Checklist Umrah Wanita: 40+ Senarai Barang Keperluan Umrah & Haji


Sesiapa sahaja yang mendapat peluang untuk mengerjakan haji atau umrah, pastinya tidak sabar-sabar untuk menjadi tetamu Allah. Mana tidaknya, bukan semua orang berpeluang untuk mengerjakan tuntutan agama itu. Selain dapat melaksanakan ibadah di sana, para jemaah juga berpeluang melawat tempat-tempat bersejarah. Oleh sebab itu, kami begitu teruja untuk berkongsi checklist umrah wanita.
Jika ingin mendapatkan checklist umrah lelaki, boleh ke sini.
Sedikit pesanan komuniti, bagi yang belum ada rezeki menunaikan haji tahun ini, boleh cuba dapatkan contoh surat rayuan haji.
 

Checklist kelengkapan, keperluan & persediaan pergi umrah

Artikel ini ditulis untuk memberi panduan kepada jemaah yang bakal mengerjakan umrah. Namun, boleh juga digunakan sebagai checklist haji wanita.
Penulisan ini adalah sebagai langkah awal persediaan umum untuk orang yang merancang untuk menunaikan kedua-dua ibadah ini kelak.
 

Bawa atau beli barang di sana?

Dikhabarkan bahawa harga sesetengah barangan di sana juga agak mahal. Oleh itu, perancangan yang rapi dapat menghindari masalah-masalah lain di sana nanti. Hendak beribadah pun hati menjadi tenang.
Namun, jika anda ada duit lebih dan rasa beg berat untuk bawa semuanya dari Malaysia, itu terpulang. Tiada paksaan.
Kami hanya akan menyenaraikan barangan yang perlu dibawa oleh jemaah wanita serta kelengkapan umum. Selain itu, maklumat tempat untuk mendapatkan barangan tersebut juga akan dikongsikan.
 

Checklist Umrah Wanita

Checklist umrah wanita dan barang keperluan haji
Ini ialah senarai barangan kelengkapan untuk jemaah wanita yang ingin pergi menunaikan ibadah umrah. 
 

Telekung

Jemaah wanita perlu membawa 2 helai telekung yang mempunyai label Malaysia. Bawalah telekung yang ringan tetapi tidak jarang. Tidak perlu hiasan berlebihan seperti manik dan sulaman. Ingat, tujuan anda ke sana adalah untuk beribadah, bukan untuk menghias diri secara berlebihan.
 

Jubah hitam / putih

Cukuplah membawa 2 helai jubah yang berwarna hitam atau putih. Jika hendak beli di sana juga boleh. Harga yang ditawarkan masih murah. Jika dibawa dari sini, pastikan jubah itu tidak berat dan mempunyai hiasan berlebihan.
 

Tudung labuh hitam / putih

Jemaah wanita juga dikehendaki membawa 2 helai tudung labuh sama ada berwarna hitam atau putih. Pastikan tudung tersebut mempunyai penutup dagu. Bukan apa, boleh terus dibuat solat nanti.
 

Stoking

Perlu juga membawa 4 pasang stoking iaitu 2 pasang jenis mesra wuduk dan 2 pasang lagi stoking jenis biasa. Stoking jenis mesra wuduk ini sangat membantu untuk mengambil wuduk.
Namun, dinasihatkan berhati-hati kerana ketika bertawaf kain mudah tersingkap dan menampakkan kaki. Oleh itu, bolehlah memakai alas stoking biasa bersama untuk mengelakkan masalah ini.
 

Sarung lengan

Dinasihatkan juga membawa 2 pasang sarung lengan. Walaupun memakai jubah dan bertelekung, dikhuatiri lengan baju terselak atau ternaik ketika membuat tawaf. Jangan lupa, aurat wajib dijaga!
 

Anak tudung

Kini, terdapat pelbagai jenis anak tudung di pasaran. Bolehlah bawa 3 helai anak tudung untuk dipakai dengan tudung labuh atau telengkung nanti.
 

Kasut tawaf / sa’i

Jika hendak bawa, cukuplah sepasang sahaja. Jika sudah ada stoking, kasut ini boleh juga tidak dipakai.
 

T-Shirt

Untuk keselesaan ketika tidur, jemaah wanita bolehlah membawa 2 helai T-Shirt. Malahan, ketika hendak mendaki gunung juga boleh dipakai. Yang penting longgar, labuh dan tidak jarang.
 

Seluar

Boleh bawa 2 pasang seluar untuk dipakai ketika tidur. Malahan, boleh juga dipakai ketika tawaf untuk mengelak masalah melecet di celah kelengkang.
 

Kain batik

Cukup hanya bawa sehelai kain batik yang boleh dijadikan kain basahan semasa berada di dalam bilik.
 

Kasut dan selipar

Boleh bawa sepasang kasut bertutup atau selipar (pastikan pakai stoking sekali) untuk memudahkan berjalan.
 

Pakaian dalam

Pakaian dalam seperti baju dalam atau anak baju bolehlah dibawa ikut keperluan sahaja.
 

Barangan peribadi

Jangan lupa bawa tuala wanita, panty liner dan kapas muka untuk dipakai jika berlaku keputihan ketika tawaf. Lampin dewasa juga perlu dibawa bagi jemaah yang memerlukannya.
 

Barang keperluan umum

Checklist umrah wanita dan barangan persediaan haji
Checklist umrah wanita ini bukanlah untuk perempuan sahaja. Ia adalah umum, iaitu untuk perempuan dan juga lelaki. Di bawah ini, kami senaraikan senarai semak yang umum.
 

Passport

Jangan lupa bawa pasport,  surat atau tiket penerbangan dan dokumen yang berkaitan. Jika dengan travel agency, biasanya mereka akan pegang tiket kapal terbang. Hanya jika anda pergi sendiri-sendiri secara DIY, perlu semak semula yang semuanya ada.
Pastikan semuanya telah lengkap sebelum pendaftaran. Diingatkan bahawa kad pengenalan anda tidak perlu dibawa kerana di sana segala urusan hanya menggunakan pasport.
 

Buku panduan umrah

Cukuplah bawa sebuah sahaja sebagai rujukan di sana nanti. Mana tahu nanti, kalau terlupa kan?
 

Buku doa

Untuk membantu anda membaca doa ketika bertawaf nanti. Jika ada orang kirim doa, bawa sekali kertas yang ditulis.
Jika anda ada doa sendiri, bawa dan letakkan sekali dalam buku panduan umrah agar tidak hilang.
 

Muat turun aplikasi dalam telefon bimbit

Untuk memudahkan anda di sana nanti, jangan lupa muat turun beberapa aplikasi melalui Google Play atau App Store, antaranya:

  1. Asefny- untuk memudahkan para jemaah mendapatkan rawatan perubatan
  2. Manasikana- menyediakan terjemahan bagi jemaah yang tidak tahu berbahasa Inggeris atau Arab.
  3. Quran- mudah hendak baca al-Quran di mana-mana tanpa perlu membawa
  4. Careem- untuk memudahkan anda menempah teksi untuk pergi miqat atau berjalan-jalan.

 

Ubat-ubatan

Bagi yang menghidap penyakit diabetis, darah tinggi, asma dan sebagainya, jangan lupa bawa bekalan ubatan. Anda juga boleh membawa Panadol, ubat batuk dan minyak angin.
Jika yang pergi ke sana ialah ibu-bapa anda, belikan ubat-ubatan mereka siap-siap. Jangan lupa tulis berapa dosage yang mereka perlu ambil.
 

Kerusi roda / tongkat

Yang muda dan sihat, tidak perlu.
Sekiranya ada orang tua, sebaik-baiknya bawalah kerusi roda atau tongkat dari sini. Ini dapat memudahkan mereka yang memerlukan untuk bergerak dan beribadat. Di sana juga disediakan tetapi jumlahnya terhad.
 

Duit

Bawalah duit mengikut keperluan. Jika hendak membeli buah tangan untuk diri sendiri atau orang lain, sediakan bajet yang mencukupi. Jangan lupa sedikan duit dalam Ringgit Malaysia dan Riyal.
Jemaah haji dan umrah perlu membuat kad atm di Bank Al Rajhi. Kad itu perlu diaktifkan sebulan sebelum bertolak ke Tanah Suci. Ada caj perkhidmatan yang dikenakan jika menggunakan kad tersebut. Oleh itu, jika perlu guna banyak wang, keluarkan sekali dalam jumlah yang banyak.
Kad kredit juga boleh dibawa, jika tidak mahu membawa wang tunai yang banyak. Jangan lupa pula untuk mengaktifkannya. Jika takut berbelanja di luar kawalan, tidak perlulah dibawa.
 

Tasbih

Boleh juga bawa tasbih biasa atau yang berbentuk digital. Rasanya tasbih digital lebih kecil, mudah dibawa dan lebih praktikal jika hendak berzikir di mana-mana.
 

Alat penyembur wuduk (wuduk spray)

Lebih praktikal untuk mengambil wuduk jika berada di kapal terbang dan masjid. Tidak perlu bersusah-payah untuk mencari tandas. Jangan lupa pula bawa sapu tangan kecil sekali sebanyak 2 helai. Ia boleh dijadikan alas tempat untuk mengambil wuduk.
 

Plastik kasut

Walaupun di masjid ada disediakan plastik untuk memasukkan kasut para jemaah, lebih baik bawa plastik sendiri. Senang hendak dikenal pasti nanti.
 

Bantal kecil

Sediakan bantal kecil sahaja atau boleh juga bantal angin. Boleh digunakan di dalam kapal terbang atau di Arafah dan Mina nanti.
 

Gunting kecil

Boleh digunakan untuk bertahalul iaitu bercukur. Malahan, gunting juga boleh digunakan untuk kegunaan umum di sana nanti.
Beli sahaja satu set yang lengkap semuanya di mana-mana kedai farmasi.
 

Sejadah kecil

Cukuplah bawa sejadah kecil untuk solat di luar masjid.
 

Barang penjagaan diri dan wajah

Antara yang perlu dibawa ialah losyen dan vaseline untuk mengelakkan bibir dan kulit menjadi kering. Malahan, jika hendak bawa syampu, sabun, berus gigi dan sebagainya juga boleh, jika tidak selesa menggunakan yang disediakan di hotel. Pastikan saiznya kecil sahaja. Boleh juga bawa penyepit kuku dan sikat.
 

Topeng mulut

Semasa umrah di Mekah, pasti keadaan berdebu. Semasa dalam perjalanan dari hotel, anda akan terhidu habuk dan debu, ekoran cuaca yang kering dan panas.
Anda perlu bawa topeng mulut mengikut keperluan. Ia berguna ketika anda pergi ke tempat yang berpasir. Malah, untuk menambah tenaga dan stamina, boleh juga membawa makanan kesihatan tambahan.
 

Beg besar

Pastikan beli beg kargo yang bersaiz besar misalnya 32 inci ke atas. Mana tahu, anda beli ole-ole sampai lupa dunia dibuatnya. Susah juga kalau hanya bawa beg kecil kan?
Jangan lupa bawa sekali karung beg kargo sebagai pelindung jika beg kita terkoyak atau rosak.
 

Beg sandang

Untuk kemudahan ketika mendaki gunung, bawalah sekali beg sandang untuk meletakkan barang keperluan, air dan sebagainya. Paling penting ialah penanda beg untuk tujuan pengecaman. Tidaklah risau kalau beg anda sama dengan orang lain kerana penanda beg boleh dikreatifkan.
 

Makanan kering

Checklist umrah wanita ini tak lengkap kalau tiada makanan. Nama pun orang perempuan, memang tak dapat dipisahkan dengan makanan.
Sambal hitam adalah penting. Bukan semua orang mempunyai selera yang sama kan? Ada yang cepat jemu makan makanan Arab. Langkah terbaik bawalah sambal kering, mi dan bubur segera, sos cili, kicap dan sebagainya. Jika untuk minum-minum petang, boleh sahaja bawa minuman 3 dalam 1, biskut dan sebagainya.
 

Alatan dapur plastik

Jika rindu masakan Malaysia, boleh sahaja masak sendiri. Jangan lupa bawa pisau, pinggan, mangkuk plastik, papan pemotong dan sebagainya.
Pisau nanti boleh potong buah yang dibeli di tepi-tepi jalan.
Bawa yang ringan-ringan sahaja!
 

Surat khabar

Untuk membungkus bahan buangan seperti lampin dan sebagainya. Boleh juga dijadikan kipas ketika berada di sana kerana cuaca sangat panas di sana.
Tak bawa pun tak apa, boleh beli di sana.
 

Peralatan elektronik

Jangan pula lupa hendak bawa power bank dan pengecas telefon bimbit yang berguna ketika wukuf nanti. Malahan, extension plug dan international adapter juga amat penting ketika berada di sana nanti.
 

Penyangkut baju

Jangan lupa bawa penyangkut baju kerana tempat untuk sidai agak terhad. Selalunya berkongsi bilik dengan ramai jemaah yang lain.
 

Sabun basuh

Sabun basuh mestilah yang anda suka. Jika malas hendak basuh baju, ada banyak perkhidmatan dobi di sana. Jika tiada pun tidak mengapa, boleh sahaja beli di sana.
 

Tali ampaian

Tali ini sangat penting untuk sidai baju yang sudah dibasuh. Jemur tidak lama, cuma sekejap sahaja. Cuma tempat agak terhad. Anda boleh ikat dari hujung dinding ke hujung dinding.
 

Jarum & benang

Jarum dan benang juga boleh digunakan jika baju terkoyak dan sebagainya. Ingat, jangan pula bawa mesin jahit mini!
 

Kad sim

Kad sim juga boleh dibeli di sana. Namun yang lebih baik, belilah ketika berada di lapangan terbang di Jeddah kerana di Mekah nanti pasport kita akan disimpan oleh pihak pengurusan Tabung Haji atau agensi yang terlibat.
 

Tambahan: Checklist Haji Wanita

Senarai barang umrah wanita / perempuan
Ini ialah tambahan untuk checklist haji wanita, yang lain sedikit dari checklist umrah perempuan. Kenapa lain?
Ini kerana ada ibadah tambahan dalam haji yang tidak sama dengan umrah.
 
Ibadah Umrah vs ibadah Haji
Ibadah haji boleh mula dilakukan pada 1 Syawal hingga 10 Zulhijjah iaitu bermula pada Hari Raya Aidilfitri sehingga Hari Raya Aidiladha. Manakala, ibadah umrah pula boleh dilakukan pada bila-bila masa sahaja (termasuk di luar musim haji).
Kami sediakan checklist tambahan ini sebagai extension dari checklist umrah wanita.
 

Uncang batu

Bawalah sebuah uncang kecil untuk memasukkan batu bagi melontar jamrah. Jadi, tidaklah perlu menggunakan plastik. Mudah untuk kita kenal uncang kita sendiri, agar tidak tertukar dengan jemaah lain.
 

Bantal kecil

Sediakan bantal kecil sahaja atau boleh juga bantal angin. Boleh digunakan di dalam kapal terbang atau di Arafah dan Mina nanti.
 

Cawan kecil

Cawan kecil, sudu, garpu dan mangkuk boleh digunakan ketika berada di Arafah dan Mina untuk sediakan makanan seperti mi segera. Bayangkan dengan keadaan manusia yang terlalu ramai, pastinya dengan barangan yang kita bawa sendiri, ia lebih memudahkan.
 

Kain batik (tak berjahit)

Ia boleh digunakan sebagai pelindung atau atap di luar khemah ketika di Arafah.
 

Seluar dalam (pakai buang)

Digalakkan juga membawa seluar dalam pakai buang untuk dipakai ketika di Arafah dan Mina. Kenapa perlu yang pakai buang?
Keadaan di sana, menunggu untuk masuk tandas adalah sangat lama. Ada kalanya, ia boleh menyebabkan jemah wanita terkencing dalam seluar.
 
Belajar solat jenazah
Tahukah anda, setiap kali selepas solat fardhu, akan ada solat jenazah? Bagi yang tidak biasa, boleh baca cara solat jenazah yang ringkas ini.
Cuma agak sukar bagi kita yang tidak berbahasa Arab, untuk membezakan samada jenazah itu adalah lelaki atau perempuan. Ini kerana bacaannya sedikit berlainan.
Untuk kepastikan, dapatkan nasihat dan pandangan dari ustaz dan mutawif anda.
 

Tempat menjual kelengkapan haji dan umrah

Jika hendak mencari kelengkapan sebelum ke sana nanti, bolehlah beli di tempat-tempat berikut mengikut bajet anda. Antaranya:

  • Pasar raya terpilih seperti Mydin di seluruh Malaysia
  • Fitrah Al Hajj
  • Al-Kauthar
  • Haqq
  • Bindaud
  • Galeri Muslim

 

Akhir kata

Moga artikel ini memberi manfaat kepada para pembaca sekalian. Kami mendoakan agar perjalanan para jemaah haji dan umrah akan diberkati Allah S.W.T. Semoga para jemaah akan mendapat umrah yang maqbul.
Sebelum ke sana, semak cara solat taubat untuk memohon ampun kepada Allah terlebih dahulu. Baca juga cara solat tahajjud dan lazimi bangun malam untuk lebih merasaai dan menjiwai perjalanan ibadah ini. Hafal juga doa selepas solat, agar tidak perlu kita terkial-kial buka buku doa semasa di sana.
Sesekali, tontonlah bagaimana keadaan di Makkah secara live.
Jangan lupa kongsikan artikel ini kepada ahli keluarga dan sahabat handai untuk panduan bersama.
Jika ada sebarang informasi dan panduan yang boleh ditambah, kami mengalu-alukan sebarang maklum balas tentang checklist umrah wanita ini. Andai ada kesilapan maklumat, mohon ditegur dan diperbetulkan.
Semoga bermanfaat.

Leave a Comment