5+ Tanda Penyakit Jantung (Elak Serangan Mengejut + Cara Mencegah)


Pernah  tak anda tiba-tiba rasa tidak selesa, dada rasa seperti dihempap benda berat,denyutan jantung tidak teratur, berpeluh secara tiba-tiba atau rasa loya dan tidak ada selera makan? Adakah ini salah satu gejala atau tanda tanda penyakit jantung?
Hati-hati jika anda ada kebanyakan daripada ciri-ciri disebut di atas, segera berjumpa doktor kerana anda mungkin terdedah kepada sakit jantung.
Sakit jantung atau dalam istilah perubatannya Acute Coronory Syndrom merupakan penyakit kardiovaskular yang menjadi penyebab utama kematian di Malaysia.
Hal ini terjadi apabila lemak badan yang berlebihan terkumpul di sekeliling jantung dan seterusnya mengganggu saluran darah. Pembuluh darah yang tersumbat akan sukarkan oksigen sampai ke jantung lalu mengakibatkan strok dan serangan jantung.

Gejala penyakit jantung

Sakit leher

Pernahkah anda merasakan sakit otot yang berpanjangan di leher? Berhati-hati jika kesakitan tidak hilang. Selepas serangan jantung, sesetengah pesakit ingat bahawa mereka sebelum ini merasakan kesakitan dan ketegangan di leher.
Kebanyakan orang tidak memberi perhatian kepada gejala-gejala ini kerana mereka hanya menumpukan pada tanda penyakit jantung yang lebih dramatik seperti sakit yang teramat sangat di sekitar dada, bahu dan lengan.
Portal Kompas juga berkongsi, wanita lebih cenderung mengalami gejala-gejala seperti ini, dan lebih cenderung untuk merasakan kesakitan yang tiba-tiba disertai dengan ketat dan sempit di bahu dan bahagian bawah leher.
 

Mempunyai masalah seksual (mati pucuk)

Lelaki yang mempunyai masal gangguan ereksi biasanya mempunyai masalah dengan penyakit arteri koronari. Satu tinjauan lelaki di Eropah menunjukkan bahawa mereka yang dirawat untuk penyakit jantung, dua daripada tiga mereka mengalami masalah ereksi selama berbulan-bulan, sebelum akhirnya didiagnosis mempunyai masalah dengan jantung.
Menurut Goldstein, beberapa kajian terbaru yang mengkaji hubungan antara disfungsi erektil dan penyakit kardiovaskular juga semakin meyakinkan. Tidak hairanlah, doktor sedang berkira-kira untuk menangani masalah kardiovaskular jika lelaki itu datang mengadu mengalami mati pucuk.
 

Rasa pening, pengsan, atau sesak nafas tiba-tiba

Sebuah kajian yang diterbitkan Circulation: Jurnal Persatuan Jantung Amerika, berkata lebih daripada 40 peratus wanita melaporkan bahawa mereka cenderung mengalami sesak nafas sebelum berlakunya serangan jantung.
Anda mungkin merasakan bahawa anda tidak boleh bernafas, lemas atau pening seperti anda berada pada satu ketinggian. Jika anda tergesa-gesa menaiki tangga, menyapu halaman, berjalan santai, atau aktiviti lain yang sebelum ini tidak membuat anda sukar, tanda penyakit jantung ini perlu diperhatikan sebagai amaran penting.
 

Senak, mual, atau pedih ulu hati

Kebanyakan dari kita berfikir bahawa apa-apa yang berkaitan dengan jantung adalah sama dengan sakit dada. Jangan terperanjat baha perkara ini sebenarnya boleh berlaku di dalam perut.
Pada sesetengah orang, terutama wanita, gejala seperti pedih ulu hati atau sensasi terbakar di dada, yang sesuai dengan luka perut atau tersedak perlu diambil berat. Senak dan mual yang teruk juga boleh menjadi tanda awal serangan jantung, atau biasanya disebut infarksi miokardium, terutama pada wanita.
Kajian menunjukkan bahawa wanita adalah dua kali lebih mungkin mengalami muntah, mual dan senak selama beberapa bulan sebelum serangan jantung
 

Sakit di rahang dan telinga

Sakit di rahang adalah sesuatu yang kadang-kadang misteri dan sangat mengganggu. Keadaan ini boleh disebabkan oleh banyak faktor. Namun, kadang kala ia boleh menjadi petunjuk kepada kehadiran penyakit arteri koronari (CAD) dan permulaan serangan jantung.
Sesetengah pakar kini menumpukan perhatian untuk memeriksa hubungan kesakitan di rahang dengan risiko serangan jantung. Keputusan kaji selidik menunjukkan, ramai pesakit yang pernah kena serangan jantung melaporkan rasa sakit di rahang mereka sebelum permulaan serangan jantung.
 

Lelaki atau perempuan?

Penyakit ini lebih kerap dihidapi golongan lelaki berbanding perempuan. Kementerian Kesihatan Malaysia dalam satu kenyataannya melaporkan, kematian penduduk akibat sakit jantung di negara ini pada tahun 2017 dilaporkan ialah sebanyak 13,503 atau 13.9 peratus!
Melihat kepada angka tersebut, jelas sekali penyakit ini tidak boleh dipandang remeh. Baik muda atau tua, kita semua berisiko menghidap sakit jantung.
Izinkan kami berkongsi.

Cara mencegah penyakit jantung

Lima tabiat ini mampu menyelamatkan jantung anda:
Berikut merupakan antara cara melindungi jantung, arteri dan bahagian lain tubuh kita. Amalan ini akan membuat anda kelihatan lebih baik dan berasa lebih baik. Belum terlambat untuk kita mula bertindak.

Jauhi rokok

Sedia maklum, rokok membahayakan kesihatan kerana kandungan dalam rokok itu sendiri  terdiri daripada bahan-bahan berbahaya. Jika anda seorang perokok dan berusaha untuk berhenti merokok, ia merupakan hadiah terbaik untuk kesihatan diri anda.
• Dapatkan nasihat dan rundingan doktor, cara terbaik untuk berhenti merokok.
• Gunakan alat bantu henti merokok seperti pil atau pelekat nikotin, kaunseling dan ubat-ubatan lain.
• Jadikan rumah anda sebagai kawasan larangan merokok.
• Berpuasa – badan sihat, pahala pun dapat.
• Jangan putus asa. Kebanyakan perokok perlu bangkit banyak kali untuk berjaya. Sokongan keluarga dan rakan terdekat juga membantu.
 

Hidup aktif

Untung mengelakkan dari terkena dari gejala atau tanda penyakit jantung, atau terus terkena serangan jantung, pastikan aktif tubuh badan.
Bersenam dan melakukan aktiviti fizikal menjadi perisai menangani masalah jantung dan penyakit lain. Walaupun sekejap, namun ia lebih baik daripada tidak melakukan apa-apa.
• 10,000 langkah sehari merupakan aktiviti paling mudah dilakukan. Ajak jiran anda turut serta dan anda akan lihat hasilnya!
• Bentuk kelab kecergasan bersama rakan-rakan. Berkongsi sebarang senaman dengan rakan dapat memotivasikan diri anda untuk terus aktif.
• Apabila bersenam, cuba capai tahap di mana anda bernafas laju namun masih boleh bercakap.
• Jika tiada masa 30 minit untuk bersenam, jadikan ia 10-15 minit bagi setiap sesi.
 

Kawal berat badan

Berat badan berlebihan menjadi antara punca sakit jantung. Paras lemak  tinggi menyebabkan saluran darah sempit lalu terjadinya serangan jantung. Jika mahu diet, boleh cuba cara diet Atkins.
• Pelan program penurunan berat badan dengan pakar.
• Cuba untuk makan tidak lebih 1500 hingga 2000 kalori sehari – bergantung kepada tahap aktiviti harian anda dan BMI semasa.
• Tingkatkan aktiviti fizikal.
Jangan lupa, sila cuba cara turunkan berat badan secara sihat. Jangan hanya mahu cepat, tetapi tidak sihat. Cepat sangat kurus, akan mudah juga naik berat badan semula.
 

Jaga pemakanan

Kita adalah apa yang kita makan. Tabiat pemakanan yang tidak sihat, khasnya bagi penduduk Malaysia perlu diberi perhatian kerana negara kita menduduki tempat pertama kadar orang gemuk paling ramai di Asia Tenggara. Rekod itu dipegang kita sejak 2015!
• Lebihkan makan sayur dan buah-buahan, bijirin penuh, lemak tidak tepu, protein (kekacang, ikan), ulam dan herba.
• Elak terlalu banyak ambil makanan proses, garam, karbohidrat cepat cerna (roti putih, nasi, kentang), daging merah, soda atau air yang tinggi kandungan gula.
• Penuhkan stok makanan sihat dalam simpanan di rumah.
• Makan secara sederhana dan teratur.
 

Tangani stres

Sebelum berlakunya gejala penyakit jantung pada diri anda, sila urus stres dengan sebaiknya.
Pada masa kini, tekanan melibatkan minda paling ditakuti kerana ia ‘menjemput’ bermacam-macam penyakit secara senyap. Ia termasuk tekanan dalam kerjaya, hubungan antara manusia, keluarga yang menyebabkan situasi menjadi semakin sukar.
• Bertenang dan bernafas dengan dalam. Senaman yoga juga dapat membantu meredakan stres.
• Dapatkan bantuan dan sokongan. Bercakap dengan seseorang cara terbaik untuk menjadikan anda lebih tenang dan positif.
• Dekatkan diri dengan Tuhan dan dalami agama.
• Berurut – Apabila stres, otot pada bahagian leher dan bahu akan menjadi tegang. Urutan dapat mengurangkan rasa tertekan dan melancarkan peredaran darah.
 

Akhir kalam

Jelas sekali, tabiat sukar diubah, namun menjadi mudah jika kita tahu manfaatnya untuk diri. Anda tidak perlu mensasarkan perubahan drastik.
Sedikit perubahan dalam corak pemakanan, senaman dan berat badan cukup memotivasikan diri untuk kita jadi lebih sihat. Semoga perkongsian gejala penyakit jantung dan cara mencegahnya juga dapat memberikan sedikit peringatan kepada kita semua.
Tetapkan matlamat yang anda mampu capai.
Semoga bermanfaat.

Leave a Comment