Checklist Umrah Lelaki: 40+ Senarai Barang Keperluan Umrah


Sesiapa sahaja yang mendapat peluang untuk mengerjakan haji atau umrah, pastinya tidak sabar-sabar untuk menjadi tetamu Allah. Mana tidaknya, bukan semua orang berpeluang untuk mengerjakan tuntutan agama itu. Selain dapat melaksanakan ibadah di sana, para jemaah juga berpeluang melawat tempat-tempat bersejarah. Oleh sebab itu, kami begitu teruja untuk berkongsi checklist umrah lelaki.
Jika ingin mendapatkan checklist umrah wanita, boleh ke sini.

Checklist kelengkapan, keperluan & persediaan pergi umrah

Artikel ini ditulis untuk memberi panduan kepada jemaah yang bakal mengerjakan umrah. Namun, boleh juga digunakan sebagai checklist haji lelaki.
Penulisan ini adalah sebagai langkah awal persediaan umum untuk orang yang merancang untuk menunaikan kedua-dua ibadah ini kelak.

Bawa atau beli barang di sana?

Dikhabarkan bahawa harga sesetengah barangan di sana juga agak mahal. Oleh itu, perancangan yang rapi dapat menghindari masalah-masalah lain di sana nanti. Hendak beribadah pun hati menjadi tenang.
Namun, jika anda ada duit lebih dan rasa beg berat untuk bawa semuanya dari Malaysia, itu terpulang. Tiada paksaan.
Kami hanya akan menyenaraikan barangan yang perlu dibawa oleh jemaah lelaki serta kelengkapan umum. Selain itu, maklumat tempat untuk mendapatkan barangan tersebut juga akan dikongsikan.

Checklist Umrah Lelaki

Checklist umrah lelaki dan barangan keperluan haji
Ini ialah senarai barangan kelengkapan untuk jemaah lelaki yang ingin pergi menunaikan ibadah umrah. 

Kain ihram

Kain ihram merupakan pakaian wajib semasa melakukan ibadah haji dan umrah. Anda perlu menyediakan kain ini lebih awal sebelum bertolak ke Tanah Suci.
Dua helai kain ihram berwarna putih perlu disediakan. Satu kain akan digunakan sebagai sarung untuk tutup bahagian pusat hingga ke kaki. Sehelai lagi digunakan sebagai selendang untuk tutup tubuh.
Jemaah lelaki dilarang memakai sebarang pakaian berjahit seperti kemeja, singlet mahupun seluar dalam, stokin, kain pelikat dan kasut. Jangan tak tahu, topi, ketayap, serban dan songkok juga dilarang. Namun, untuk mengemaskan ikatan kain sarung, anda dibenarkan memakai tali pinggang.

Tali pinggang umrah / haji

Seperti yang diterangkan di atas, tali pinggang boleh digunakan untuk mengemaskan ikatan sarung. Selain tali pinggang haji, tali pinggang biasa juga boleh dibawa sekali sebagai persediaan jika berlaku apa-apa.

Jubah / baju Melayu / kurta

Digalakkan juga membawa 2 helai pakaian di atas. Jika hendak membeli jubah di sana juga boleh kerana harganya amat berpatutan. Tidak perlu beli banyak kecuali untuk dijadikan buah tangan kepada ahli keluarga dan rakan-rakan.

T-Shirt biasa

Jemaah lelaki dinasihatkan membawa 2 helai T-Shirt yang mempunyai kocek untuk dipakai ketika hari biasa. Pastikan kainnya tidak tebal supaya selesa dipakai dengan cuaca panas di sana. Kalau tebal-tebal, takut nanti beg menjadi berat. Boleh juga bawa baju Pagoda sebanyak 2 helai.

Kain pelikat

Digalakkan untuk membawa 2 helai kain pelikat sebagai pakaian harian. Jarang kita nampak jemaah Malaysia pakai pakai pelikat di sana; kecuali jemaah dari Indonesia. Ramai yang lebih selesa pakai jubah ketika menunaikan solat.
Kain pelikat sesuai digunakan semasa dalam bilik hotel.

Kopiah

Tidak perlu membawa banyak kopiah, cukuplah 1 sahaja. Jika hendak dibeli di sana juga boleh. Jika tidak mahu membazir, boleh sahaja bawa dari rumah yang masih elok dipakai.

Seluar panjang

Jemaah juga boleh membawa 2 helai seluar untuk dipakai ketika di hotel atau tempat penginapan. Boleh bawa seluar jeans, seluar trek atau seluar slack biasa.
Jika anda pakai jubah, dalamnya boleh pakai seluar. Agak kurang sopan juga jika ke masjid mengenakan seluar jeans.

Seluar dalam

Checklist umrah lelaki ini adalah tentang keselesaan. Pastikan anda bawa seluar dalam yang selesa.
Boleh dibawa mengikut keperluan para jemaah. Jika rasa susah untuk mencuci dan sebagainya, boleh juga beli seluar dalam pakai buang. Anda boleh beli sepender di Watson, Guardian dan mana-mana pasar raya.
Bagi yang memakai lampin dewasa, diingatkan untuk membawanya mengikut keperluan.

Selipar

Jangan lupa bawa sepasang selipar. Tujuan kami letakkan dalam checklist umrah lelaki ini, adalah untuk memudahkan anda berjalan di tempat biasa. Ia dapat mengelakkan kaki melecet dan terluka yang akan mengganggu perjalanan ibadah nanti.

Kasut bertutup

Kasut bertutup tetap diperlukan ketika berjalan di kawasan berbatu dan untuk mendaki gunung. Cukup hanya bawa sepasang sahaja.
Namun, jangan pakai kasut bertutup semasa dalam ihram. Sila semak dengan ustaz dan mutawif yang ada.

Barang keperluan umum

Checklist umrah lelaki dan barangan kelengkapan haji
Checklist umrah lelaki ini bukanlah untuk lelaki sahaja. Ia adalah umum, iaitu untuk lelaki dan juga wanita. Di bawah ini, kami senaraikan senarai semak yang umum.

Passport

Jangan lupa bawa pasport,  surat atau tiket penerbangan dan dokumen yang berkaitan. Jika dengan travel agency, biasanya mereka akan pegang tiket kapal terbang. Hanya jika anda pergi sendiri-sendiri secara DIY, perlu semak semula yang semuanya ada.
Pastikan semuanya telah lengkap sebelum pendaftaran. Diingatkan bahawa kad pengenalan anda tidak perlu dibawa kerana di sana segala urusan hanya menggunakan pasport.

Buku panduan umrah

Cukuplah bawa sebuah sahaja sebagai rujukan di sana nanti. Mana tahu nanti, kalau terlupa kan?

Buku doa

Untuk membantu anda membaca doa ketika bertawaf nanti. Jika ada orang kirim doa, bawa sekali kertas yang ditulis.
Jika anda ada doa sendiri, bawa dan letakkan sekali dalam buku panduan umrah agar tidak hilang.

Muat turun aplikasi dalam telefon bimbit

Untuk memudahkan anda di sana nanti, jangan lupa muat turun beberapa aplikasi melalui Google Play atau App Store, antaranya:

  1. Asefny- untuk memudahkan para jemaah mendapatkan rawatan perubatan
  2. Manasikana- menyediakan terjemahan bagi jemaah yang tidak tahu berbahasa Inggeris atau Arab.
  3. Quran- mudah hendak baca al-Quran di mana-mana tanpa perlu membawa
  4. Careem- untuk memudahkan anda menempah teksi untuk pergi miqat atau berjalan-jalan.

 

Ubat-ubatan

Bagi yang menghidap penyakit diabetis, darah tinggi, asma dan sebagainya, jangan lupa bawa bekalan ubatan. Anda juga boleh membawa Panadol, ubat batuk dan minyak angin.
Jika yang pergi ke sana ialah ibu-bapa anda, belikan ubat-ubatan mereka siap-siap. Jangan lupa tulis berapa dosage yang mereka perlu ambil.

Kerusi roda / tongkat

Yang muda dan sihat, tidak perlu.
Sekiranya ada orang tua, sebaik-baiknya bawalah kerusi roda atau tongkat dari sini. Ini dapat memudahkan mereka yang memerlukan untuk bergerak dan beribadat. Di sana juga disediakan tetapi jumlahnya terhad.

Duit

Bawalah duit mengikut keperluan. Jika hendak membeli buah tangan untuk diri sendiri atau orang lain, sediakan bajet yang mencukupi. Jangan lupa sedikan duit dalam Ringgit Malaysia dan Riyal.
Jemaah haji dan umrah perlu membuat kad atm di Bank Al Rajhi. Kad itu perlu diaktifkan sebulan sebelum bertolak ke Tanah Suci. Ada caj perkhidmatan yang dikenakan jika menggunakan kad tersebut. Oleh itu, jika perlu guna banyak wang, keluarkan sekali dalam jumlah yang banyak.
Kad kredit juga boleh dibawa, jika tidak mahu membawa wang tunai yang banyak. Jangan lupa pula untuk mengaktifkannya. Jika takut berbelanja di luar kawalan, tidak perlulah dibawa.

Tasbih

Boleh juga bawa tasbih biasa atau yang berbentuk digital. Rasanya tasbih digital lebih kecil, mudah dibawa dan lebih praktikal jika hendak berzikir di mana-mana.

Alat penyembur wuduk (wuduk spray)

Lebih praktikal untuk mengambil wuduk jika berada di kapal terbang dan masjid. Tidak perlu bersusah-payah untuk mencari tandas. Jangan lupa pula bawa sapu tangan kecil sekali sebanyak 2 helai. Ia boleh dijadikan alas tempat untuk mengambil wuduk.

Plastik kasut

Walaupun di masjid ada disediakan plastik untuk memasukkan kasut para jemaah, lebih baik bawa plastik sendiri. Senang hendak dikenal pasti nanti.

Bantal kecil

Sediakan bantal kecil sahaja atau boleh juga bantal angin. Boleh digunakan di dalam kapal terbang atau di Arafah dan Mina nanti.

Gunting kecil

Boleh digunakan untuk bertahalul iaitu bercukur. Malahan, gunting juga boleh digunakan untuk kegunaan umum di sana nanti.
Beli sahaja satu set yang lengkap semuanya di mana-mana kedai farmasi.

Sejadah kecil

Cukuplah bawa sejadah kecil untuk solat di luar masjid.

Barang penjagaan diri dan wajah

Antara yang perlu dibawa ialah losyen dan vaseline untuk mengelakkan bibir dan kulit menjadi kering. Malahan, jika hendak bawa syampu, sabun, berus gigi dan sebagainya juga boleh, jika tidak selesa menggunakan yang disediakan di hotel. Pastikan saiznya kecil sahaja. Boleh juga bawa penyepit kuku dan sikat.

Topeng mulut

Semasa umrah di Mekah, pasti keadaan berdebu. Semasa dalam perjalanan dari hotel, anda akan terhidu habuk dan debu, ekoran cuaca yang kering dan panas.
Anda perlu bawa topeng mulut mengikut keperluan. Ia berguna ketika anda pergi ke tempat yang berpasir. Malah, untuk menambah tenaga dan stamina, boleh juga membawa makanan kesihatan tambahan.

Beg besar

Pastikan beli beg kargo yang bersaiz besar misalnya 32 inci ke atas. Mana tahu, anda beli ole-ole sampai lupa dunia dibuatnya. Susah juga kalau hanya bawa beg kecil kan?
Jangan lupa bawa sekali karung beg kargo sebagai pelindung jika beg kita terkoyak atau rosak.

Beg sandang

Untuk kemudahan ketika mendaki gunung, bawalah sekali beg sandang untuk meletakkan barang keperluan, air dan sebagainya. Paling penting ialah penanda beg untuk tujuan pengecaman. Tidaklah risau kalau beg anda sama dengan orang lain kerana penanda beg boleh dikreatifkan.

Makanan kering

Bukan semua orang mempunyai selera yang sama kan? Ada yang cepat jemu makan makanan Arab. Langkah terbaik bawalah sambal kering, mi dan bubur segera, sos cili, kicap dan sebagainya. Jika untuk minum-minum petang, boleh sahaja bawa minuman 3 dalam 1, biskut dan sebagainya.

Alatan dapur plastik

Jika rindu masakan Malaysia, boleh sahaja masak sendiri. Jangan lupa bawa pisau, pinggan, mangkuk plastik, papan pemotong dan sebagainya.
Pisau nanti boleh potong buah yang dibeli di tepi-tepi jalan.
Bawa yang ringan-ringan sahaja!

Surat khabar

Untuk membungkus bahan buangan seperti lampin dan sebagainya. Boleh juga dijadikan kipas ketika berada di sana kerana cuaca sangat panas di sana.
Tak bawa pun tak apa, boleh beli di sana.

Peralatan elektronik

Jangan pula lupa hendak bawa power bank dan pengecas telefon bimbit yang berguna ketika wukuf nanti. Malahan, extension plug dan international adapter juga amat penting ketika berada di sana nanti.

Penyangkut baju

Jangan lupa bawa penyangkut baju kerana tempat untuk sidai agak terhad. Selalunya berkongsi bilik dengan ramai jemaah yang lain.

Sabun basuh

Sabun basuh mestilah yang anda suka. Jika malas hendak basuh baju, ada banyak perkhidmatan dobi di sana. Jika tiada pun tidak mengapa, boleh sahaja beli di sana.

Tali ampaian

Tali ini sangat penting untuk sidai baju yang sudah dibasuh. Jemur tidak lama, cuma sekejap sahaja. Cuma tempat agak terhad. Anda boleh ikat dari hujung dinding ke hujung dinding.

Jarum & benang

Jarum dan benang juga boleh digunakan jika baju terkoyak dan sebagainya. Ingat, jangan pula bawa mesin jahit mini!

Kad sim

Kad sim juga boleh dibeli di sana. Namun yang lebih baik, belilah ketika berada di lapangan terbang di Jeddah kerana di Mekah nanti pasport kita akan disimpan oleh pihak pengurusan Tabung Haji atau agensi yang terlibat.

Tambahan: Checklist Haji Lelaki

Barang keperluan umrah dan kelengkapan persediaan haji
Ini ialah tambahan untuk checklist haji lelaki, yang lain sedikit dari checklist umrah lelaki. Kenapa lain?
Ini kerana ada ibadah tambahan dalam haji yang tidak sama dengan umrah.

Ibadah Umrah vs ibadah Haji
Ibadah haji boleh mula dilakukan pada 1 Syawal hingga 10 Zulhijjah iaitu bermula pada Hari Raya Aidilfitri sehingga Hari Raya Aidiladha. Manakala, ibadah umrah pula boleh dilakukan pada bila-bila masa sahaja (termasuk di luar musim haji).
Kami sediakan checklist tambahan ini sebagai extension dari checklist umrah lelaki.

Uncang batu

Bawalah sebuah uncang kecil untuk memasukkan batu bagi melontar jamrah. Jadi, tidaklah perlu menggunakan plastik. Mudah untuk kita kenal uncang kita sendiri, agar tidak tertukar dengan jemaah lain.

Bantal kecil

Sediakan bantal kecil sahaja atau boleh juga bantal angin. Boleh digunakan di dalam kapal terbang atau di Arafah dan Mina nanti.

Cawan kecil

Cawan kecil, sudu, garpu dan mangkuk boleh digunakan ketika berada di Arafah dan Mina untuk sediakan makanan seperti mi segera. Bayangkan dengan keadaan manusia yang terlalu ramai, pastinya dengan barangan yang kita bawa sendiri, ia lebih memudahkan.

Kain pelikat (tak berjahit)

Ia boleh digunakan sebagai pelindung atau atap di luar khemah ketika di Arafah.
 

Tempat menjual kelengkapan haji dan umrah

Jika hendak mencari kelengkapan sebelum ke sana nanti, bolehlah beli di tempat-tempat berikut mengikut bajet anda. Antaranya:

  • Pasar raya terpilih seperti Mydin di seluruh Malaysia
  • Fitrah Al Hajj
  • Al-Kauthar
  • Haqq
  • Bindaud
  • Galeri Muslim

 

Akhir kata

Moga artikel ini memberi manfaat kepada para pembaca sekalian. Kami mendoakan agar perjalanan para jemaah haji dan umrah akan diberkati Allah S.W.T. Semoga para jemaah akan mendapat umrah yang maqbul.

Sebelum ke sana, semak cara solat taubat untuk memohon ampun kepada Allah terlebih dahulu. Baca juga cara solat tahajjud dan lazimi bangun malam untuk lebih merasaai dan menjiwai perjalanan ibadah ini. Sesekali, tontonlah bagaimana keadaan di Makkah secara live.

Jangan lupa kongsikan artikel ini kepada ahli keluarga dan sahabat handai untuk panduan bersama.

Jika ada sebarang informasi dan panduan yang boleh ditambah, kami mengalu-alukan sebarang maklum balas tentang checklist umrah lelaki ini. Andai ada kesilapan maklumat, mohon ditegur dan diperbetulkan.

Semoga bermanfaat.

Leave a Comment