10+ Sebab Kenapa Lelaki Susah Nak Luahkan Perasaan


Sifat orang perempuan, apa yang ada dalam hatinya, akan keluar di mulut. Sebaliknya, lelaki tidak begitu. Pastinya ada sebab kenapa lelaki susah nak luahkan perasaan. Cuma dia tidak mahu cakap, hanya ambil sifat berdiam diri sahaja.
Pastinya, ramai perempuan yang selalu menyatakan kekecewaan mereka apabila bagaikan bercakap seorang diri. Si lelaki buat tak tahu. Macam tak ada apa-apa perasaan. Tak ada respon langsung. Senyap. Diam. Membisu.
Mulalah tertanya-tanya, kalau ada masalah, kenapa tak luahkan?
Soalnya di sini, kenapa lelaki susah nak luahkan perasaan?
Izinkan kami berkongsi.
 

Dia ada penyakit alexithymia

Gerun pula bunyinya, bukan?
Menurut PsychologyToday, alexithymia ialah terma untuk seseorang yang mempunyai masalah untuk meluahkan emosinya dalam bentuk perkataan. Ia bagaikan satu konflik identiti, di mana lelaki maskulin selalunya tidak begitu.
Jarang sekali kita lihat lelaki yang bersungguh-sungguh bercerita, hingga tangan ke atas bawah, kiri dan kanan.
Kecuali lelaki yang golongan satu lagi itu. Faham kan?
 

Dia memang tak pandai meluahkan perasaan

Mendengar luahan seseorang, itu boleh dipanggil caring. Kalau meluahkan pula, dipanggil apa?
Sejujurnya, cara lelaki meluahkan perasaan itu tidak sama dengan perempuan. Meluahkan perasaan dan beremosi itu tidak ada dalam kamus lelaki. Dia tidak pandai untuk bermain emosi. Usah ditanya mengapa begitu.
Orangnya jenis lurus. Emosinya juga menjalar dengan garis lurus.
 

Mempunyai sejarah silam tentang keluarga

Tak semua lelaki mempunyai kisah yang penuh dengan warna-warni. Berlatar belakangkan pelangi, di samping kehadiran seekor unicorn fantasi yang berlari sana-sini.
Cara dia dibesarkan, tidak sama. Silap haribulan, si lelaki ini adalah mangsa keganasan rumah tangga.
Mungkinkah cara lelaki ini luahkan perasaan dalam diam; adalah dengan menyendiri?
 

Dia ada ego yang tersendiri

Kena faham, lelaki pun ada ego dia sendiri. Bila luahkan perasaan, rasa bagaikan tidak macho pula.
Bila lelaki luahkan perasaan, rasa macam bukan diri dia sendiri.
Tak usah ego berlama-lama, akan memakan diri sendiri.
 

Dia menyembunyikan sesuatu

Orang yang menyimpan sesuatu perkara, dan tidak mahu diketahui, akan nampak terlalu berhati-hati. Bukannya berhati-hati dalam komunikasi sahaja, setiap butir perkataan dari mulutnya bagaikan melalui penapis air Coway (atau Cuckoo).
Adakah ini tandanya dia lelaki curang?
Atau mungkinkah dia tidak mahu menyakiti hati pasangannya jika berterus terang?
 

Dia lelaki pemalu

Malu, tak sama dengan takut. Takut langsung tak berani untuk berdepan untuk luahkan perasaan.
Malu yang ini, ialah malu tapi mahu. Malu juga jika bertepuk sebelah tangan.
Tapi kalau dah kahwin, jangan malu-malu. Rugi.
 

Dia takut kena reject

Ada jenis lelaki yang masih lagi belum mempunyai pasangan, tapi dia terlalu menaruh harapan pada si perempuan. Yang jadi masalahnya ialah dia tidak berani berterus-terang secara berhadapan.
Ya, inilah ketakutan yang maha hebat. Ramai lelaki yang tak pandai nak memulakan perbualan. Lebih suka bersembang dengan kawan-kawan sendiri, tapi tak berani cakap depan-depan perempuan yang dia suka.
Wahai lelaki, bangkitlah. Belajarlah kena β€˜rejectβ€˜, jangan berhati tisu sangat. Kalau tidak, sampai bila mahu berbini.
 

Dia takut dia tak layak

Lebih kurang sama dengan takut dikecewakan. Dalam fikiran si lelaki ini, si perempuan meletakkan standard setinggi Menara Berkember KLCC.
Hakikatnya, si perempuan sudah melabuhkan hajat di hati. Ini cuma tentang persepsi.
 

Dia tak percaya orang lain

Ada jenis lelaki yang dia memang suka buat kerja sendirian. Apa-apa keputusan yang dia bakal ambil pun, dia buat secara bersendirian. Kalau bercerita pada orang lain, belum tentu orang itu dengar. Lebih-lebih lagi pada si perempuan.
Maka, di sini, sudah wujud persepsi berat sebelah. Menghukum sebelum ia berlaku, itu tidak perlu.
 

Dia tak mahu beri komitmen

Ini satu lagi. Bila sudah berkawan, takut pula mahu mengikat tali pertunangan untuk ke jinjang pelamin. Belum bersedialah, duit belum cukuplah, dan macam-macam lagi alasan.
KalauΒ tak mahu komitmen, jangan serius berkawan dengan perempuan. Luka hati si perempuan itu nanti, kalau terlalu berharap.
Orang perempuan pula, bila tanya lelaki; dan dia hanya diam membisu, jangalah pula berkeras mahu tahu. Cuba berikan ruang secukupnya dahulu.
 

Dia lelaki yang baik

Bertuahlah siapa yang dapat lelaki jenis ini. Dengan syarat, lelaki ini tak pandai luahkan perasaan kerana mahu menghalalkan dulu perhubungan dengan si perempuan. Juga jenis tak pandai merajuk.
Bila sudah halal sepenuhnya nanti, dia akan luahkan segala ruang dalam hatinya.
Adakalanya, ini adalah retorik semata-mata. Sesudah berkahwin, dia terus zip mulutnya.
Orang yang sudah berkahwin, tentu akan faham.
 

Akhir kalam

Jagalah perasaan masing-masing. Rumah tangga yang harmoni, datangnya dari seni komunikasi.
Janganlah hidup hanya untuk mencari gaduh dengan si perempuan. Untuk lelaki selalu menunjukkan ego, cubalah kikis sedikit sikap itu.
Semoga perhubungan anda sentiasa dirahmati Allah.

Carian dari Google:

  • cara lelaki pemalu meluahkan perasaan
  • tanda lelaki malu meluahkan perasaan
  • suka tapi susah nak luahkan
  • Cara lelaki meluah perasaan
  • cara llki pemalu luahkn prasaan
  • ciri lelaki malu meluahkan cinta
  • https://theberkat com/kenapa-lelaki-susah-nak-luahkan-perasaan/
  • kenapa dia terlalu malu
  • KENAPA LELAKI HILANGKAN DIRI BILA ADA MASALAH
  • kenapa lelaki reject perempuan
Sebarkan kebaikan
  • 287
    Shares

Leave a Comment