Kebaikan Epal Hijau (Banyak Khasiat Daripada Epal Merah)


Anda pasti pernah mendengar pepatah Inggeris, “An apple a day, keeps the doctor away”. Tetapi betul ke pepatah tersebut atau sekadar untuk menarik minat individu khususnya kanak-kanak agar lebih memakan epal? Kali ini, izinkan kami berkongsi tentang epal hijau.

Epal merupakan antara jenis buah yang popular dalam kalangan peminat buah-buahan. Ia kaya dengan kandungan nutrisi yang baik seperti antioksidan dan vitamin C yang bagus untuk kulit dan badan. Buah ini secara umumnya, boleh didapati dalam dua pilihan warna, iaitu warna merah dan warna hijau.

Epal hijau vs epal merah

Epal merah

Dari segi rasa, epal merah lebih menjadi pilihan kerana rasanya yang lebih manis berbanding epal hijau yang mempunyai rasa yang lebih masam. Tetapi bagaimana pula dari aspek perbezaan nutrisi kedua-dua buah ini?

Kandungan gula

Kandungan gula di dalam epal merah adalah lebih banyak daripada kandungan gula di dalam epal hijau. Ini sekali gus menyebabkan epal hijau lebih menjadi pilihan terutamanya buat individu yang ingin mengurangkan berat badan dan menjaga aspek diet pemakanan harian. Pengambilan epal hijau dipercayai bagus dan selamat untuk individu yang menghidapi masalah kesihatan seperti diabetes. Bagus juga untuk yang sedang berusaha untuk diet kuruskan badan.

Kandungan antioksidan

Antara epal merah atau hijau, dipercayai kandungan antioksidan adalah lebih tinggi di dalam epal merah. Peranan antioksidan adalah penting untuk badan kerana ia dapat membantu mencegah dan melawan sebarang masalah kesihatan yang berkaitan dengan radikal bebas.

Kandungan asid

Seperti yang anda sedia maklum, rasa epal hijau adalah lebih masam berbanding epal hijau. Keadaan ini berlaku disebabkan kewujudan kandungan asid malik (acid malic) di dalam epal hijau yang lebih tinggi berbanding epal merah. Ini menyebabkan epal hijau amatlah sesuai untuk dimakan oleh individu yang mengalami masalah batu karang.

Untuk makluman umum, asid malik adalah sejenis bahan yang terdapat secara semula jadi di dalam buah-buahan seperti epal dan pir. Ia dianggap sebagai asid alfa-hidroksi (alpha-hydroxy acid), iaitu satu kelas asid semula jadi yang biasa digunakan di dalam produk penjagaan kulit. Ia juga boleh didapati dalam bentuk suplemen makanan tambahan. Asid malik ini dipercayai dapat menawarkan pelbagai manfaat untuk kesihatan.

Rasa

Ini semestinya satu perbezaan yang sudah diketahui umum. Seperti yang dinyatakan di atas rasa kedua-dua jenis epal ini ternyata berbeza. Epal merah menawarkan rasa manis dan epal hijau memberikan rasa yang lebih masam.

Sejujurnya, sama ada merah atau hijau, kedua-duanya mempunyai jumlah nutrisi dan khasiat yang tidak jauh berbeza. Tetapi dari aspek kebaikan kesihatan, epal hijau dikatakan memiliki lebih banyak kebaikan berbanding epal merah. Apakah kebaikan tersebut? Teruskan membaca perkongsian artikel ini.

Kebaikan epal hijau

Khasiat epal hijau

Jika anda gemar untuk memakan epal hijau, pastinya anda ingin mengetahui manfaat yang anda akan perolehi daripada pengambilan epal ini. Antara manfaat yang ditawarkan adalah seperti:

Tinggi kadar serat

Epal dengan warna hijau terang ini mengandungi kandungan serat yang tinggi. Ia dapat berfungsi untuk membantu mencuci sistem dan meningkatan kadar metabolisme badan anda. Ia sekali gus memudahkan pergerakan usus, yang mana kebaikan daripada pergerakan ini dapat menghindari masalah sembelit. Sama ada memakan epal hijau atau merah, anda adalah amat disarankan untuk memakannya dengan kulitnya sekali, iaitu tanpa mengupasnya. Ini kerana kandungan nutrisinya adalah lebih banyak terletak pada bahagian kulit. Tetapi, pastikan anda membasuh epal yang ingin anda makan dengan sebaik-baiknya!

Menurunkan tekanan darah

Penyakit diabetes adalah berkaitan dengan penyakit tekanan darah tinggi. Dan epal dipercayai menawarkan kebaikan yang dapat membantu menurunkan masalah tekanan darah yang tinggi. Keadaan ini dipercayai kerana terdapat kandungan bahan di dalamnya yang membolehkan tekanan darah yang tinggi diturunkan dan selain itu, ia dapat membantu melancarkan pengaliran darah dalam badan.

Kandungan mineral

Epal hijau mengandung nutrisi seperti zat besi, zink, mangan, kalium dan sebagainya. Semua bahan ini adalah mineral yang dapat membantu badan untuk berfungsi dengan lebih baik. Zat besi di dalam epal membantu meningkatkan kadar peredaran oksigen di dalam darah dan membantu meningkatkan kadar metabolik badan secara keseluruhan.

Rendah lemak

Epal hijau mempunyai kandungan lemak rendah dan membantu mengekalkan aliran darah yang baik di dalam badan. Peredaran yang lebih baik boleh mencegah penyakit jantung dan strok. Epal hijau juga kaya dengan vitamin K yang memberikannya kemampuan untuk menyembuhkan pembekuan darah.

Untuk makluman vitamin K memainkan fungsi penting dalam membantu proses pembekuan darah, mencegah pendarahan berlebihan. Berbeza dengan vitamin yang lain, vitamin K jarang digunakan sebagai makanan tambahan.

Melawan masalah penuaan

Epal hijau mempunyai manfaat tambahan lain iaitu membantu memperlahankan proses penuaan dan meningkatkan ‘kecantikan badan’ secara keseluruhan. Ia juga membantu dalam penjagaan kulit yang betul dan menghilangkan lingkaran hitam. Boleh baca tentang kebaikan epal hijau untuk kecantikan dari NDTV.

Seimbangkan hormon estrogen

Berita baik untuk individu wanita yang gemar memakan buah epal hijau. Hormon estrogen adalah hormon yang penting untuk wanita dalam membantu aspek perkembangan seksual dan mengawal penebalan dinding rahim selama proses kitaran menstruasi dan kehamilan. Estrogen juga berperanan untuk mengawal metabolisme tulang dan kolesterol. Kandungan zat baron yang terdapat dalam epal hijau menawarkan manfaat untuk mengawal, mengendali dan menstabilkan jumlah estrogen dalam badan individu wanita.

Melindungi kulit sensitif

Kulit merupakan organ terbesar pada badan yang perlu dijaga dengan sebaiknya. Ia merupakan satu lapisan pertahanan pertama untuk setiap individu. Kulit terbahagi kepada beberapa jenis, antaranya kulit kering, berminyak, kombinasi dan sensitif.

Individu yang mempunyai kulit yang sensitif perlu memberikan perhatian yang lebih dalam aspek penjagaannya. Ini kerana dalam pergerakan seharian, kulit pastinya akan terdedah kepada alahan yang disebabkan oleh habuk atau debu, asap kenderaan dan kesan sinaran matahari. Bahan seperti vitamin A, C dan E dan beberapa mineral lain di dalam epal menjadi ia sebagai makanan antioksidan yang terbaik untuk melindungi kulit kering.

Mencegah kerosakkan gigi

Kebaikan ini boleh diperolehi apabila anda menggigit dan mengunyah epal. Ini kerana ia akan menghasilkan air liur yang banyak untuk mengunyahnya dengan baik kerana tekstur buah yang agak keras. Dengan penghasilan air liur yang banyak ini, dipercayai bakteria di dalam mulut akan dapat dikurangkan sekali gus mencegah kerosakkan gigi.

Kawal pengambilan

Epal adalah makanan yang berkhasiat untuk dimakan. Tetapi anda dinasihatkan untuk tidak memakannya dalam jumlah yang terlalu banyak. Setiap hari hadkan pengambilannya iaitu dengan tidak melebihi enam biji sehari. Ini kerana memakan buah epal dalam jumlah yang banyak cenderung meningkatkan kadar gula di dalam badan. Dalam masa yang sama, pastikan anda turut mengambil makanan berkhasiat lain. Epal hijau bukanlah sejenis makanan tunggal yang boleh memenuhi keperluan diet pemakanan harian individu!

Akhir kalam

Kami tidak kata epal hijau lebih bagus. Cumanya, ia lebih banyak kebaikan dan manfaat berbanding epal merah. Ada orang yang kreatif, siap makan dengan asam boi! Namun, ikutlah selera masing-masing.

Semoga bermanfaat.

Carian dari Google:

  • tips melupakan seseorang
  • resume bahasa melayu 2019
Sebarkan kebaikan

Leave a Comment