Pening Kepala: Punca dan Cara Hilangkan Sakit Ini

Pening kepala

Pening kepala bukanlah satu perkara asing di kalangan kita. Separuh daripada orang dewasa menghidap pening kepala setiap tahun. Mungkin kerana sudah menjadi kebiasaan, pening kepala sering dianggap remeh dan tidak serius baik bagi mereka yang menghadapinya mahupun orang sekeliling. Ramai yang terlepas pandang perihal pening kepala atau hanya berlepas tangan hinggakan penyakit ini sering tidak mendapat diagnosis yang tepat dan benar. Apakah punca sakit kepala dan bagaimana cara hilangkan sakit kepala yang berkesan? Sama-sama kita kupas.

Apakah itu pening kepala?

Menurut definisi World Health Organisation (WHO), pening kepala berlaku kerana gangguan yang dialami oleh sistem saraf manusia hingga menyebabkan ia tidak dapat berfungsi dengan baik. Dalam Bahasa Inggeris, pening kepala dipanggil headache. Boleh rujuk laman web WebMD untuk maklumat lanjut.

Pesakit yang diserang pening kepala akan berasa sakit di antara dahi hingga tengkuk. Ia boleh berlaku pada setiap peringkat usia, jantina ataupun segala jenis pekerjaan yang dilakukan.

Mungkin kerana pening kepala akan hilang dengan sendirinya tanpa dirawat, ia seringkali disalahtafsirkan sebagai penyakit yang tidak berbahaya. Malahan, ada yang mengambil inisiatif merawat diri sendiri hingga boleh menyebabkan pengambilan ubat yang tidak sepatutnya atau berlebihan.

Namun demikian, pening kepala mampu mengganggu rutin harian seseorang sehingga tidak boleh melakukan aktiviti-aktiviti tertentu.

Pening kepala yang berulang dan berlaku dalam jangka masa yang panjang adalah sesuatu yang perlu dipantau dengan segera. Anda seharusnya mendapatkan rawatan daripada pakar jika pening kepala yang melanda melebih 5 hari.

Bagi mendapatkan rawatan, pakar perubatan hanya boleh merawat dengan mengenalpasti jenis dan punca pening kepala itu.

Jenis pening kepala

Ada macam-macam jenis kepala. Ada orang yang pening kepala berpusing, ada yang pening sampai muntah. Tidak kurang juga ada yang pening kepala waktu pagi sahaja. Yang sakit di bahagian tertentu pun ada juga: iaitu sebelah kiri, kanan dan belakang.

Ada pula yang mengikut musim, hanya pening kepala selepas makan during.

Apa pun, secara amnya, pening kepala dibahagikan kepada dua kategori iaitu kategori primer dan sekunder.

Kategori primer

Kategori primer adalah pening kepala yang menyerang dan mengganggu jadual harian seseorang serta menghalang daripada melaksanakan tugas-tugas tertentu. Tetapi ia tidak membawa kepada kemerosotan kesihatan pada jangka masa yang lama.

Antara contoh pening kepala primer ialah migrain, pening disebabkan tekanan atau ‘tension’ dan pening kepala ‘cluster’.

1 daripada 4 orang wanita didiagnosis mengidap migrain berbanding hanya 1 daripada 12 orang lelaki. Antara simptom-simptom migrain termasuklah:

  • sakit yang sebelah bahagian kepala sahaja
  • denyutan yang kuat dan menyakitkan dirasai
  • kepala akan berasa tambah sakit jika melakukan aktiviti-aktiviti fizikal
  • sakit akan berlanjutan 2 hingga 3 jam dan berlaku dengan kerap dalam seminggu

 

Berbeza dengan migrain yang sakitnya hanya tertumpu di sebelah bahagian kepala sahaja, pesakit yang didiagnosis dengan pening kepala disebabkan tension akan sering mengadu rasa sakit di sekeliling kepala dan di belakang leher.

Bagi mereka yang diserang pening kepala ‘cluster’, kesakitan akan dirasai di sekitar kawasan mata dan boleh menyebabkan mata merah serta berair. Hidung juga akan tersumbat disebabkan pening kepala jenis ini. Kebanyakan pesakit yang mengadu pening kepala ‘cluster’ ini adalah terdiri daripada kaum lelaki.

Kategori sekunder

Berbeza dengan kategori primer, pening kepala yang dikategorikan sebagai jenis sekunder menyebabkan kemerosotan kesihatan secara keseluruhannya dan bahaya untuk jangka masa panjang.

Kebiasaannya, pening kepala adalah antara simptom yang dikaitkan dengan penyakit-penyakit lain. Pening kepala sebegini adalah jenis pening kepala sekunder.

Rasa pening kepala di sekitar dahi, mata dan pipi selalu disebabkan sinus. Kadang-kadang, orang yang mengalami sakit perut juga akan mengalami rasa pening kepala. Selain daripada itu, salah satu simptom penyakit vertigo atau ketidakseimbangan badan juga akan menyebabkan pening kepala.

Pening kepala yang tergolong dalam kategori ini selalunya hanya akan lega apabila sakit yang menjadi punca pening kepala itu dirawati.

 

Punca pening kepala

Secara amnya, pening kepala yang disebabkan migrain, tekanan atau ‘cluster’ berkait rapat dengan cara dan gaya hidup seseorang.

Antara punca terjadinya pening kepala primer ini adalah:

Pemakanan

Pemakanan yang banyak mengandungi kafein, buah-buahan sitrus, keju, yogurt dan sebagainya. Alkohol juga antara faktor diserang pening kepala.

 

Persekitaran

Persekitaran yang dicemari dengan asap rokok, cahaya yang terlalu terang dan terdedah dengan bau yang kuat seperti asap kereta dan sebagainya juga boleh menyebabkan pening kepala.

 

Hormon

Perubahan hormon atau pengambilan ubat-ubat yang mengandungi hormon-hormon tertentu juga menjadi faktor kepada pening kepala kategori primer ini.

 

Psikologi

Keadaan psikologi yang tidak stabil desebabkan trauma pada sesuatu insiden, ataupun perubahan fizikal seperti jadual tidur yang tidak mengikut rutin yang sepatutnya juga boleh menyumbang kepada punca pening kepala.

 

Cara-cara mengatasi pening kepala

Selain daripada mendapatkan ubat dan nasihat daripada doktor, pesakit yang mengalami pening kepala boleh melakukan perkara berikut untuk mengatasi dan merawatinya:

 

Cari ketenangan

Mencari ketenangan dengan mengelakkan diri daripada berada di tempat yang bising adalah cara jangka pendek yang boleh diambil jika anda diserang pening kepala.  Bagi pesakit yang mengidap migrain mengasingkan diri di dalam bilik yang tidak terlalu terang dan berehat dengan secukupnya akan membantu mengurangkan simptom penyakit itu.

 

Ubah jadual tidur

Jadual tidur yang betul membantu mengurangkan pening kepala. Tidur dapat merehatkan minda dan badan daripada bekerja keras. Pastikan jadual tidur anda tidak terganggu dan mengikut rutin yang sepatutnya.

 

Makan makanan sihat

Mengamalkan pemakanan sihat dan berjadual juga membantu mengatasi masalah pening kepala. Elakkan makan makanan yang boleh menyebabkan pening kepala seperti kopi, coklat, keju mahupun alkohol.

 

Gaya hidup sihat

Amalkan cara hidup yang sihat. Bersenam dan beriadah adalah antara aktiviti yang boleh dilakukan untuk mengatasi sakit migrain. Badan kita akan mengeluarkan sejenis bahan kimia ketika beriadah yang boleh menghalang diri sakit kepala.

 

Jangan tertekan

Mengawal minda dan perasaan juga penting bagi mengelakkan diri daripada pening kepala. Dekatkanlah diri dengan aktiviti-aktiviti kerohanian seperti berdoa, bersolat, mengaji dan sebagainya. Uruskan masa dengan supaya tenang dan tidak berasa tertekan dalam segala urusan.

 

 

Cara Merawat Pening Disebabkan Tekanan

  1. Letak pek ais di kepala selama 5 hingga 10 minit
  2. Mandi dengan air panas untuk melegakan otot-otot tegang
  3. Perbaiki postur anda
  4. Kurangkan diri dari terlalu lama bekerja di hadapan komputer atau telefon pintar

 

Cara Merawat Pening Disebabkan ‘Cluster’

Tidak seperti migrain atau pening disebabkan tekanan, mereka yang menghidapi sakit ini perlu mendapatkan rawatan dari doktor untuk merawat sakit ini.

Ubat yang doktor berikan bukanlah menghalang rasa sakit, tetapi lebih cenderung untuk memberi kelegaan dengan menggunakan prinsip terapi oksigen.

Rawatan doktor lebih tertumpu kepada mengurangkan jangkamasa pening kepala serta kekerapan penyakit ini menyerang pesakit.

 

Akhir kalam

Pening kepala

Amalkanlah gaya hidup sihat. Jika bekerja, janganlah terlalu sangat rajin bekerja sehingga sanggup tidur lewat malam. Jemput baca cara hilangkan mengantuk jika rasa tidak kuat untuk meneruskan tugasan.

Pening kepala bukanlah sesuatu yang remeh. Ia menjadikan kebimbangan kerana ia berkait secara langsung dengan produktiviti dan status ekonomi sesebuah negara. Kehilangan masa berharga yang berkualiti dan produktif serta kos rawatan yang boleh bertambah dalam suatu jangka masa panjang bukanlah sesuatu yang diinginkan oleh sesiapa.

Kita haruslah rasa bertanggungjawab pada diri kita dalam menjaga kesihatan diri dengan mengamalkan cara hidup sihat dengan bersenam, makan makanan berkhasiat, perbanyakkan minum air serta tenangkan diri. Merawat kerohanian diri adalah antara terapi yang terbaik yang boleh kita cuba hari ini selain berhenti merokok ataupun minum alkohol.

Semoga kita diberi kesihatan yang baik untuk kita memanfaatkan diri dengan kerja-kerja berfaedah.

Carian dari Google:

  • notis berhenti kerja cleaner

10+ Cara Hilangkan Batuk Berkahak (Bagi Bayi & Kanak-kanak)

Cara hilangkan batuk berkahak

Selsema dan batuk merupakan simptom kesihatan biasa yang dialami oleh bayi dan kanak-kanak yang sedang membesar.
Ia adalah salah satu proses untuk membina sistem antibodi dalam tubuh mereka.
Walaubagaimanapun, jika ianya dibiarkan berlarutan, ia mungkin akan menjadi lebih serius. Batuk ini yang dialami oleh anak anda ini akan menyebabkan mereka menjadi tidak selesa terutamanya ketika mereka sedang tidur. Gatal tekak yang melampau juga boleh menyebabkan mereka untuk muntah.
 
Kenapa bayi dan kanak-kanak batuknya berkahak?
Selsema dan batuk berkahak sering dikaitkan dengan jangkitan kuman dalam saluran pernafasan mereka. Bayi dan kanak-kanak mempunyai antibodi yang sangat lemah dan sistem antibodi mereka masih lagi dalam proses pembinaan.
Oleh itu, sekiranya mereka menyentuh atau terkena kawasan yang mudah untuk dijangkiti kuman seperti kawasan berdebu, bau asap rokok, kotoran atas tanah dan lain-lain, peluang untuk mereka berjangkit dengan kuman tersebut sangatlah tinggi.
Jadi, terdapat beberapa cara di bawah yang boleh anda cuba untuk hilangkan batuk berkahak terutamanya pada bayi dan kanak-kanak.
Izinkan kami berkongsi.
 

Sapu kunyit

Kunyit merupakan ubat tradisional bagi merawat selsema dalam bayi dan kanak-kanak. Bukan itu sahaja, apabila anda sapu kunyit pada batang hidung dan dahi anak anda, hingusnya lama-kelamaan akan kering dan sekaligus mengurangkan kahak yang berada dalam kerongkong anak anda. Anda dinasihatkan untuk cuba beberapa kali sebelum melihat hasil keputusannya.
 

Potongan bawang

Bawang bertindak sebagai penyerap bakteria yang terdapat di udara. Oleh itu, potongan bawang putih dan bawang merah yang diletakkan di dalam satu bekas berhampiran dengan tempat tidur anak anda boleh mengurangkan dan lama-kelamaan menghilangkan selsema dan juga batuk yang dialami oleh anak-anak anda.
Ia merupakan petua tradisional yang telah menunjukkan hasil yang positif dalam menghilangkan selsema dan batuk berkahak dalam bayi dan kanak-kanak.
 

Penggunaan madu

Madu merupakan raja segala ubat. Bagi merawat batuk berkahak, anda hanya perlu campurkan madu dengan limau nipis atau limau kasturi dalam satu sudu besar.
Setelah ianya sebati, suapkannya kepada anak-anak anda.
Insya-Allah batuk anak anda akan berkurangan dan hilang dalam masa beberapa jam.
 

Bersihkan debu dalam bilik dan rumah

Bilik dan rumah yang bersih memainkan peranan yang penting terhadap kesihatan anak anda.
Debu yang terkumpul merupakan punca utama bayi dan kanak-kanak di dalam rumah menghidap selsema dan mengalami batuk.
Bersihkan bilik, pakaian dan rumah anda secara berkala supaya jumlah debu dan habuk terkumpul dalam rumah anda dapat dikurangkan.
 

Pasangkan pembersih udara

Pengaliran udara yang baik akan mengurangkan dan menghilangkan selsema dan batuk anak-anak anda.
Pasangkan alat pembersih udara bagi mendapatkan pengaliran udara yang baik yang sekaligus akan meningkatkan kesihatan isi rumah anda.
Mungkin perlu keluar sedikit modal untuk beli pembersih udara. Namun, percayalah. Ia sesungguhnya berbaloi.
 

Semburan atau ‘spray’ hidung

Spray hidung ini ada disediakan di farmasi dan klinik berdekatan bagi mengurangkan batuk berkahak pada anak-anak anda. Spray ini membantu ibu bapa untuk mengeluarkan hingus kerana anak-anak anda terutamanya bayi anda tidak pandai untuk mengeluarkannya dengan diri sendiri. Oleh itu, ianya memudahkan anak-anak untuk bernafas dan meningkatkan keselesaan mereka ketika mereka tidur.
 

Sapu minyak masak

Antara cara lain untuk meredakan batuk berkahak ialah menggunakan minyak masak.
Kedengaran pelik bukan?
Minyak masak bukan sahaja untuk kegunaan di dapur malah ianya boleh digunakan untuk menghilangkan batuk anak anda. Hanya sapukan minyak masak dalam kuantiti yang kecil pada dada anak-anak anda.
 

Mandian lemon

Petua yang dapat menghilangkan batuk secara mandian ini dapat keringkan hingus bayi. Letakkan beberapa hirisan lemon ke dalam bekas mandian anak.
Bau lemon ini dipercayai dapat membantu mengeringkan hingus bayi terutamanya apabila dimandikan dengan air suam atau panas.
 

Minum air suam / panas

Mengikut Kandang Kerbau Hospital di Singapura, selalunya gejala-gejala batuk berkahak akan menjadi lebih baik tanpa memerlukan sebarang ubat. Pastikan anak mendapat banyak rehat dan sentiasa hangat.
Rawatan terbaik tanpa ubat untuk batuk termasuk minum banyak air, terutamanya minuman panas untuk meredakan tekak.
 

Guna titisan air garam

Sumber dari Kandang Kerbau Hospital juga menyatakan, bagi bayi dengan hidung tersumbat, gunakan titisan air garam atau garam.
Juga boleh gunakan secaran semburan untuk melembapkan saluran hidung dan melonggarkan lendir. Kemudian bersihkan hidung dengan jarum suntik, iaitu juga dipanggil syringe.
 

Akhir kalam

Kesimpulannya, terdapat pelbagai petua dan ubat tradisional yang boleh anda cuba bagi merawat batuk berkahak yang dialami oleh anak-anak anda sebelum anda menetapkan temujanji dengan doktor.
Menggunakan tips dan petua tradisional, jangan terlalu berharap agar sakit itu hilang dengan cepat. Sila berjumpa doktor di klinik berhampiran jika batuk menjadi semakin teruk.
Semoga petua-petua dan cara hilangkan batuk berkahak di atas bermanfaat dalam meredakan batuk berkahak terutamanya pada bayi dan kanak-kanak anda.
Semoga sihat selalu!
 

Carian dari Google:

  • cara hilangkan batuk bayi
  • cara hilangkan batuk untuk kanak kanak
  • cara hilangkan batuk untuk kanak kanak berkahak
  • makanan untuk baby hilang batuk
  • rawatan tradisional batuk bayi
  • UBAT TRADISIONAL BAGI BAYI YG BATUK