10+ Sebab Kenapa Lelaki Susah Nak Luahkan Perasaan

Kenapa lelaki susah nak luahkan perasaan

Sifat orang perempuan, apa yang ada dalam hatinya, akan keluar di mulut. Sebaliknya, lelaki tidak begitu. Pastinya ada sebab kenapa lelaki susah nak luahkan perasaan. Cuma dia tidak mahu cakap, hanya ambil sifat berdiam diri sahaja.
Pastinya, ramai perempuan yang selalu menyatakan kekecewaan mereka apabila bagaikan bercakap seorang diri. Si lelaki buat tak tahu. Macam tak ada apa-apa perasaan. Tak ada respon langsung. Senyap. Diam. Membisu.
Mulalah tertanya-tanya, kalau ada masalah, kenapa tak luahkan?
Soalnya di sini, kenapa lelaki susah nak luahkan perasaan?
Izinkan kami berkongsi.
 

Dia ada penyakit alexithymia

Gerun pula bunyinya, bukan?
Menurut PsychologyToday, alexithymia ialah terma untuk seseorang yang mempunyai masalah untuk meluahkan emosinya dalam bentuk perkataan. Ia bagaikan satu konflik identiti, di mana lelaki maskulin selalunya tidak begitu.
Jarang sekali kita lihat lelaki yang bersungguh-sungguh bercerita, hingga tangan ke atas bawah, kiri dan kanan.
Kecuali lelaki yang golongan satu lagi itu. Faham kan?
 

Dia memang tak pandai meluahkan perasaan

Mendengar luahan seseorang, itu boleh dipanggil caring. Kalau meluahkan pula, dipanggil apa?
Sejujurnya, cara lelaki meluahkan perasaan itu tidak sama dengan perempuan. Meluahkan perasaan dan beremosi itu tidak ada dalam kamus lelaki. Dia tidak pandai untuk bermain emosi. Usah ditanya mengapa begitu.
Orangnya jenis lurus. Emosinya juga menjalar dengan garis lurus.
 

Mempunyai sejarah silam tentang keluarga

Tak semua lelaki mempunyai kisah yang penuh dengan warna-warni. Berlatar belakangkan pelangi, di samping kehadiran seekor unicorn fantasi yang berlari sana-sini.
Cara dia dibesarkan, tidak sama. Silap haribulan, si lelaki ini adalah mangsa keganasan rumah tangga.
Mungkinkah cara lelaki ini luahkan perasaan dalam diam; adalah dengan menyendiri?
 

Dia ada ego yang tersendiri

Kena faham, lelaki pun ada ego dia sendiri. Bila luahkan perasaan, rasa bagaikan tidak macho pula.
Bila lelaki luahkan perasaan, rasa macam bukan diri dia sendiri.
Tak usah ego berlama-lama, akan memakan diri sendiri.
 

Dia menyembunyikan sesuatu

Orang yang menyimpan sesuatu perkara, dan tidak mahu diketahui, akan nampak terlalu berhati-hati. Bukannya berhati-hati dalam komunikasi sahaja, setiap butir perkataan dari mulutnya bagaikan melalui penapis air Coway (atau Cuckoo).
Adakah ini tandanya dia lelaki curang?
Atau mungkinkah dia tidak mahu menyakiti hati pasangannya jika berterus terang?
 

Dia lelaki pemalu

Malu, tak sama dengan takut. Takut langsung tak berani untuk berdepan untuk luahkan perasaan.
Malu yang ini, ialah malu tapi mahu. Malu juga jika bertepuk sebelah tangan.
Tapi kalau dah kahwin, jangan malu-malu. Rugi.
 

Dia takut kena reject

Ada jenis lelaki yang masih lagi belum mempunyai pasangan, tapi dia terlalu menaruh harapan pada si perempuan. Yang jadi masalahnya ialah dia tidak berani berterus-terang secara berhadapan.
Ya, inilah ketakutan yang maha hebat. Ramai lelaki yang tak pandai nak memulakan perbualan. Lebih suka bersembang dengan kawan-kawan sendiri, tapi tak berani cakap depan-depan perempuan yang dia suka.
Wahai lelaki, bangkitlah. Belajarlah kena ‘reject‘, jangan berhati tisu sangat. Kalau tidak, sampai bila mahu berbini.
 

Dia takut dia tak layak

Lebih kurang sama dengan takut dikecewakan. Dalam fikiran si lelaki ini, si perempuan meletakkan standard setinggi Menara Berkember KLCC.
Hakikatnya, si perempuan sudah melabuhkan hajat di hati. Ini cuma tentang persepsi.
 

Dia tak percaya orang lain

Ada jenis lelaki yang dia memang suka buat kerja sendirian. Apa-apa keputusan yang dia bakal ambil pun, dia buat secara bersendirian. Kalau bercerita pada orang lain, belum tentu orang itu dengar. Lebih-lebih lagi pada si perempuan.
Maka, di sini, sudah wujud persepsi berat sebelah. Menghukum sebelum ia berlaku, itu tidak perlu.
 

Dia tak mahu beri komitmen

Ini satu lagi. Bila sudah berkawan, takut pula mahu mengikat tali pertunangan untuk ke jinjang pelamin. Belum bersedialah, duit belum cukuplah, dan macam-macam lagi alasan.
Kalau tak mahu komitmen, jangan serius berkawan dengan perempuan. Luka hati si perempuan itu nanti, kalau terlalu berharap.
Orang perempuan pula, bila tanya lelaki; dan dia hanya diam membisu, jangalah pula berkeras mahu tahu. Cuba berikan ruang secukupnya dahulu.
 

Dia lelaki yang baik

Bertuahlah siapa yang dapat lelaki jenis ini. Dengan syarat, lelaki ini tak pandai luahkan perasaan kerana mahu menghalalkan dulu perhubungan dengan si perempuan. Juga jenis tak pandai merajuk.
Bila sudah halal sepenuhnya nanti, dia akan luahkan segala ruang dalam hatinya.
Adakalanya, ini adalah retorik semata-mata. Sesudah berkahwin, dia terus zip mulutnya.
Orang yang sudah berkahwin, tentu akan faham.
 

Akhir kalam

Jagalah perasaan masing-masing. Rumah tangga yang harmoni, datangnya dari seni komunikasi.
Janganlah hidup hanya untuk mencari gaduh dengan si perempuan. Untuk lelaki selalu menunjukkan ego, cubalah kikis sedikit sikap itu.
Semoga perhubungan anda sentiasa dirahmati Allah.

Carian dari Google:

  • tanda lelaki meluahkan rasa

10+ Tanda Lelaki Sayang Kita Dalam Diam (Tapi Tetap Ego, Tak Mengaku)

Tanda lelaki sayang kita dalam diam

Tentu ada yang ada pengalaman macam ini. Si suami sayang pada isteri, tapi tak pernah nak beritahu. Berat sangat mulut dia, macam ada emas.
Walaupun begitu, jauh di sudut hati seorang lelaki, dia memang sayang.
Apakah antara tanda lelaki sayang kita dalam diam? Agak sukar juga persoalan ini kerana selalunya lelaki sayang tapi tak tunjuk. Masih menebal lagi egonya, dan tetap tidak mahu kata “I love you”tetapi tetap setia.
Untuk yang sudah berkahwin, tengok semula pada suami, masih ada lagi tak perangai ini. Yang belum lagi berkahwin, cuba cari-cari sifat ini.
Izinkan kami berkongsi.

Bila bersama kita, dia selalu senyum

Setiap saat bersama si perempuan bertuah, itulah saat yang menggembirakan dia. Rasa seronok bila berada di samping kita, dan kita pun rasa begitu juga.
 

Dia hormat keluarga mertua (atau bakal mertua)

Kalau berkahwin dengan si perempuan, itu maknanya si lelaki perlu berkahwin dengan keluarganya sekali. Mana boleh ambil anak sahaja, dan tinggalkan keluarga.
Namun, tidak bagi lelaki yang sayang kita. Dia selesa dengan keluarganya dan keluarga kita.
 

Dia kenalkan semua kawan baik dia

Ini jenis lelaki yang tidak berselindung. Dia suka perkenalkan teman rapat dia pada kita tanpa segan silu. Dia mahu semua orang kenal siapa kita. Jika ada apa-apa masalah, kita boleh sahaja berurusan dengan kawan-kawan dia.
 

Dia mendengar setiap bicara kita

Bukan setakat mendengar sahaja. Si lelaki ini mendengar dengan penuh minat dan semangat. Segala apa yang keluar dari mulut kita, adalah halwa telinga dia.
Ini petanda dia ambil berat tentang kita.
 

Dia suka bercerita tentang masa depan

Bukan masa depan politik negara kita. Namun ia lebih kepada masa depan dia bersama kita. Walaupun cuma angan-angan, dia merancang dengan penuh semangat.
Lelaki yang sayang kita tidak akan menjanjikan bulan dan bintang. Dia akan betul-betul berusaha untuk menggapai impian itu.
 

Dia suka buat kita ketawa

Pada lelaki ini, kegembiraan kita adalah kegembiraan dia juga. Dia suka dengar kita gelak sebab ia boleh menceriakan hari dia. Senyuman kita pada dia, adalah hadiah terindah untuk bekalan dia di tempat kerja.
 

Dia selalu puji kita

Lumrah bagi seorang wanita, mereka suka dipuji. Si lelaki ini memang tidak lekang di mulut dia, sentiasa positif dan memberikan kita kata-kata perangsang setiap hari.
Cuma, jangan nampak sampai pujian itu berlebihan. Ia akan jelas nampak seperti dibuat-buat.
 

Dia mesej kita tak kira masa

Memang ada jenis lelaki yang suka ignore perempuan dan jenis lambat balas mesej. Sebaliknya, masih wujud lagi spesis satu lagi yang asyik ingin melaporkan aktiviti harian dia dengan kita.
Lelaki yang sayang kita akan nampak macam angau dengan kita. Harap-harap, itu bukanlah hanya permulaan perkenalan sahaja. Semoga berterusan.
 

Dia selalu nasihatkan kita

Kawan yang baik ialah kawan yang sentiasa berterus terang dengan kita. Jika lelaki ini (atau apabila sudah berkahwin, naik taraf jadi suami), selalu peduli tentang kita dan nasihatkan kita tentang akhirat, bersyukurlah.
Bukan mudah untuk mencari lelaki yang sanggup mengingatkan kita tentang hal-hal dunia dan akhirat.
Cuma hati-hati, ada jenis penunggang agama yang hanya berlagak baik hanya untuk mengambil kesempatan.
 

Dia cemburu

Perlu diingat, ini bukanlah cemburu yang lebih-lebih. Sekadar cemburu untuk mengambil perhatian.
Jika kadang-kadang, ini masih lagi comel. Jika selalu, ia akan nampak annoying.
 

Dia beri kita ruang

Ini bermakna, lelaki yang begini ialah bukan lelaki yang memaksa. Dia memahami apa yang si perempuan ini mahu. Dia tahu, bila selalu sangat berjumpa, akan timbul rasa bosan.
Bimbang bila sudah rasa bosan, akan mula cari gaduh tentang hal yang entah apa-apa.
Lelaki ini juga jenis yang berikan kebebasan pada si perempuan, asalkan tidak melanggar batas.
 

Berusaha untuk halalkan hubungan

Sebenarnya, inilah yang sepatutnya jika kedua-duanya bujang dan dara. Buat apa sayang-sayang yang hanya akan membawa ke lembah maksiat. Lebih elok jika si lelaki ini berusaha gigih siang malam, semata-mata hanya mahu halalkan hubungan. Dia bukan jenis buang masa dengan hobi mahal dan membuat aktiviti tidak berfaedah.
 

Berusaha untuk kekalkan hubungan

Bagi lelaki yang sudah menjadi suami, dia jenis yang akan sentiasa beralah dengan isteri, demi mengekalkan hubungan harmoni. Mungkin ada sedikit rasa tawar hati, tapi dia abaikan sahaja. Dia tahu, hubungan rumah tangga, memang akan ada pasang surutnya.
Usahlah terlalu ambil hati, kelak akan merana diri.
 

Akhir kalam

Kini, anda sudah tahu beberapa tanda lelaki sayang kita dalam diam.
Apa yang boleh disimpulkan, sayang itu cukup subjektif. Ada jenis yang tidak meluahkan dengan kata-kata, tetapi lebih kepada dengan perbuatan. Ini bukannya salah, cuma ada jenis lelaki yang dibesarkan dengan suasana begini.
Dia bukan jenis lelaki merajuk yang ambil pendekatan diam membisu jika ada masalah dengan perempuan. Cuma dia tidak biasa untuk meluahkan rasa kasih sayang, walaupun sudah berkeluarga. Bukannya ego.
Satu sahaja, jangan terlalu ambil hati. Bersyukurlah jika ada pasangan yang ambil berat tentang kita.
 

Carian dari Google:

  • tanda lelaki juga suka kita
  • Tanda lelaki cinta tapi ego