Kencing Kotor – Punca & Cara Merawat & Menghilangkannya


Pernahkah anda merasa sakit serta pedih ketika ingin kencing dan kencing anda berbau busuk? Jika anda mengalami situasi seperti ini, anda mungkin mengalami jangkitan kuman di saluran air kencing yang dikenali sebagai kencing kotor atau dalam Bahasa Inggeris turut dikenali sebagai ‘urinary tract infection’ (UTI).
Menurut UrologyHealth, 60% wanita pasti akan mengalami masalah ini paling tidak, sekali seumur hidup, berbanding lelaki yang hanya 20% sahaja.

Macam mana boleh berlaku?

Kencing kotor berlaku apabila terdapatnya jangkitan kuman di saluran air kencing. Keadaan ini lebih kerap dialami oleh individu wanita kerana saluran air kencing yang pendek menyebabkan ia lebih berisiko untuk dijangkiti kuman. Walaupun begitu, tanpa mengira jantina dan usia, sesiapa sahaja boleh mendapat jangkitan kencing kotor ini.
 

Punca kencing kotor

Terdapat beberapa punca yang boleh dijadikan faktor penyebab wujudnya masalah kesihatan ini kepada seseorang individu. Antaranya seperti:

Saluran air kencing

Seperti yang dinyatakan pada awal tadi, kencing kotor yang kerap berlaku kepada individu wanita. Malah mengikut kajian, lebih 50% wanita akan mengalami masalah kencing kotor atau UTI, sekurang-kurangnya sekali dalam seumur hidup.
Wanita kerap mengalami jangkitan ini kerana mempunyai saluran air kencing (uretra) yang pendek dan sangat hampir dengan lubang dubur (anus).
Bakteria yang berada sekitar lubang dubur bergerak menuju ke pundi kencing dan membiak. Antara bakteria yang paling kerap menjangkiti saluran uretra ini adalah ‘Escherichia coli’(E.coli).
 

Hubungan Seks

Perhubungan seksual juga boleh menjadi faktor penyebab yang meningkatkan risiko jangkitan. Ia boleh berlaku jika bahagian kemaluan atau faraj wanita disentuh dengan tangan atau zakar yang kotor.
 

Kehamilan

Wanita yang sedang dalam tempoh kehamilan mempunyai risiko yang tinggi untuk mudah dihidapi jangkitan bakteria. Ia berlaku disebabkan perubahan hormon dalam badan wanita hamil.
Kandungan hormon yang tinggi menyebabkan otot dan pundi kencing menjadi lemah. Situasi ini sekaligus menyebabkan perengangan pada otot dan melambatkan pengaliran air kencing.
Keadaan rahim yang semakin membesar dan menekan saluran kencing dari luar, sekaligus menjadikan pergerakan air kencing tersekat turut boleh menjadi antara salah satu punca kencing kotor. Ini kerana pundi kencing tidak dapat dikosongkan secara efektif setiap kali anda kencing dan memudahkan bakteria untuk membiak dan menyebabkan jangkitan yang dipanggil kencing kotor.
Air kencing yang menjadi lebih berasid ketika hamil atau mengandung bersama kandungan gula yang tinggi juga boleh menjadi penyebab kuman dan bakteria untuk mudah membiak.
 

Kencing manis

Individu yang mempunyai masalah kesihatan seperti kencing manis atau diabetes serta penyakit batu karang juga berisiko untuk cenderung mengalami masalah kencing kotor ini.
 

HIV

Selain itu, individu yang mempunyai sistem pertahanan badan, iaitu imunisasi badan yang lemah seperti pesakit HIV atau AIDS juga berdepan risiko tinggi untuk menghidapi masalah jangkitan pada saluran kencing.
 

Tanda kencing kotor

Beberapa simptom umum yang boleh dikenal pasti bagi pesakit yang mengalami masalah kencing kotor ini adalah seperti:

Rasa pedih

Seseorang itu akan rasa pedih semasa atau selepas membuang air kencing
 

Rasa sakit

Rasa sakit pada bahagian bawah perut
 

Terlalu kerap kencing

Kekerapan membuang air kencing yang tinggi walaupun kuantiti yang sedikit. Ini bukan hanya untuk ibu hamil atau mengandung yang kerap kencing semata-mata. Ia adalah tanda kepada semua, lelaki atau wanita.
 

Air kencing ada darah

Air kencing mengandungi sedikit darah.
 

Air kencing keruh

Air kencing berwarna keruh, tidak seperti biasa yang kekuning-kuningan.
 

Air kencing busuk

Air kencing yang kotor juga berbau busuk.
 

Badan menggigil

Akan mengalama rasa badan menggigil dan demam.
 

Sakit ketika seks

Rasa sakit ketika melakukan hubungan kelamin suami isteri.
 

Cara menghilangkan kencing kotor

Ini antara beberapa cara untuk merawat dan menghilangkan masalah kencing kotor, terutama sekali untuk golongan wanita.
 

Ambil antibiotik

Untuk merawat masalah kencing kotor ini, pemberian antibiotik akan diberikan. Tetapi ia hanyalah untuk dua kumpulan sahaja iaitu; individu yang mempunyai simptom kencing kotor dan individu wanita yang sedang mengandung walaupun tidak mempunyai simptom kencing kotor.
Bagi individu wanita hamil yang disahkan mempunyai masalah kencing kotor tetapi tidak mempunyai sebarang simptom perlu dirawat dengan menggunakan antibiotik kerana ia boleh menyebabkan kelahiran tidak cukup bulan.
Antibiotik yang diberikan kebiasaannya perlu dihabiskan dalam tempoh 3 hingga 7 hari. Antibiotik yang diberikan adalah selamat untuk bayi dalam kandungan dan ia perlu dihabiskan walaupun rasa sakit yang dihadapi sudah berkurangan.
Sekiranya antibiotik telah habis dimakan, anda perlu untuk menjalani pemeriksaan semula air kencing bagi memastikan tiada lagi jangkitan. Tetapi seandainya masih terdapat tanda jangkitan, doktor akan memberikan antibiotik jenis lain.
Jika keadaan bertambah parah, pesakit yang mula mendapat demam yang tinggi dan menggigil akan dibawa ke hospital untuk dilakukan pemeriksaan lanjut.
 

Tanpa antibiotik

Individu yang tidak diberikan antibiotik dan tidak mengalami sebarang simptom pula digalakkan untuk minum air dengan banyak bagi membantu mengeluarkan kuman dan bakteria yang terdapat dalam saluran atau pundi air kencing.
 

Cara mengelakkan kencing kotor

Ada beberapa langkah pencegahan masalah kencing kotor. Jika sudah cegah, maka tak akan kena kencing kotor. Maka tak perlulah rawat dan gunakan petua tradisional, semata-mata untuk menangani masalah ini.
Berikut langkah dan kaedah pencegahan yang boleh dilakukan untuk mengelakkan masalah ini daripada berlaku. Antara seperti:
 

Jangan tahan kencing

Jika anda terasa ingin membuang air kencing, pastikan anda terus untuk melakukannya. Jangan menahan atau menangguhkannya kerana ia berisiko untuk menggalakkan pembiakan bakteria dalam pundi air kencing dan cenderung merebak ke saluran air kencing.
 

Minum air

Seperti yang sering disarankan, perbanyakan minum air. Tetapi harus diingatkan, air kosong ye, bukan minuman manis apatah lagi berkarbonat.
Sebolehnya minum antara 6 hingga 8 gelas air kosong sehari, atau sehingga warna air kencing anda menjadi jernih.
 

Pakaian longgar

Memakai pakaian yang ketat berisiko mengalakkan pembiakan bakteria. Jadi amatlah disarankan untuk memakai pakaian dalam yang longgar dan sebaiknya diperbuat daripada material kapas.
 

Kebersihan bahagian sulit

Biasakan diri anda untuk mengelap bahagian alat sulit anda dari depan ke belakang, selepas ke tandas. Ini adalah untuk mengurangkan risiko jangkitan bakteria dari bahagian dubur ke saluran faraj.
Jangan lupa untuk membasuh tangan selepas mencuci alat sulit dan selepas ke tandas!
 

Tukar ‘pad’ dengan kerap

Bagi individu wanita yang menggunakan ‘pad’ atau tuala wanita, pastikan anda menukarnya dengan lebih kerap jika telah kotor. Penggunaan ‘panty liner’ juga amat digalakkan jika anda mengalami masalah keputihan.
 

Buang air kencing

Sebelum dan selepas melakukan sebarang hubungan seks, anda dinasihatkan untuk membuang air kencing. Ini adalah untuk mengelakkan sebarang risiko jangkitan.
 

Lakukan pemeriksaan

Jika anda mengesyaki diri anda mengalami masalah jangkitan kuman pada saluran air kencing, pastikan anda mendapatkan pemeriksaan untuk mendapatkan ubatan yang sewajarnya.
Ini kerana jika anda tidak melakukan sebarang pemeriksaan atau rawatan, dan membiarkan masalah tersebut, jangkitan tersebut berisiko untuk merebak ke bahagian saluran kencing lain seperti buah pinggang.
 

Bahaya kencing kotor

Salah satu tanda utama buah pinggang dijangkiti kuman adalah apabila air kencing menjadi keruh. Keadaan ini dikenali sebagai ‘pyelonephritis’. Manakala jangkitan kuman pada testis iaitu dikenali sebagai ‘orchitis’, jangkitan kuman di pundi kencing pula dipanggil ‘cystitis’ dan jangkitan kuman yang tersebar dalam saluran darah iaitu ‘urosepsis’.
 

Akhir kalam

Kencing kotor
Semua perkara ini sangat membahayakan kerana boleh merosakkan organ-organ tersebut lalu mengundang maut. Mohon berdoa pada Allah agar dijauhkan dari penyakit sebegini.
Dapatkan nasihat doktor terlebih dahulu jika mengalami masalah kencing kotor. Dapatkan juga ubat yang dibeli di farmasi, bukan tepi-tepi jalan.
Jadi, perkara ini harus dibendung dari awal lagi supaya tidak menjadi serius pada masa akan datang. Jangan ambil mudah!
Jemput baca tentang kencing tak lawas pula.
Semoga bermanfaat.
 

Carian dari Google:

  • Apa harus di lakukan jika kencing kotor
  • cara mengatasi kencing kotor
  • kencing kotor in english
  • punca kencing kotor
  • punca punca kencing kotor
Sebarkan kebaikan

Leave a Comment