirikanlah qiamullail walau sebentar. Sambung pula dengan solat sunat taubat dan solat sunat hajat jika ada masa.
Semoga malam-malam kita lebih indah dan diberkati.
Semoga bermanfaat.
 

Carian dari Google:

  • cara solat sunat tahajjud
  • qiamullail solat
  • solat sunat qiamullail
Sebarkan kebaikan

Leave a Comment