Relationship

10+ Cara Untuk Melupakan Seseorang (Yang Pernah Singgah di Hati)

Cara untuk melupakan seseorang

Ya, memang susah untuk melupakan seseorang. Asyik teringat-ingat. Tiap-tiap hari, hidup rasa tak keruan.

Rasa macam sasau pun ada. Gila, mungkin juga. Semuanya rasa tak kena.

 

Kalau kita ingat dia, adakah bermakna kita suka dia?

Tidak semestinya. Ini kerana dalam beberapa situasi, memikirkan seseorang sepanjang masa tidak bermakna anda tertarik pada dia.

Bahkan, terdapat banyak sebab mengapa anda boleh selalu memikirkan orang lain; di mana salah-satu penyebabnya adalah mungkin anda membenci orang itu sampai asyik teringat tentangnya!

Cuba tanya diri anda sendiri, adakah anda masih mengingati insan yang pernah menyakiti hati anda?

Misalnya, boleh jadi anda selalu mengingati si A yang acap kali menindas anda di tempat kerja dan dek kerana perasaan tidak suka terhadapnya anda jadi selalu teringat-ingat pada si A itu!

 

Macam mana untuk move on?

Izinkan kami berkongsi sedikit cara untuk melupakan seseorang selamanya dengan cepat; yang kita suka dan yang mungkin kita tidak suka. Yang kita cinta, dan mungkin yang kita tidak cinta.

Pokoknya, untuk move-on, kena belajar cara melupakan dia. Tak kuat mental untuk menghadapi realiti ini? Tidak mengapa, John Alex Clark dari ThoughtCatalog kata; anda boleh cuba. Tidaklah susah mana.

Teruskan membaca.

 

Belajar terima kenyataan

Ini adalah perkara yang pertama yang anda perlu buat. Kuatkan diri, cekalkan hati dan terus move-on. Tentu sekali bukan mudah, tapi pujuklah hati.

Buat apa dikenang kisah yang lalu?

 

Dekatkan diri pada Allah

Ini adalah cara paling mustajab, melupakan seseorang dengan cara Islam.

Kalau dulu mungkin Mid Valley, Pavilion atau kedai Starbucks menjadi tempat persinggahan anda. Kini, bertukarlah pula kepada masjid dan surau.

Kalau dulu solat asyik tak cukup 5 waktu, cuba cukupkan 5 waktu. Lebih baik lagi, cuba solat awal waktu. Berdoalah pada Allah.

Tak rugi kalau kita dekatkan diri dengan Allah. Pasti, Allah akan bantu. Kembalilah pada Islam.

 

Baca Al-Quran dan tafsirnya sekali

Seperti dijangkan, mungkin ada dulu hidup agak sedikit tersasar. Al-Quran yang ada mungkin juga sudah berhabuk.

Kini, apa salahnya ambil wuduk dan mulakanlah membaca semula.

Antara perkara yang kita boleh buat, selak mana-mana halaman Al-Quran sambil pejam mata. Baca mana-mana ayat yang ada depan mata.

Pasti, ayat itu akan ada kena mengena dengan kita.

 

Buang semua benda yang berkaitan dengan dia

Nampak macam biasa-biasa cara penyelesaian ini. Tapi percayalah, ini antara yang paling berkesan dari sudut psikologi.

Apabila kita tidak nampak apa-apa yang pernah menunjukkan kita pernah bersama dia, otak kita akan diprogramkan bahawa kita sudah lupakan dia. Itu semua sudah tiada. Hanya sejarah semata-mata.

 

Akhiri hubungan secara total

Kalau sudah tiada hati, buat apa berhubungan lagi? Kalau belum berkahwin, putuskan hubungan untuk beri peluang pada diri mencari pada orang lain yang sudi.

Kalau sudah berkahwin dan tiada lagi persefahaman, bercerailah cara baik. Pergi panjat pejabat agama cepat-cepat dan selesaikan semuanya.

Jangan biarkan hubungan tergantung.

 

Sibukkan diri dengan aktiviti

Sibukkan diri anda dengan kerja atau lakukan aktiviti yang anda sukai. Kalau sibuk dengan kerja, janganlah sampai tahap workaholic pula.

Misalnya, mungkin anda boleh pergi bercuti bagi menenangkan fikiran atau meluangkan masa dengan melakukan perkara yang anda minati seperti memancing, memasak hidangan kegemaran anda atau berkumpul bersama keluarga.

Jadi secara tidak langsung, fikiran anda akan teralih dek kerana kesibukan anda itu.

 

Bersukan, keluarkan peluh

Sekarang, ramai yang berlari marathon dan berbasikal. Apa salahnya mencuba?

Buat orang yang jenis sukar melupakan, amatlah disarankan untuk anda bersukan, kerana aktiviti seperti ini mampu mengeluarkan Endorphin, sesuatu reaksi kimia dalam badan yang mampu meransang seseorang untuk berasa gembira. Jadi, selain menyihatkan badan, anda juga boleh melapangkan fikiran dan merasa ceria.

 

Jangan duduk sendirian

Bagi yang baru putus cinta pula, jangan biarkan diri anda bersendirian kerana anda akan merasa sunyi lalu mengingati kenangan-kenangan lalu.

Sebaliknya keluarlah melepak dengan teman-teman rapat atau berkumpul bersama keluarga.

Orang sekeliling juga haruslah selalu peka dan perihatin ya dengan bertanyakan khabar jika teman anda baru sahaja putus cinta, jangan dibiar teman anda bersendirian.

 

Jangan layan perasaan sangat

Fikirkan situasi ini. Bila kita tiba-tiba teringat seseorang, dan terus teringatkan dia, kita akan mainkan kotak memori dalam 15-30 minit.

Itu tidak sepatutnya!

Perkara yang perlu dibuat ialah; apabila perasaan itu mahu masuk, terus suruh otak fikir perkara lain. Ada satu cara yang dipanggil rubber band technique.

Nama sahaja teknik Mat Salleh, tapi sebenarnya ia adalah teknik guna getah gelang. Caranya, jentik diri sendiri dengan getah.

 

Akan ada pengganti yang terbaik nanti

Percayalah, perginya seseorang itu kerana akan ada lagi seseorang yang mengganti. Tertutupnya satu pintu itu bukan bermakna tiada lagi jalan keluar. Kalau kita positif, itu sebenarnya satu peluang yang amat besar.

Belajarlah jadi positif dan jangan fikir yang bukan-bukan.

 

Anda tidak berseorangan

Ketahuilah, bukan anda sahaja yang pernah mengalami syndrome asyik teringatkan seseorang ni, di luar sana juga banyak orang yang mengalami hal yang sama.

Jadi kami di The Berkat berharap sesiapa yang sedang mengalami situasi ini untuk cuba mengaplikasikan cara-cara yang kami cadangkan di atas. Mana tahu, ia dapat membantu melupakan atau mengurangkan minda anda daripada terus menerus mengingati insan tersebut.

Namun apapun, mengingati seseorang itu tidaklah salah, namun jangan pula sampai makan tidak kenyang, tidur tidak lena, kerja tidak jalan dan akhirnya memakan diri pula.

 

Akhir kalam

Mengingati seseorang itu tidak salah. Mengingati momen indah bersama si dia, sampai semua kerja tergendala juga tidaklah salah.

Yang salah ialah bila timbul rasa ingin bunuh diri. Jika ada rasa begini, anda perlu seseorang untuk berbicara.

Yang terbaik, kembalilah pada tikar sejadah dan berbicaralah dengan Allah. Mudah-mudahan, segalanya dipermudahkan.

Click to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Yang Popular

To Top