Beza Penyakit Epilepsi dan Sawan (Pada Kanak-kanak & Orang Dewasa)


Kekeliruan seringkali timbul apabila terma epilepsi digunapakai. Hal ini kerana ianya selalu diletakkan secara beriringan dengan sawan. Walaupun mempunyai hubungkait yang rapat, kedua-dua keadaan ini adalah berbeza. Harus diingat, orang yang kena penyakit epilepsi bukan bermakna dia sawan.
Secara definisi, sawan berlaku apabila terdapat aktiviti elektrikal yang tidak normal berlaku di dalam otak manusia, menyebabkan simptom-simptom yang biasa dilihat yang dinamakan sebagai ‘tarik’ oleh masyarakat kita.
Pesakit selalunya akan mengalami kekejangan, hilang kawalan terhadap pundi kencing, usus dan postur badan, keluar air liur secara banyak dan menggigit lidah sendiri . Terdapat juga jenis sawan yang amat jarang didapati dimana individu yang terlibat hanya mengalami pergerakan yang tidak normal pada anggota tubuh atau hilang kesedaran kepada persekitaran.
 

Definisi epilepsi dari Kementerian Kesihatan Malaysia

Menurut MyHealth pula, epilepsi adalah gangguan otak apabila sel-sel saraf dalam otak kadang-kala mengeluarkan isyarat yang luar biasa. Corak aktiviti neuron terganggu dan menjejaskan perasaan, tingkah laku dan emosi atau kadang-kala menyebabkan kejang otot dan pengsan.
Seseorang yang mengalami sawan tidak bermakna ia mempunyai epilepsi. Sekiranya seseorang kerap mengalami sawan (dua atau lebih), maka ia dikenalpasti mempunyai epilepsi.
Epilepsi tidak berjangkit dan tidak disebabkan oleh penyakit atau kemerosotan mental.
 

Maksud epilepsi lebih luas

Epilepsi pula mempunyai makna yang lebih luas. Seseorang itu dikatakan menghidap epilepsi apabila terdapat dua atau lebih episod sawan yang tidak diketahui puncanya dan jarak di antara serangan adalah melebihi dua puluh empat jam.
Oleh itu, sawan yang dapat dikenalpasti puncanya tidak berada di bawah payung epilepsi.
 

Punca-punca dan penyebab sawan

  1. Demam
  2. Kekurangan air dan garam di dalam sistem tubuh
  3. Ketumbuhan, jangkitan kuman dan pendarahan pada otak
  4. Pernah diserang oleh angin ahmar (strok)
  5. Penyalahgunaan dadah
  6. Kekurangan oksigen dan gula dalam badan
  7. Darah tinggi semasa kehamilan/eclampsia

Adalah penting untuk mempersiapkan diri anda sekiranya anda mempunyai ahli keluarga yang menghidap epilepsi ataupun sering mendapat sawan.
 

Cara bantu menghilangkan sawan

Pertolongan yang boleh diberikan kepada individu yang mengalami sawan.
Langkah-langkah di bawah boleh diaplikasikan kepada semua peringkat umur.

  1. Kekal tenang.

Kebanyakan sawan akan berhenti dengan sendiri namun anda harus menelefon talian kecemasan sekiranya

  • Sawan berlaku pada pertama kali
  • Sawan yang lebih daripada 5 minit
  • Pesakit mempunyai kesukaran bernafas dan tidak sedar selepas serangan
  • Serangan berlaku di dalam air (pantai, kolam renang atau lain-lain)
  • Pesakit hamil
  • Pesakit pernah mengalami serangan jantung
  1. Bantu individu yang terlibat untuk baring di atas permukaan rata.
  2. Jauhi pesakit daripada objek yang boleh mendatangkan kecederaan.
  3. Lapik kepala pesakit dengan objek yang lembut.
  4. Tunggu sehingga sawan berhenti dan alihkan pesakit untuk mengiring di bahagian kiri bagi membantu pernafasan.
  5. Buang sebarang pakaian yang boleh menyebabkan pesakit berasa tidak selesa.
  6. Hitung tempoh masa serangan.
  7. Elakkan daripada memberi pesakit objek untuk digigit seperti kayu dan selipar. Ia mendatangkan bahaya.

 

Fasa-fasa serangan sawan

Untuk individu yang terlibat, terdapat tiga fasa serangan sawan yang terpaksa dihadapi

  1. Fasa pertama

Tempoh ini dikenali sebagai tempoh pra serangan ataupun amaran. Sebahagian orang akan mengalaminya namun untuk sebahagian yang lain, sawan berlaku tanpa sebarang tanda.
Pesakit akan berasa pelik, kurang selesa, menghidu bau yang kurang menyenangkan atau melihat corak-corak yang pelik. Ia bergantung kepada individu dan keadaan ini dipanggil sebagai ‘aura’.

  1. Fasa kedua

Ini adalah dimana sawan ataupun ‘tarik’ berlaku. Simptom-simptom telah dijelaskan di atas dan pesakit sama sekali tidak akan dapat untuk mengingati semula apa yang telah berlaku.
Apabila ditanya, mereka akan berkata bahawa mereka telah pengsan dan tidak sedarkan diri.

  1. Fasa ketiga

Setelah serangan sawan terhenti, individu yang terlibat akan mendapat sakit kepala, menjadi keliru dan berasa loya. Mereka harus mendapat rehat yang cukup.
 

Rawatan epilepsi dan sawan

Jika punca-punca berlakunya sawan dapat dikesan, rawatan adalah terarah kepada akar umbinya.
Selain daripada mendapat pertolongan daripada doktor, pesakit perlu juga proaktif dengan menjauhkan diri daripada punca yang boleh dielak seperti memastikan diet dan pengambilan air yang cukup.
Jauhi juga pencetus sawan, sebagai contoh cahaya yang terang dan berkelip-kelip, bau-bauan yang tidak selesa dan tekanan perasaan.
Ubat anti-epileptik akan diberikan kepada pesakit sekiranya diagnosis telah dicapai. Dos yang diberikan perlulah diikuti dengan cermat.
Walaupun ubat ini mungkin terpaksa diambil pesakit untuk seumur hidup, ia penting bagi mengelakkan diri pesakit daripada sawan yang boleh mendatangkan bahaya.
 

Komplikasi epilepsi dan sawan

Sawan yang tidak dirawat mempunyai kebarangkalian yang tinggi untuk menjadi semakin teruk. Semasa serangan, pesakit terdedah kepada risiko kecederaan kepada kepala dan anggota badan yang lain.
Selain itu, mereka juga terdedah dengan jangkitan kuman pada paru-paru jika sawan tersebut menyebabkan objek asing memasuki saluran pernafasan mereka.
Maut juga boleh menjengah sekiranya sawan berlarutan lebih daripada 5 minit (status epilepticus).
 

Epilepsi semasa hamil

Apakah hubungan epilepsi atau sawan ke atas kehamilan?
Pesakit epilepsi yang hamil perlulah sentiasa berhati-hati. Ini penting bagi mengelakkan kecederaan kepada kandungan. Serangan boleh berlaku pada bila-bila masa dan oleh kerana itu, pasangan haruslah sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga.
Terdapat satu kondisi yang dinamakan sebagai eclampsia. Ia melibatkan tekanan darah tinggi yang tidak terkawal, seterusnya menyebabkan sawan kepada wanita hamil yang pada sebelum ini mungkin tidak pernah mendapat serangan.
Kelahiran pramatang, kecacatan pada kandungan, malah kematian adalah antara bahaya yang boleh terjadi daripada keadaan ini.
 

Akhir kalam

Epilepsi adalah sawan
Apabila anak kita, ataupun ahli keluarga kita yang masih kanak-kanak atau sudah tua, mengalami penyakit epilepsi dan sawan, anggaplah itu ujian dari Allah. Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul.
Bagi yang selalu mengalami epilepsi dan sawan, ini adalah ujian juga, dan dalam masa yang sama kurniaan dari Allah. Memang akan rasa rendah diri, tetapi bertabahlah dalam kehidupan ini.
Rawatan dan ubat masih lagi perlu dicari. Kita kena sentiasa berusaha.
Semoga kita semua hidup dalam lindungan Allah. Jemput juga baca lagi artikel lain tentang cara mencegah gout yang kami pernah terbitkan.
Semoga bermanfaat.

Carian dari Google:

  • punca pesakit yang mempunyai sawan diserang sawan
Sebarkan kebaikan

Leave a Comment