Kurap pada Kulit, Leher, Kepala – Apa Punca & Cara Menghilangkannya?

Kurap

Melihat individu lain mempunyai kurap, pasti akan terlintas dalam fikiran anda, mengenai kerisauan dijangkiti kurap. Namun, adakah benar kurap boleh merebak melalui jangkitan? Apakah sebenarnya kurap ini? Teruskan membaca artikel kami ini untuk mengetahui tentang kurap dan risikonya.
Kurap atau nama lain dalam Bahasa Inggeris bagi masalah berkaitan kulit ini adalah ‘ringworm’. Ia adalah sejenis jangkitan kulat yang boleh berlaku kepada mana-mana individu. Dalam bahasa perubatan, kurap turut dipanggil sebagai ‘tinea’.
Beberapa bahagian badan yang cenderung berisiko untuk dijangkiti kurap adalah seperti bahagian kulit kepala, kemaluan, kaki, rambut dan kuku. Jangkitan kurap ini biasanya kerap berlaku kepada individu yang mempunyai masalah sistem imunisasi yang lemah.
Antara contoh individu yang berkemungkinan untuk menghidapinya adalah seperti individu dewasa berusia, kanak-kanak, individu yang mengalami masalah kegagalan buah pinggang, kencing manis, AIDS dan HIV. Boleh baca lanjut di akhbar TheStar.
Walaupun nama lain kurap adalah ‘ringworm’ tetapi penyakit ini tidak mempunyai kaitan langsung dengan cacing. Ia mendapat gelaran tersebut disebabkan bentuk yang terhasil setelah dijangkiti kurap.
 

Apa punca kurap?

Kurap berlaku disebabkan jangkitan sejenis kulat (fungi) yang dikenali sebagai ‘dermatophyte’. Terdapat tiga jenis ‘dermatophyte’ yang dikenal pasti sebagai punca kurap iaitu:

  • Trichophyton
  • Microsporum
  • Epidermophyton

Diagnosis bagi masalah kulit ini akan diberikan bergantung kepada bahagian badan yang dijangkiti. Sebagai contoh, sekiranya bahagian kaki yang dijangkiti, ia akan dipanggil ‘tinea pedis’, sering kali terjadi kepada atlet. Manakala sekiranya bahagian yang dijangkiti adalah alat sulit, ia dikenali sebagai ‘tinea cruris’. Umumnya, jangkitan kurap ini tetap berpunca daripada kulat ‘dermatophyte’, walaupun pelbagai nama lain diberikan.
 
Jika anda mungkin tertanya-tanya bagaimana jangkitan boleh berlaku, hakikatnya, ia sebenarnya amat mudah dan ia boleh terjadi kepada sesiapa sahaja. Cara mudah dijangkiti adalah melalui sentuhan.
 

Sentuhan

Ia boleh terjadi antara sentuhan kulit dari kulit sesama manusia bagi individu yang sudah dijangkiti atau dengan haiwan yang berkurap mahupun sebarang objek yang mempunyai kulat (fomites) di atasnya.
Masalah ini juga boleh berjangkit secara autoinokulasi iaitu melalui jangkitan daripada bahagian lain pada badan seseorang individu yang sama. Sebagai contoh situasi, kulat mungkin menjangkiti bahagian badan apabila digaru dengan kuku jari yang sudah dijangkiti kulat.
 

Barangan

Tahukah anda, menggunakan barangan seperti sikat, pakaian, tuala individu dijangkiti atau sekadar permukaan yang disentuh oleh mereka seperti dinding atau pintu, turut boleh menyebabkan anda cenderung berisiko untuk dijangkiti. Menakutkan bukan?
 

Pakaian

Keadaan kulit yang lembap disebabkan pemakaian baju yang diperbuat daripada fabrik yang tidak menyerap peluh dan keadaan iklim yang lembap dan panas juga boleh menggalakkan pertumbuhan jangkitan kurap. Malahan memegang tanah yang kotor dengan kerap juga berisiko untuk dijangkiti kurap.
Beberapa simptom umum yang biasa berlaku adalah seperti ruam, kulit menjadi kering, bersisik atau kemerah-merahan, bisul, gatal-gatal, keguguran rambut (botak), rambut rosak, kelemumur, kuku bertukar warna kuning atau hitam serta berkeruping.
Ruam yang terjadi disebabkan kurap biasanya tampak seakan plak asimetri bersisik yang timbul atas permukaan kulit. Ruam ini selalunya berwarna kemerah-merahan, dengan bahagian tengah yang kelihatan lebih cerah berbanding sempadannya (border) yang lebih gelap.
Bentuk ini dipanggil ‘central clearing’ dan disebabkan itu penyakit kurap ini turut dikenali sebagai ‘ringworm’. Terdapat juga keadaan di mana timbulnya bisul-bisul kecil yang mengandungi air di sekeliling ruam selain daripada bintik-bintik merah di bahagian tengah. Walaupun bagaimanapun, bukan semua ruam kurap mempunyai tanda seperti ini.
Jika takut puncanya adalah kerana rumah kotor, boleh cuba cara halau tikus.
 

Pantang larang kalau kena kurap

Apa yang perlu dilakukan sekiranya anda dijangkiti kurap?
Jika anda atau mungkin terdapat ahli keluarga yang dijangkiti kurap, berikut adalah beberapa cara dan kaedah yang perlu dan boleh dilakukan untuk mencegah masalah kesihatan ini daripada merebak. Antaranya:
 

Jangan menggaru

Anda mungkin berasa gatal pada bahagian yang dijangkiti tersebut. Tetapi perkara yang paling anda perlu hindari adalah menggaru bahagian yang gatal itu. Perbuatan menggaru ini boleh mengakibatkan jangkitan ini merebak ke bahagian lain. Ia boleh berlaku sama ada melalui air nanah daripada bisul kecil yang pecah mahupun daripada bahagian kulit yang tersedia dijangkiti.
 

Elakkan kelembapan

Pastikan anda membersihkan badan dengan sebaiknya dan selepas mandi, keringkan bahagian yang dijangkiti. Ini kerana kelembapan boleh menggalakkan pertumbuhan kulat dan perkara ini perlu dielakkan. Barangan peribadi seperti tuala dan pakaian harian harus ditukar dengan lebih kerap dan dicuci dengan baik. Hindari daripada berkongsi dengan individu lain.
 

Berjumpa doktor

Jika secara tiba-tiba anda terlihat ruam atau simptom lain yang disebutkan di atas berlaku, segera untuk berjumpa dengan doktor bagi mendapatkan rawatan. Jika dibiarkan, ia berkemungkinan akan membesar dan menjangkiti bahagian badan yang lain.
 

Cara menghilangkan kurap (ubat)

Kaedah untuk megubati masalah kurap ini kebiasaannya adalah dengan menggunakan ubat-ubatan yang dibekalkan oleh doktor. Ia adalah bergantung kepada luas kawasan yang dijangkiti, kurap yang berulang atau yang tidak sembuh selepas menerima rawatan pertama.

Bahagian kecil

Jika bahagian yang dijangkiti kurap adalah kecil atau terhad pada satu kawasan, penggunaan ubat sapu krim akan diberikan. Antara contoh ubat yang akan diberikan adalah seperti ‘clotrimazole’, ‘miconazole’, ‘terbinafine’, atau ‘amorolfine’. Ia perlu disapu pada bahagian dijangkiti selama untuk beberapa kali sehari dalam tempoh 2 hingga 4 minggu bergantung kepada ubat.

Bahagian besar

Bagi bahagian jangkitan yang lebih besar, atau merebak serta tidak berjaya dirawat dengan ubat krim, makan ubat dalam bentuk pil atau kapsul akan diberikan. Ubat yang mungkin akan diberikan adalah ‘itraconazole’ dan ‘terbinafine’. Ubat oral ini perlu diambil untuk tempoh masa yang lebih panjang, bermula dari 1 bulan hingga ke 6 bulan. Ia bergantung kepada bahagian badan yang terlibat.
Pastikan anda mendapatkan nasihat dan penjelasan daripada doktor atau pakar perubatan mengenai kesan sampingan ubatan serta elakkan daripada mengambil sebarang ubatan tanpa arahan daripada doktor.
 

Petua mengatasi kurap (semula jadi)

Jika anda ingin mencuba kaedah semula jadi untuk merawat masalah kurap anda, tanpa ubat, berikut terdapat beberapa cara yang boleh anda cuba.
 

Bawang putih

Setakat ini tidak bukti yang dapat mengesahkan tentang keberkesanan kaedah ini. Tetapi bawang putih dipercayai dapat mengatasi masalah kuman seperti ‘Candida’, ‘Torulopis’, ‘Trichophyton’ dan ‘Cryptococcus’.
Cara untuk mempraktikkan kaedah ini adalah dengan menghancurkan bawang putih bersama minyak zaitun atau minyak kelapa. Kemudian sapukan pada bahagian yang dijangkiti. Biarkan selama 2 jam. Selepas itu, pastikan anda membasuhnya dengan bersih. Ulangi kaedah ini 2 kali sehari sehingga sembuh.
 

Cuka epal

Bahan ini bersifat antibakteria. Anda boleh merendamkan kapas putih ke dalam cuka dan kemudian sapukan ia kepada bahagian kulit yang dijangkiti. Ulangi kaedah ini untuk 3 kali sehari sehingga sembuh.
 

Daun lidah buaya (aloe vera)

Tumbuhan ini sememangnya baik untuk kulit. Ini kerana ia mengandungi sifat antikuman, antibakteria, antivirus serta berperanan sebagai antiseptik yang baik. Ia amat sesuai untuk digunakan untuk mengubati semua jenis masalah kulit.
Untuk menggunakan ubatan semula jadi ini, sapukan gel lidah buaya pada bahagian badan yang dijangkiti. Ulang selama 3 atau 4 kali sehari.
 

Minyak kelapa

Minyak ini dipercayai boleh membunuh kuman pada kulit manusia. Anda boleh menggunakan minyak kelapa sekurang-kurangnya 3 kali sehari dengan menyapu pada bahagian terlibat.
Tetapi, sekiranya selepas menggunakan kaedah-kaedah yang disebutkan di atas ini, muncul gejala seperti bengkak, kemerahan atau lain-lain, anda dinasihatkan untuk tidak meneruskan kaedah ini.
 

Akhir kalam

Cara menghilangkan kurap
Jangan pandang remeh tentang masalah kurap.
Kurap merupakan satu masalah kulit yang boleh menjangkiti sesiapa dengan mudah. Jadi jika anda mempunyai masalah ini, jangan memandang ia sebagai satu masalah remeh. Ambil langkah-langkah yang perlu untuk mengubati dan mengatasi masalah ini. Jangan disebabkan anda, individu lain juga turut dijangkiti!
 

Intermittent Fasting: Ini Cara Diet Yang Betul (Untuk Orang Malaysia)

Intermittent fasting untuk orang Malaysia

Selalunya, misi menurunkan berat badan dalam keadaan yang sihat dan berkesan adalah satu misi mustahil. Kenapa mustahil? Ini kerana ramai yang kecundang dan gagal meneruskan diet. Pasti ramai juga yang dah tahu tentang kaedah diet yang semakin popular sekarang ini iaitu Intermittent Fasting (IF)”. Barangkali ada yang dah cuba pun; ada yang dah berjaya atau ada juga yang mungkin berhenti separuh jalan.
Persoalannya, adakah anda betul-betul faham tentang IF, kelebihannya dan teknik yang berkesan yang bersesuaian dengan kebolehan tubuh badan anda? Atau tahukah anda apakah faktor-faktor yang telah menggagalkan perlaksanaan diet anda sebelum ini yang membuatkan anda hilang semangat untuk meneruskannya? Jom kita discover Cara Intermittent Fasting Yang Betul’ untuk permulaan langkah pertama bagi meraih bentuk badan yang ideal dan sihat.
 

Apa itu Intermittent Fasting?

Intermittent Fasting (IFadalah kombinasi berpuasa dan diselang-selikan dengan rutin pemakanan anda yang biasa. Namun begitu, puasa yang dimaksudkan di sini adalah puasa makan sahaja, anda masih boleh minum. IF ini berbeza daripada puasa-puasa religi yang sedia ada dan kaedah ini juga tidak sama seperti kaedah-kaedah diet yang lain. Ianya tidak tertumpu kepada what to eat malahan lebih fokus kepada when to eat.
 

Kebaikan Intermittent Fasting

Menurut kajian, antara kelebihan mengamalkan IF adalah seperti berikut:

  1. Mengurangkan risiko kanser
  2. Meningkatkan kesihatan jantung
  3. Mengurangkan peratusan lemak dalam badan
  4. Mengurangkan selera makan dan menggalakkan penurunan berat badan
  5. Mengekalkan struktur otot dalam proses penguraian
  6. Memperbaiki kandungan gula dalam darah
  7. Meningkatkan fungsi kognitif

 

Tips Memulakan Intermittent Fasting

Cara yang mudah untuk memulakan IF adalah dengan mengenali teknik-teknik IF yang bersesuaian dengan kemampuan tubuh anda dan mulakannya dengan perlahan-lahan; bertahap. Jangan teruburu-buru atau over-do untuk mengelakkan sebarang implikasi yang tidak baik terhadap kesihatan anda.
Anda tidak perlu terbatas dengan struktur yang rigid, ukur baju pada badan sendiri dan perbanyakkan meminum air putih untuk mencegah dehidrasi sepanjang proses perlaksanaan IF.
 

Teknik-teknik Intermittent Fasting

Eat-Stop-Eat

Melalui kaedah ini, anda akan berpuasa selama 24 jam dalam kadar 1-2 hari seminggu. Jika anda tidak mampu untuk terus berpuasa selama 24 jam, mula lah dengan 14-16 jam terlebih dahulu dan dipertingkatkan kemudiannya mengikut keupayaan badan.
 

The 16/8 Method

Kaedah ini dipopularkan oleh Martin Bekhan dalam penulisannya; The Leangains Method.Anda di haruskan untuk membahagikan masa sebanyak 16 jam untuk berpuasa dan 8 jam untuk makan. Anda disarankan untuk memulakan diet puasa anda pada waktu malam agar anda mudah berpuasa dalam pada waktu tidur sehingga ke esok paginya.
Bagi sesiapa yang baru sahaja mahu mula, boleh tonton video ini untuk gambaran lebih jelas tentang cara 16/8.

 

The 5:2 Diet

Berita baik! Melalui kaedah ini anda tidak perlu berpuasa TETAPI anda perlu mengurangi jumlah pengambilan makanan anda dalam kadar 25 peratus daripada jumlah pemakanan biasa. Cara yang dinasihatkan adalah, anda perlu mengambil 500 (perempuan), 600 (lelaki) kalori sahaja dalam masa dua hari dan baki 5 hari lagi anda boleh lah meneruskan rutin pemakanan yang biasa tetapi ianya haruslah pemakanan yang sihat dan seimbang.
 

Faktor Kegagalan Intermittent Fasting Anda

Walaupun IF ini dah semakin popular, namun masih ada lagi yang mengulangi kesalahan-kesalahan yang akan mengagalkan diet anda. Semak 3 faktor utama kegagalan IF yang harus anda elakkan.
 

Pola Diet Yang Salah

Seperti yang berulang-kali diingatkan, anda haruslah mengenal pasti teknik yang boleh diterima pakai oleh tubuh anda bagi mengelakkan kejadian seperti ini berlaku. Misalnya anda seorang ahli sukan, teknik Eat-Stop-Eatbukan lah teknik yang sesuai untuk anda kerana anda perlu kan gula dalam kehidupan seharian anda bagi menjalani latihan-latihan sukan yang telah ditetapkan.
Jemput baca tentang diet yang berkesan, yang akan memberikan impak dalam jangka masa panjang.
 

Terlalu Terburu-buru Inginkan Impak

Setiap sesuatu yang baru pasti memerlukan masa untuk menjadi kebiasaan, lebih-lebih lagi tubuh kita perlu penyesuaian terhadap rutin yang baru. Contohnya, apabila anda sudah terbiasa bersarapan pada pukul 8 pagi, jangan lah anda paksa tubuh anda untuk berpuasa bermula daripada pukul 8 pagi, cari lah waktu alternatif yang lain. Latih tubuh badan anda untuk rutin yang baru sehingga ianya menjadi kebiasaan, tak perlu terburu-buru, lakukan secara bertahap dan perlahan-lahan. Apabila anda selesa, maka akan lebih lama lah anda mampu bertahan dengan rutin yang baru ini.
 

Pemilihan Makanan Yang Salah

Ini sangat penting untuk kita sama-sama ingat, pilihlah makanan yang tepat agar ianya dapat mempertahankan rasa kenyang yang lebih lama. Antara jenis-jenis makanan yang boleh menampung rasa kenyang adalah sumber protien, makanan yang mempunyai kadar serat yang tinggi, sumber lemak baik, buah-buahan dan sayur-sayuran.
Apabila rasa kenyang anda mampu bertahan lama, ianya akan memudahkan proses IF anda. Elakkan makanan yang cepat menimbulkan rasa lapar seperti makanan atau minuman yang manis, makanan yang berasaskan tepung atau makanan yang mempunyai karbohidrat yang tinggi.
Jemput baca tentang kebaikan chia seed, jika mahu menjadikan ia satu alternatif.
 

Akhir kalam

Intermittent fasting untuk kurangkan berat badan
Sebagai kesimpulannya, IF adalah satu kaedah diet yang terbukti menyihatkan dan berkesan, dan memerlukan kesabaran dan kesungguhan yang tinggi untuk mencapai goal yang ditetapkan. Akan tetapi, pada permulaan ianya boleh mengakibatkan kelaparan, penurunan tahap energy, sakit kepala, nafas berbau, kitaran haid terganggu dan macam-macam lagi.
Oleh itu, sila dapatkan khidmat dan nasihat daripada doktor samada sebelum, semasa mahupun selepas menjalani proses IF ini sekiranya anda rasa ianya memudaratkan kesihatan anda. Selagi ada kudrat, jangan sesekali biarkan berat kita mencapai obesiti. Bila sampai tahap overweight dan obesiti, ia akan membahayakan kesihatan.
Semoga bermanfaat.