10+ Cara Diet Yang Berkesan (Buat Betul, Boleh Turun Dalam Seminggu)

Cara diet yang berkesan

Pilihan diet yang tepat amat penting bagi memastikan proses diet berjalan dengan lancar. Bagi memastikan anda membuat pilihan diet yang betul, lakukan sedikit kaji selidik untuk mendapatkan informasi berkaitan senarai makan diet yang ada. Izinkan kami berkongsi cara diet yang berkesan yang bukan sahaja sihat, tetapi baik untuk kesihatan.
Elakkan dari terpedaya dengan cara cepat turunkan berat badan jika ia hanya akan menyeksa diri sendiri. Kami senaraikan di sini, anda pilihlah sendiri mana yang bersesuaian.
Jangan lupa cari lagi info tambahan yang ada di Internet.

Jenis diet yang berkesan

Sebelum mula berdiet, kenalah tahu apa jenis diet yang orang selalu buat, dan terbukti keberkesanannya.
Kena tahu juga, apakah konsep diet? Bagaimanakah cara pengaplikasiannya? Apakah makanan yang boleh dan tidak boleh diambil sepanjang berdiet?
Itu antara persoalan yang perlu anda fikirkan sebelum memilih diet yang berkesan dan bersesuaian dengan diri.
Antara senarai diet berkesan yang boleh dijadikan pilihan untuk diamalkan adalah:
 

Cuba diet Atkins

Bersifat anti karbohidrat, diet Atkins menghalang pengamalnya daripada mengambil makanan berasaskan karbohidrat seperti nasi, roti dan pasta dengan melebihkan pengambilan makanan kaya protein seperti daging, telur  dan keju.
Pengambilan makanan berprotein tinggi dan pengurangan karbohidrat dipercayai dapat mengubah metabolism tubuh yang membawa kepada penurunan berat badan.
 

Cuba diet Vegetarian

Diet vegetarian akan menjadikan anda seorang lacto-ovovegetarians iaitu tidak memakan makanan berasaskan haiwan kecuali telur, susu dan madu.
Amalan memakan sayur-sayuran ini membuatkan tubuh lebih sihat.
Lebih-lebih lagi, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kajian menunjukkan bahawa golongan vegetarian mempunyai berat badan ideal, kurang diserang penyakit  dan memiliki usia yang lebih panjang berbanding individu yang makan daging.
 

Cuba diet Paleo

Turut dikenali sebagai diet orang zaman batu, teori diet Paleo menyatakan bahawa penyakit moden yang menyerang masyarakat masa kini berpunca daripada pengambilan bijirin, tenusu dan makanan yang telah diproses.
Justeru, diet Paleo mengutamakan pengambilan makanan semula jadi seperti sayur-sayuran, buah-buahan dan kekacang yang lebih berkhasiat serta mengelakkan makanan yang diproses, gula, tenusu dan bijirin.
 

Diet makanan mentah

Pengamal diet makanan mentah raw foodism tidakmengambil sebarang makanan berasaskan haiwan atau makanan yang telah diproses.
Mereka hanya memakan makanan berasaskan tumbuh-tumbuhan dan bahan organik. Malah tiga perempat daripada pengambilan makanan perlu terdiri daripada makanan yang belum dimasak.
 

Cuba intermittent fasting

Intermittent fasting adalah diet yang semakin popular di negara kita, Malaysia.
Menerusi diet ini, anda perlu berpuasa atau mengosongkan perut bagi tempoh tertentu. Diet ini tidak menyekat anda daripada makan. Sebaliknya, ia menentukan masa makan anda.
Puasa secara berselang-seli ini diamalkan untuk menurunkan berat badan kerana membantu memudahkan proses penyekatan kalori.
 
 

Ini baru cara diet yang betul

Cara diet yang betul
Setelah memilih diet yang bersesuaian dengan diri, anda perlu melakukan beberapa perubahan dalam gaya hidup bagi memastikan hasrat untuk mencapai berat badan ideal berjaya direalisasi. Bukan mudah untuk kurus. Pastinya cara diet yang berkesan itu perlu diikuti selalu, bukan main hentam keromo.
Cabarannya sentiasa ada. Apa yang penting, anda perlu berusaha secara berterusan bagi memastikan diet yang diamalkan berjaya mencapai matlamat yang diimpikan.
 

Azam yang konsisten

Dalam apa jua perkara yang kita lakukan, jangan bersikap hangat-hangat tahi ayam, yang hanya ghairah pada peringkat permulaan dan mulai berasa bosan di pertengahan jalan. Anda perlu sentiasa berazam untuk kekal konsisten dalam melalui proses diet.
Bagi memastikan azam kekal konsisten, anda boleh membayangkan kehidupan yang lebih menyihatkan dan penampilan yang lebih menarik apabila diet anda berjaya mencapai matlamatnya.
Impian itu bukan sahaja menguatkan azam tetapi juga membuatkan anda kekal positif dan semakin bermotivasi.
 

Belajar ilmu nutrisi

Pengetahuan tentang nutrisi makanan sangat penting buat anda yang sedang berdiet.
Anda perlu tahu kandungan zat dalam semua menu yang diambil dan nisbah bagi setiap satu nutrisi untuk memastikan makanan yang diambil benar-benar berkhasiat serta sesuai dengan diet yang diamalkan.
Kalau kalori pun tak tahu, macam mana nak kurangkan berat badan?
 

Mesti ada disiplin

Lumrah manusia, sering tergoda dengan keenakan makanan. Apa lagi, jika hidangan tersebut adalah menu kegemaran.
Ketika inilah pentingnya disiplin saat berdiet. Anda perlu disiplinkan diri agar tidak mengambil hidangan yang tersedia di depan mata atau terpengaruh dengan ajakan rakan-rakan untuk menikmati makanan tidak sihat.
Tanpa disiplin yang kuat segala perancangan dan usaha diet anda pasti tidak akan berhasil.
 

Jangan terlalu drastik

Jangan drastik dalam melakukan perubahan yang melibatkan sistem tubuh. Anda perlu mengubah diet harian secara perlahan-lahan dan berikan masa kepada badan untuk menerimanya.
Sistem tubuh manusia dicipta untuk mengimbangi input dan output menerusi otak secara semula jadi mengikut kondisi badan.
Perubahan yang drastik hanya akan membebankan tubuh dan membuatkan diri lesu dan tidak bertenaga.
 

Mesti diet dan bersenam

Janga percaya kalau boleh turunkan berat badan tanpa bersenam. Mungkin boleh turun, tetapi tidak lama. Berat badan akan naik semula.
Amalan diet tidak tertumpu pada aspek pemakanan semata-mata. Sebaliknya, anda juga perlu menitikberatkan senaman dan aktiviti fizikal yang juga merupakan sebahagian daripada diet.
Senaman adalah cara paling efektif untuk membakar kalori, meningkatkan imbangan dan koordinasi tubuh selain berupaya mengurangkan stres.
Cuma, janganlah pula membuat aktiviti fizikal pada bulan Ramadhan. Cara diet di bulan puasa tidak sama dengan bulan-bulan lain.
 

Sedikit pesanan

Walau bagaimanapun, ada satu petikan dari Huffpost yang menyatakan kajian pada tahun 2014 oleh penyelidik University of Toronto.
Saintis ini mengkaji 59 artikel penurunan berat badan secara saintifik. Apa yang menarik, mereka membuat kesimpulan bahawa diet terbaik ialah diet yang boleh dibuat secara konsisten dan bertahan lama. Bukan yang jenis sekejap-sekejap.
Menurut saintis lagi, sesiapa yang masih lagi dalam diet mereka secara berterusan, tidak pernah berhenti dan tidak kira jenisnya –  seperti diet atkins, diet kalori, diet keto, diet eat clean; mereka inilah orang yang kehilangan berat badan yang lebih banyak.
Menurut para penyelidik itu juga, keupayaan anda untuk mengikut diet adalah lebih penting dari dari kejayaan menurunkan berat badan anda dengan diet yang anda pilih.
 

Akhir kalam

Cara diet yang betul
Janganlah diet semata-mata untuk nampak cantik. Lebih baik tukarkan niat itu agar diet untuk sihat tubuh badan dan fizikal. Ikuti cara diet yang berkesan ini betul-betul, bukan sekadar baca dan lupa.
Bukannya apa, sudah banyak cerita kita dengar tentang kematian secara tiba-tiba. Contohnya, ramai orang yang tiada apa-apa tanda sakit jantung, tetapi meninggal secara mengejut.
Semoga kita semua sentiasa sihat dan dilindungi Allah.

10+ Cara Diet Atkins Yang Berkesan (Mesti Ikut Fasa 1, 2, 3, 4)

Cara diet atkins yang berkesan

Diet Atkins merupakan suatu kaedah pemakanan (diet) berkarbohidrat rendah yang biasanya disyorkan bagi mereka yang ingin menurunkan berat badan secara berkesan.
Melalui cara diet Atkins, anda tidak perlu lagi ‘mengikat perut’ daripada pengambilan makanan berprotein dan berlemak seperti kaedah yang biasanya disyorkan oleh kebanyakan pelan penurunan berat badan.
 

Bagaimana diet Atkins berfungsi?

Cara diet Atkins berfungsi adalah dengan hanya mengurangkan pengambilan makanan berkarbohidrat tinggi.
Bagi anda yang pertama kali mendengar tentang cara diet Atkins, ia dipopularkan oleh seorang doktor bernama Robert C. Atkins menerusi buku terlaris bagi kategori diet beliau pada tahun 1972.
Faktor utama diet berkarbohidrat rendah sangat berkesan dalam proses penurunan berat badan adalah kerana apabila seseorang mengurangkan pengambilan makan berkarbohidrat dan meningkatkan pengambilan makanan berprotein, selera makan akan menurun.
Akhirnya, pengambilan kalori akan berkurangan secara automatik tanpa mereka disedari.
Cara Diet Atkins secara umumnya terbahagi kepada 4 fasa yang berlainan.
Izinkan kami berkongsi.

Fasa diet Atkins

Fasa 1 (induksi)

Pengambilan kurang daripada 20 gram karbohidrat  sehari selama 2 minggu. Pengambilan makanan dengan kandungan lemak yang tinggi, makanan berprotein tinggi, berserta sayur-sayuran yang berkarbohidrat rendah seperti sayur-sayuran hijau.
Ini merupakan permulaan bagi penurunan berat badan.
 

Fasa 2 (mengimbangi)

Penambahan sedikit-demi-sedikit makanan berbentuk kekacang, sayur-sayuran berkarbohidrat rendah dan memasukkan semula buah-buahan dengan kuantiti yang sedikit ke dalam diet anda.
 

Fasa 3 (memperhalusi)

Apabila anda semakin hampir dengan sasaran berat badan idaman anda, tambah lebih banyak makanan berkarbohidrat dalam diet anda sehingga kadar penurunan berat badan menjadi lebih perlahan.
 

Fasa 4 (penyelenggaraan)

Pada fasa ini, anda boleh mengambil banyak makanan berkarbohidrat yang sihat di mana tubuh badan anda sudah mampu untuk bertoleransi tanpa menambahkan berat badan.
 

Tips & cara diet Atkins yang berkesan

Berikut adalah beberapa tips diet Atkins bagi memastikan keberkesanan program ini: –
 

Faham kandungan makanan

Memahami kandungan makanan anda dan cara diet Atkins berfungsi. Anda boleh mendapatkan tips diet Atkins daripada laman web rasmi ataupun forum Atkins.
 

Semak, sesuai atau tidak

Memilih jenis diet Atkins yang bersesuaian dengan anda samada Atkins 20 (berat bersih 20 gram karbohidrat sehari) atau Atkins 40 (berat bersih 40 gram karbohidrat sehari).
 

Jangan lebih had

Mengira pengambilan karbohidrat bagi setiap hidangan supaya tidak melebihi had.
 

Makan dengan kerap

Makan secara kerap dan elakkan daripada berlapar.
Memastikan setiap hidangan mengandungi 4 hingga 6 auns protein untuk sarapan pagi, makan tengah hari dan malam.
 

Pilih makanan semulajadi

Menikmati makanan yang mengandungi lemak semulajadi kerana ia menjadikan makanan lebih enak dan mengenyangkan supaya anda tidak cepat lapar dan menyebabkan makan secara berlebihan.
 

Jangan ambil gula

Mengelakkan diri daripada pengambilan gula tambahan (added sugar) yang biasanya terdapat di dalam minuman berkarbonat, kek, gula-gula dan sebagainya.
 

Makan banyak sayur

Antara cara diet Atkins yang lain ialah dengan memperbanyakkan pengambilan sayur-sayuran dalam diet harian.
Menikmati setiap hidangan di mana sahaja kerana diet Atkins membenarkan anda memilih makanan yang mengandungi protein dan lemak di mana kebiasaannya makanan tersebut mempunyai rasa yang enak. Kena pandai-pandai untuk buat resepi diet atkins sendiri.
 

Minum banyak air

Meminum sekurang-kurangnya 2 liter air kosong setiap hari. Tips diet Atkins ini adalah penting bagi mengeluarkan berat air daripada tubuh anda.
 

Ambil vitamin tambahan

Mengambil multivitamin harian yang mengandungi mineral seperti kalium, magnesium dan kalsium tetapi tanpa zat besi kecuali jika anda mengalami masalah kekurangan zat besi.
Selain itu, minyak ikan Omega-3 juga amat disyorkan.
 

Bersenam

Melakukan aktiviti fizikal kegemaran anda seperti berjalan, berlari, berenang dan sebagainya kerana selain daripada pemakanan yang sihat, bersukan dapat membantu untuk membina otot dan membakar kalori dengan lebih pantas dan efektif.
 

Sentiasa semak perkembangan kita

Merekodkan kemajuan kerana selain daripada mengetahui sama ada terdapat perubahan pada berat badan, ia juga membantu untuk memotivasi diri anda. Timbang berat serta ukur pada kawasan dada, pinggang dan pinggul sekali seminggu.
 

Buat perancangan awal

Merancang lebih awal dengan membeli-belah makanan dan snek yang sihat. Ini merupakan tips diet Atkins yang penting bagi mengelakkan anda daripada kembali kepada tabiat lama iaitu makanan berkarbohidrat tinggi.
 

Akhir kalam

Sekian dahulu perkongsian kali ini dan diharapkan anda mendapat manfaat daripada cara diet Atkins dan tips diet Atkins.
Semoga bertemu lagi dan selamat maju jaya buat anda.