Kerap Kencing: Punca dan Cara Mengatasi Bagi Ibu Hamil

Kerap kencing, cara mengatasi dan punca bagi ibu hamil

Pernahkah anda mendengar mengenai masalah kerap kencing? Jika anda pernah mendengar mengenainya atau mungkin anda sendiri sedang mengalami masalah ini, terutama sekali jika ternampak tanda tanda awal mengandung, maka tepatlah pilihan anda untuk memilih membaca perkongsian artikel kami ini.

Seperti perkongsian BabyCenter, masalah kerap kencing atau dikenali sebagai ‘Urinary Frequency’ adalah satu keadaan yang sering dialami oleh masyarakat umum, terutama sekali bagi ibu mengandung. Seseorang individu berkemungkinan untuk melalui permasalahan ini paling tidak, sekali seumur hidup.

Apa yang dikatakan sebagai kerap kencing? Anda akan dianggap mempunyai masalah kerap kencing jika anda berdepan situasi kencing yang kerap apabila perlu membuang air kencing lebih daripada 6 kali sehari dan perlu bangun daripada tidur melebihi 2 kali untuk membuang air. Keadaan ini berlaku apabila badan anda menghasilkan jumlah air kencing lebih banyak daripada biasa.

Kebiasaannya dalam sehari, seorang individu yang berada dalam keadaan sihat dan normal akan menghasilkan air kencing antara 1 hingga 2 liter. Tetapi keadaan ini berbeza bagi individu yang berdepan dengan isu kerap kencing di mana buah pinggang mereka akan menghasilkan air kencing lebih daripada 3 liter sehari.

Punca kerap kencing

Apakah punca dan penyebab masalah kerap kencing ini? Antara beberapa keadaan yang boleh menyebabkan wujudnya permasalahan ini, adalah seperti:

Kencing Manis

Mengalami masalah kencing yang kerap di dalam kuantiti yang besar pada kebiasaannya merupakan simptom awal bagi penyakit kencing manis atau lebih dikenali sebagai diabetes, iaitu diabetes jenis 1 dan diabetes jenis 2. Keadaan ini boleh berlaku kerana badan anda sedang berusaha untuk membuang glukosa yang berlebihan melalui air kencing.
Keadaan ini berlaku apabila terdapat terlalu banyak glukosa dalam darah, sekaligus memaksa buah pinggang anda bekerja dengan lebih keras untuk menyingkirkan kandungan gula tambahan tersebut. Ini akan membuatkan anda menjadi kerap membuang air kecil, adakalanya ia akan berlaku beberapa kali pada waktu malam.

Mengandung

Perkembangan janin dalam perut yang semakin membesar pastinya akan memberikan tekanan kepada pundi kencing. Peningkatan tekanan ini pastinya akan menyebabkan seseorang individu wanita hamil akan mengalami masalah kekerapan kencing lebih kerap daripada biasa.

Masalah prostat (lelaki sahaja)

Keadaan prostat yang membengkak pastinya akan memberikan tekanan kepada uretra iaitu tiub yang akan menyalurkan air kencing untuk keluar daripada pundi kencing, dan ia akan menghalang aliran keluar air kencing lantas menyebabkan dinding pundi kencing menjadi rengsa dan tidak selesa.
Ketidakselesaan ini akan menyebabkan pundi kencing mula mengecut walaupun ia mengandungi sedikit sahaja air kencing dan akan menyebabkan seseorang itu mengeluarkan air kencing dengan lebih kerap.

Diuretik

Penggunaan ubatan diuretik adalah ubat yang digunakan untuk merawat tekanan darah tinggi. Apabila seseorang individu mengambil ubatan ini, ia akan menggalakkan pengeluaran cecair daripada badan dan menyebabkan seseorang individu itu untuk kerap membuang air kecil.

Interstitial Cystitis

Ia adalah satu masalah kesihatan kencing yang kronik. Individu yang menghidapi masalah ini akan berasa sakit dan tekanan di kawasan pundi kencing. Masalah kesihatan ini sukar untuk didiagnosis.
Walaupun terdapat rawatan yang boleh dilakukan untuk menjadikan keadaan kesihatan ini lebih baik, tetapi tidak terdapat sebarang kaedah atau cara yang boleh menyembuhkan masalah ini secara keseluruhan. Beberapa simptom yang boleh dialami individu dengan masalah kesihatan ini adalah keinginan untuk membuang air kencing yang kerap.

Minum banyak

Antara punca paling biasa yang menyebabkan anda kerap kencing adalah kerana anda minum dalam kuantiti yang banyak daripada biasa berbanding keperluan badan.

Pemanis tiruan, kafein

Pengambilan minuman yang beralkohol dan kafein turut akan memberikan kesan seperti pengambilan ubatan diuretik yang akan menyebabkan seseorang individu itu kencing dengan lebih kerap. Minuman berkarbonat, pemanis buatan seperti Equal dan buah-buahan sitrus turut dipercayai akan memberikan kerengsaan kepada pundi kencing yang akhirnya akan mengakibatkan seseorang individu itu kencing dengan lebih kerap.

Overactive Bladder (OAB)

Kerap kencing juga mungkin disebabkan oleh masalah pundi kencing aktif atau OAB. individu dengan masalah ini akan menerima rangsangan daripada pundi kencing terlalu cepat walaupun pundi kencing masih tidak penuh.

Pundi kencingnya akan mengecut secara tidak sedar dan boleh berlaku pada bila-bila masa tanpa amaran. Ini menyebabkan pesakit kerap kencing. Untuk masalah yang lebih kronik, terdapat juga individu yang mengalami ketirisan air kencing di luar kawalan dan terpaksa memakai pad atau lampin.

Cara mengatasi kerap kencing

Berikut adalah beberapa cara rawatan bagi mengatasi masalah kerap kencing ini, antaranya seperti:

 

Ubah gaya pemakanan

Lakukan perubahan dalam diet pemakanan anda dan hindari makanan yang berisiko untuk mengganggu pundi kencing atau bertindak sebagai diuretik seperti kurangkan mengambil dan memakan oren, tomato dan makanan berasid tinggi. Dalam masa yang sama elakkan mengambil kafein, alkohol dan minuman berkarbonat yang terlalu banyak.

 

Latihan pundi kencing, senaman kegel

Membuat latihan pundi kencing dan senaman kegel, satu amalan senaman yang berkesan untuk membuat faraj lebih ketat. Melakukan senaman ini akan membantu menguatkan otot-otot di sekeliling pundi kencing dan uretra. Ia dapat membantu meningkatkan kawalan pundi kencing, mengurangkan kekerapan untuk kencing dan mengurangkan rasa ingin kencing. Lakukan senaman ini selama 3 kali sehari untuk selama 5 minit bagi setiap sesi.

 

Mengawal pengambilan cecair

Kerap kencing selalunya berkaitan dengan jumlah cecair yang anda ambil dalam sehari. Walaupun pengambilan air yang mencukupi penting untuk memastikan badan dapat berfungsi dengan baik dan menghindari masalah dehidrasi, tetapi pengambilan secara berlebihan boleh menjadi antara punca masalah kerap kencing ini.

 

Pembedahan

Untuk merawat masalah ini, terdapat beberapa jenis pilihan pembedahan. Pembedahan yang paling kurang invasif adalah melibatkan suntikan implan ke dalam saraf kecil di bawah kulit. Ia berfungsi untuk memanipulasi rangsangan saraf yang mengawal lantai punggung yang terlibat dalam proses pengeluaran air kencing.

 

Suntikan botox

Merupakan pilihan terakhir bagi pesakit yang tidak dapat memberikan tindak balas terhadap rawatan seperti perubahan gaya hidup mahupun ubat-ubatan. Botox akan disuntik ke dalam otot pundi kencing dan ia akan menyebabkan otot berehat dan meningkatkan kapasiti penyimpanan air kencing.

 

Masalah ketika hamil dan selepas bersalin?

Ibu hami dan mengandung mengalami rasa kerap kencing
Seperti yang dikatakan di atas kekerapan membuang air kencing yang kerap boleh menjadi salah satu tanda-tanda hamil. Ia berlaku disebabkan tekanan daripada rahim yang membesar dan menekan pundi kencing anda serta perubahan hormon yang meningkatkan peredaran darah ke pelvis.

Tetapi seandainya kekerapan untuk kencing ini disertai dengan rasa sakit, anda mungkin perlu berjumpa dengan doktor untuk mendapatkan pemeriksaan, kerana ia boleh menjadi simptom jangkitan saluran kencing (urinary tract infection,UTI).

Jangkitan saluran kencing adalah di antara penyebab utama yang menyebabkan kencing menjadi kerap. Ia berlaku apabila bakteria memasuki pundi kencing melalui uretra, iaitu saluran yang menyalurkan air kencing dari pundi kencing ke luar badan semasa proses kencing. Dianggarkan bahawa 50 hingga 60 peratus individu wanita akan mengalami sekurang-kurangnya satu jangkitan UTI seumur hidup mereka.

Bagaimana pula jika anda kerap kencing selepas bersalin? Bukan semua wanita selepas bersalin akan mengalami inkontinens urin iaitu suatu keadaan di mana anda tidak dapat mengawal air kencing, terutama semasa bersin, batuk, ketawa, melompat, mengangkat benda berat, atau lain-lain pergerakan yang meletakkan tekanan pada pundi kencing anda. Keadaan ini lebih kerap terjadi kepada wanita yang bersalin secara normal berbanding kaedah ceaseran.

Untuk merawat masalah ini, terdapat beberapa kaedah rawatan yang boleh dilakukan, seperti:

  • Senaman kegel
  • Menggunakan pad atau lampin untuk membantu menyerap air kencing dan melindungi seluar daripada kebocoran
  • Silangkan kaki dan ketatkan otot pelvik apabila mahu bersin, batuk atau ketawa
  • Kurangkan pengambilan minuman berkafein dan minuman ringan
  • Kurangkan mengambil dan memakan oren, tomato dan makanan berasid tinggi

 

 

Akhir kalam

Kerap kencing bagi ibu mengandung
Jangan pula anda menganggap tabiat kerap kencing ini adalah satu perkara remeh kerana ia boleh dikaitkan dengan masalah kesihatan seperti penyakit diabetes serta boleh mengakibatkan kesan dehidrasi yang teruk. Malah jika ia tidak dirawat, terdapat kecenderungan risiko mendapat masalah gangguan fungsi buah pinggang.

Cuba amalkan diet yang seimbang dan gaya hidup yang sihat untuk membantu mengawal kadar penghasilan air kencing.
Semoga bermanfaat.

Carian dari Google:

  • kerap kencing ketika puasa
  • kerap kencing selepas sahur

20+ Cara Tambah Berat Badan (Untuk Bayi, Kanak-kanak, Ibu Hamil & Orang Dewasa)

Cara tambah berat badan bayi & kanak-kanak

Media massa sering memfokuskan isu berat badan berlebihan atau obesiti dalam kalangan masyarakat. Namun, masalah berat badan kurang juga tidak boleh dipandang enteng. Mengapa perkara ini boleh berlaku? Dan bagaimana pula satu lagi pihak yang mahu naikkan berat badan, dan mencari-cari cara tambah berat badan? Salahkah mereka untuk nampak sihat dan tidak kurus?
Mengikut Kementerian Kesihatan MalaysiaKementerian Kesihatan Malaysia, masalah ini boleh berlaku apabila Indeks Jisim Tubuh (BMI) lebih rendah dari 18.5. Maksudnya, berat badan individu tersebut ialah 15% hingga 20% lebih rendah berbanding purata berat dengan umur dan jantina individu lain.
Mungkin anda akan berasa lebih mudah untuk menambahkan berat badan berbanding mengurangkannya.
Betul ke pandangan seperti itu? Sebenarnya, isu ini tidak semudah yang dibayangkan. Ini kerana bukan semua individu mempunyai tahap metabolisme, emosi, ilmu pemakanan dan kesedaran yang sama. Justeru, artikel ini akan cuba untuk mencari jalan penyelesaian bagi masalah ini.
Perbincangan ini akan menyentuh tiga golongan utama yang terdedah kepada masalah kurang berat badan iaitu golongan bayi dan kanak-kanak, ibu hamil dan orang dewasa.
 

Cara tambah berat badan (Untuk bayi & kanak-kanak)

 

  1. Langkah pertama yang perlu diambil ialah merujuk pakar perubatan untuk memastikan anak-anak kita tiada masalah kesihatan. Antara masalah yang menyekat selera makan mereka ialah alahan, kecacingan, jangkitan virus dan sebagainya. Jika keputusan menunjukkan mereka sihat, anda boleh memulakan langkah seterusnya.
  2. Ibu bapa perlu menyediakan jadual makan yang konsisten. Walau sesibuk manapun kita, pastikan keperluan pemakanan anak-anak terjaga. Kita perlu membiasakan anak-anak makan mengikut waktu yang betul iaitu sarapan, makan tengah hari, minum petang dan makan malam.
  3. Kita boleh memberikan anak-anak makanan tinggi kalori seperti kekacang, yogurt, keju, susu penuh krim dan sebagainya. Elakkan menyediakan makanan segera dan diproses seperti pizza, kentang goreng, nuget, mi segera dan sebagainya. Walaupun makanan-makanan ini tinggi kalori, namun kesemuanya langsung tidak berkhasiat.
  4. Kanak-kanak cenderung untuk menyukai makanan dan minuman yang manis dan berwarna-warni. Itulah sebabnya mereka suka makanan ringan yang tiada sebarang nutrien di dalamnya. Dalam konteks ini, ibu bapa perlu bijak mengawal psikologi mereka. Janganlah memaksa mereka makan sesuatu yang tidak disukai. Sebaliknya, ajaklah mereka menyediakan makanan bersama-sama seperti membuat sandwic, bubur nasi dan sebagainya.
  5. Selain itu, pelbagaikan cara penyediaan makanan yang kaya dengan karbohidrat, protein dan vitamin. Jika anak-anak tidak suka makan sayur, cubalah cara yang paling kreatif untuk menarik minat mereka. Misalnya membuat roti, lempeng dan bubur yang mengandungi lobak, kentang, brokoli, bayam dan sebagainya.
  6. Tahukah anda susu ibu tersenarai antara sepuluh makanan terbaik di dunia? Golongan ibu digalakkan untuk menyusu bayi mereka. Ini sebab susu ibu kaya dengan mineral dan vitamin untuk tumbesaran bayi dan melindungi mereka daripada jangkitan penyakit.

 

Cara tambah berat badan (Bagi ibu hamil / mengandung)

 

  1. Para ibu perlu mengamalkan diet yang sihat dan berkhasiat. Amalkan pemakanan sunnah seperti buah delima, kismis, susu kambing, madu, kekacang, habbatus sauda dan madu. Makanan-makanan ini terbukti sangat berkhasiat, lebih-lebih lagi untuk ibu mengandung. Jangan lupa minta suami belikan ya!
  2. Golongan ini juga perlu konsisten dalam pemakanan harian. Mereka perlu makan sebanyak lima hingga enam kali sehari dengan pengambilan saiz hidangan yang kecil. Elakkan makanan yang tinggi garam dan terlalu manis. Apabila makan dengan kerap dengan saiz hidangan yang kecil, tiada masalah berat badan kurang.
  3. Ibu-ibu yang hamil akan sentiasa berasa lapar atas faktor hormon, emosi dan sebagainya. Oleh itu, pastikan sentiasan membawa snek berkhasiat di mana-mana. Antaranya ialah yogurt, oats, kekacang dan sebagainya. Elakkan mengunyah makanan yang tinggi kalori, namun tiada sebarang faedah untuk diri sendiri dan anak yang dikandung.
  4. Buang jauh-jauh amalan turun-temurun ‘makan untuk dua orang.’ Malahan, tabiat ini memang akan menaikkan berat badan dengan mudah tetapi dengan cara yang salah! Kadar kalori yang perlu diambil oleh ibu hamil ialah tambahan sebanyak 300 kcal (kalori) berbanding dalam keadaan biasa.
  5. Fokus pada kesihatan diri sendiri dan bayi yang dikandung. Jangan mengamalkan sebarang jamu atau makanan kesihatan untuk menambahkan selera makan. Pengambilan makanan mengikut piramid makanan sudah mencukupi untuk tubuh badan. Jika masih gagal mendapat berat badan yang ideal, tambahkan snek sihat dalam pengambilan makanan harian.

 

Cara tambah berat badan (Untuk orang dewasa yang kurus)

 

  1. Ini ialah tips menarik untuk anda semua! Jangan makan nasi berulamkan air. Malah, sebelum makan, elakkan minum air secara berlebihan. Ini akan membuat perut kita menjadi kenyang dan seterusnya saiz hidangan juga menjadi lebih sedikit. Baru sahaja makan dua suap, sudah tidak larat hendak makan lagi.
  2. Kadang-kadang kita perlu bermain dengan psikologi sendiri. Untuk mengambil makanan yang lebih banyak, gunakan pinggan yang lebih besar. Kita cenderung untuk memenuhkan pinggan tersebut dengan makanan. Namun, pastikan makanan itu berkhasiat dan yang lebih penting jangan pula membazir. Ambil mengikut kemampuan diri sahaja.
  3. Jangan lupa untuk mendapatkan tidur yang mencukupi selama lapan jam setiap hari. Kualiti tidur yang buruk akan mengganggu kesihatan mental dan emosi. Tubuh menjadi lesu, badan tidak bertenaga dan seterusnya mengganggu selera makan. Oleh itu, macam mana sibuk pun kehidupan harian, jangan lupa tidur dengan nyenyak!
  4. Jangan cenderung untuk menjaga badan secara keterlaluan hingga mengakibatkan penyakit bulimia dan anoreksia nervosa. Jangan jadikan model-model barat sebagai idola untuk meniru bentuk badan mereka. Yang paling penting ialah memiliki tubuh badan yang sihat bukannya cantik tetapi berpenyakit.
  5. Jangan meninggalkan waktu makan yang utama seperti sarapan, makan tengah hari dan makan malam. Sentiasa pastikan kita makan mengikut waktu untuk mengelakkan perut kosong. Tabiat melangkau waktu makan akan mengakibatkan masalah lain seperti gastrik dan sebagainya.
  6. Tetapkan target untuk mendapatkan berat badan ideal secara beransur dan sihat. Jangan sesekali mencuba ubat-ubatan tanpa nasihat doktor. Jangan berhenti mencuba sehingga berjaya mendapat berat badan yang diingini.
  7. Pupuklah tabiat membaca tentang ilmu pemakanan dan diet melalui buku, majalah dan Internet. Kini, semuanya di hujung jari sahaja.

 

Akhir kalam

Tips tambah berat badan
Diharapkan penulisan ini dapat memberi idea untuk sesiapa sahaja yang mengalami masalah kekurangan berat badan.
Mungkin pada awalnya sukar untuk mengubah tabiat harian, namun tiada yang mustahil. Tubuh badan merupakan amanah tuhan yang diberikan kepada kita. Justeru, kita bertanggungjawab menjaga kesihatan tubuh badan dengan sebaik-baiknya.
Jika benar-benar ingin kurangkan berat badan, boleh baca tentang kebaikan chia seed. dan cuba cara diet Atkins. Sebaliknya, jika benar-benar mahu tambahkan berat badan, sila baca semula 3 bahagian di atas.
Semoga bermanfaat.

Carian dari Google:

  • tambah berat badan baby
  • tips tambah berat badan bayi