20+ Cara Tambah Berat Badan (Untuk Bayi, Kanak-kanak, Ibu Hamil & Orang Dewasa)


Media massa sering memfokuskan isu berat badan berlebihan atau obesiti dalam kalangan masyarakat. Namun, masalah berat badan kurang juga tidak boleh dipandang enteng. Mengapa perkara ini boleh berlaku? Dan bagaimana pula satu lagi pihak yang mahu naikkan berat badan, dan mencari-cari cara tambah berat badan? Salahkah mereka untuk nampak sihat dan tidak kurus?
Mengikut Kementerian Kesihatan MalaysiaKementerian Kesihatan Malaysia, masalah ini boleh berlaku apabila Indeks Jisim Tubuh (BMI) lebih rendah dari 18.5. Maksudnya, berat badan individu tersebut ialah 15% hingga 20% lebih rendah berbanding purata berat dengan umur dan jantina individu lain.
Mungkin anda akan berasa lebih mudah untuk menambahkan berat badan berbanding mengurangkannya.
Betul ke pandangan seperti itu? Sebenarnya, isu ini tidak semudah yang dibayangkan. Ini kerana bukan semua individu mempunyai tahap metabolisme, emosi, ilmu pemakanan dan kesedaran yang sama. Justeru, artikel ini akan cuba untuk mencari jalan penyelesaian bagi masalah ini.
Perbincangan ini akan menyentuh tiga golongan utama yang terdedah kepada masalah kurang berat badan iaitu golongan bayi dan kanak-kanak, ibu hamil dan orang dewasa.
 

Cara tambah berat badan (Untuk bayi & kanak-kanak)

 

  1. Langkah pertama yang perlu diambil ialah merujuk pakar perubatan untuk memastikan anak-anak kita tiada masalah kesihatan. Antara masalah yang menyekat selera makan mereka ialah alahan, kecacingan, jangkitan virus dan sebagainya. Jika keputusan menunjukkan mereka sihat, anda boleh memulakan langkah seterusnya.
  2. Ibu bapa perlu menyediakan jadual makan yang konsisten. Walau sesibuk manapun kita, pastikan keperluan pemakanan anak-anak terjaga. Kita perlu membiasakan anak-anak makan mengikut waktu yang betul iaitu sarapan, makan tengah hari, minum petang dan makan malam.
  3. Kita boleh memberikan anak-anak makanan tinggi kalori seperti kekacang, yogurt, keju, susu penuh krim dan sebagainya. Elakkan menyediakan makanan segera dan diproses seperti pizza, kentang goreng, nuget, mi segera dan sebagainya. Walaupun makanan-makanan ini tinggi kalori, namun kesemuanya langsung tidak berkhasiat.
  4. Kanak-kanak cenderung untuk menyukai makanan dan minuman yang manis dan berwarna-warni. Itulah sebabnya mereka suka makanan ringan yang tiada sebarang nutrien di dalamnya. Dalam konteks ini, ibu bapa perlu bijak mengawal psikologi mereka. Janganlah memaksa mereka makan sesuatu yang tidak disukai. Sebaliknya, ajaklah mereka menyediakan makanan bersama-sama seperti membuat sandwic, bubur nasi dan sebagainya.
  5. Selain itu, pelbagaikan cara penyediaan makanan yang kaya dengan karbohidrat, protein dan vitamin. Jika anak-anak tidak suka makan sayur, cubalah cara yang paling kreatif untuk menarik minat mereka. Misalnya membuat roti, lempeng dan bubur yang mengandungi lobak, kentang, brokoli, bayam dan sebagainya.
  6. Tahukah anda susu ibu tersenarai antara sepuluh makanan terbaik di dunia? Golongan ibu digalakkan untuk menyusu bayi mereka. Ini sebab susu ibu kaya dengan mineral dan vitamin untuk tumbesaran bayi dan melindungi mereka daripada jangkitan penyakit.

 

Cara tambah berat badan (Bagi ibu hamil / mengandung)

 

  1. Para ibu perlu mengamalkan diet yang sihat dan berkhasiat. Amalkan pemakanan sunnah seperti buah delima, kismis, susu kambing, madu, kekacang, habbatus sauda dan madu. Makanan-makanan ini terbukti sangat berkhasiat, lebih-lebih lagi untuk ibu mengandung. Jangan lupa minta suami belikan ya!
  2. Golongan ini juga perlu konsisten dalam pemakanan harian. Mereka perlu makan sebanyak lima hingga enam kali sehari dengan pengambilan saiz hidangan yang kecil. Elakkan makanan yang tinggi garam dan terlalu manis. Apabila makan dengan kerap dengan saiz hidangan yang kecil, tiada masalah berat badan kurang.
  3. Ibu-ibu yang hamil akan sentiasa berasa lapar atas faktor hormon, emosi dan sebagainya. Oleh itu, pastikan sentiasan membawa snek berkhasiat di mana-mana. Antaranya ialah yogurt, oats, kekacang dan sebagainya. Elakkan mengunyah makanan yang tinggi kalori, namun tiada sebarang faedah untuk diri sendiri dan anak yang dikandung.
  4. Buang jauh-jauh amalan turun-temurun ‘makan untuk dua orang.’ Malahan, tabiat ini memang akan menaikkan berat badan dengan mudah tetapi dengan cara yang salah! Kadar kalori yang perlu diambil oleh ibu hamil ialah tambahan sebanyak 300 kcal (kalori) berbanding dalam keadaan biasa.
  5. Fokus pada kesihatan diri sendiri dan bayi yang dikandung. Jangan mengamalkan sebarang jamu atau makanan kesihatan untuk menambahkan selera makan. Pengambilan makanan mengikut piramid makanan sudah mencukupi untuk tubuh badan. Jika masih gagal mendapat berat badan yang ideal, tambahkan snek sihat dalam pengambilan makanan harian.

 

Cara tambah berat badan (Untuk orang dewasa yang kurus)

 

  1. Ini ialah tips menarik untuk anda semua! Jangan makan nasi berulamkan air. Malah, sebelum makan, elakkan minum air secara berlebihan. Ini akan membuat perut kita menjadi kenyang dan seterusnya saiz hidangan juga menjadi lebih sedikit. Baru sahaja makan dua suap, sudah tidak larat hendak makan lagi.
  2. Kadang-kadang kita perlu bermain dengan psikologi sendiri. Untuk mengambil makanan yang lebih banyak, gunakan pinggan yang lebih besar. Kita cenderung untuk memenuhkan pinggan tersebut dengan makanan. Namun, pastikan makanan itu berkhasiat dan yang lebih penting jangan pula membazir. Ambil mengikut kemampuan diri sahaja.
  3. Jangan lupa untuk mendapatkan tidur yang mencukupi selama lapan jam setiap hari. Kualiti tidur yang buruk akan mengganggu kesihatan mental dan emosi. Tubuh menjadi lesu, badan tidak bertenaga dan seterusnya mengganggu selera makan. Oleh itu, macam mana sibuk pun kehidupan harian, jangan lupa tidur dengan nyenyak!
  4. Jangan cenderung untuk menjaga badan secara keterlaluan hingga mengakibatkan penyakit bulimia dan anoreksia nervosa. Jangan jadikan model-model barat sebagai idola untuk meniru bentuk badan mereka. Yang paling penting ialah memiliki tubuh badan yang sihat bukannya cantik tetapi berpenyakit.
  5. Jangan meninggalkan waktu makan yang utama seperti sarapan, makan tengah hari dan makan malam. Sentiasa pastikan kita makan mengikut waktu untuk mengelakkan perut kosong. Tabiat melangkau waktu makan akan mengakibatkan masalah lain seperti gastrik dan sebagainya.
  6. Tetapkan target untuk mendapatkan berat badan ideal secara beransur dan sihat. Jangan sesekali mencuba ubat-ubatan tanpa nasihat doktor. Jangan berhenti mencuba sehingga berjaya mendapat berat badan yang diingini.
  7. Pupuklah tabiat membaca tentang ilmu pemakanan dan diet melalui buku, majalah dan Internet. Kini, semuanya di hujung jari sahaja.

 

Akhir kalam

Tips tambah berat badan
Diharapkan penulisan ini dapat memberi idea untuk sesiapa sahaja yang mengalami masalah kekurangan berat badan.
Mungkin pada awalnya sukar untuk mengubah tabiat harian, namun tiada yang mustahil. Tubuh badan merupakan amanah tuhan yang diberikan kepada kita. Justeru, kita bertanggungjawab menjaga kesihatan tubuh badan dengan sebaik-baiknya.
Jika benar-benar ingin kurangkan berat badan, boleh baca tentang kebaikan chia seed. dan cuba cara diet Atkins. Sebaliknya, jika benar-benar mahu tambahkan berat badan, sila baca semula 3 bahagian di atas.
Semoga bermanfaat.

Carian dari Google:

  • makanan yang boleh tambah berat baby dalam perut
  • resepi makanan untuk tambah berat badan bayi
  • resepi untuk tambah berat badan bayi
Sebarkan kebaikan

Leave a Comment