Sakit Tekak – Punca, Cara Hilangkan & Makanan Untuk Kurangkan Sakit

Sakit tekak

Anda pasti pernah berdepan dengan situasi tekak berasa amat perit dan menganggu proses kelancaran untuk anda bercakap. Sudah tentu situasi tersebut amat menjengkelkan terutamanya jika pekerjaan anda memerlukan anda untuk banyak bercakap dan bersuara. Ikuti perkongsian artikel ini untuk mengetahui cara dan tip mengatasi masalah dan kenali punca sakit tekak ini.
Sakit tekak merupakan simptom yang paling biasa berlaku dalam kalangan populasi kita. Ia boleh berlaku disebabkan oleh pelbagai punca. Perubahan cuaca juga berupaya untuk membuatkan anda mengalami sakit tekak
 

Apa itu sakit tekak?

Sakit tekak atau turut dikenali dalam Bahasa Inggeris sebagai ‘faringitis’ merujuk kepada jangkitan biasa dengan sakit tekak. Bahasa mudah yang orang lain faham ialah sore throat.
Ia boleh merangkumi perasaan kesakitan, kekeringan ataupun kegatalan pada tekak anda. Sesiapa sahaja berisiko untuk mengalami sakit tekak ini.
Individu yang mengalami masalah ini akan berasa tidak selesa semasa bercakap di mana keadaan tekak terasa menyakitkan atau rasa terbakar. Keadaan ini juga akan menyebabkan kesukaran untuk makan. Ia biasanya hilang dengan sendiri dalam seminggu tanpa menyebabkan kerosakan.
 

Punca sakit tekak

Masalah sakit tekak ini boleh berlaku disebabkan oleh beberapa punca. Antaranya seperti:

Alahan

Alahan atau alergi merupakan satu tindak balas badan yang sensitif terhadap alergen, iaitu punca yang menyebabkan alahan. Alergen adalah seperti debu, debunga mahupun titisan hingus yang mengalir ke arah tekak daripada hidung anda.
 

Virus

Jangkitan virus adalah jangkitan biasa dan paling kerap berlaku dalam komuniti. Antara contoh virus yang boleh mengakibatkan sakit tekak adalah  virus selsema, croup dan mononucleosis. Ia sering menjadi punca sakit tekak ketika menelan.
 

Bakteria

Jangkitan bakteria pula boleh menyebabkan simptom yang lebih menyakitkan dan kronik. Strep throat ataupun sakit tekak akibat jangkitan ‘Streptococcus’boleh menyebabkan sakit tekak yang serius dan kesusahan menelan.
 
Jika bakteria ialah penyebab sakit tekak, anda memerlukan antibiotik. Jangkitan bakteria tekak boleh menyebabkan komplikasi kepada jantung ataupun masalah buah pinggang jika tidak dirawat. Jadi jangan ambil mudah!
 

Asid refluks

Masalah sakit tekak yang disebabkan asid refluks ini biasanya terjadi pada waktu pagi. Ini kerana asid perut boleh mengalir ke tekak anda ketika anda sedang tidur pada waktu malam.
 

Kerengsaan

Puncanya kerengsaan adalah disebabkan oleh udara kering, bahan kimia ataupun asap rokok. Kesakitan akibat kerengsaan ini akan lebih menyakiti apabila anda bernafas melalui mulut.
 

Penggunaan suara berlebihan

Masalah ini turut dikenali sebagai ‘Laryngitis’.Ia berlaku disebabkan penggunaan suara yang berlebihan.
Keadaan ini sering dialami oleh individu dalam sesetengah pekerjaan yang memerlukan penggunaan suara yang lebih banyak berbanding pekerjaan lain seperti penyanyi profesional, atau tenaga pengajar seperti cikgu.
Selain berasa sakit tekak, penggunaan suara yang berlebihan boleh mengakibatkan suara anda menjadi serak dan sakit semasa bercakap.
 

Kanser

Keadaan ini boleh berlaku jika terdapat tumor atau ketumbuhan yang mengakibatkan sakit tekak. Situasi ini boleh menyebabkan punca sakit tekak ini berlanjutan.
 

Post-intubation

Bagi individu yang menjalani pembedahan yang diintubasi, mereka akan cenderung untuk mengalami rasa sakit tekak kesan daripada tiub yang dimasukkan ke dalam tekak mereka.
 

Tanda-tanda sakit tekak

Mengalami sakit tekak adalah satu simptom dan ia boleh merangkumi rasa sakit, kegatalan, kekeringan dan kerengsaan pada tekak. Namun, walau bagaimanapun, apabila anda mengalami masalah sakit tekak, anda cenderung untuk mengalami gejala dan simptom yang lain.
Antara gejala dan simptom tersebut adalah seperti hidung tersumbat, hidung berair, bersin, batuk, demam, sakit telinga, tonsil menjadi besar dan bengkak, sakit leher, sakit ketika bercakap atau menelan, tekak merah, berdengkur dan sukar bernafas, air liur meleleh dan bengkak kelenjar yang menyakitkan leher. Kesan daripada gejala ini anda mungkin akan kehilangan selera makan anda.
 

Cara hilangkan sakit tekak

Untuk merawat sakit tekak anda yang mungkin anda tidak mengetahui penyebabnya, adalah sebaiknya untuk anda mendapatkan pemeriksaan daripada doktor bagi mendapatkan rawatan dan ubatan yang sewajarnya.
Umumnya, jika anda mempunyai jangkitan bakteria pada tekak, anda akan diberikan antibiotik. Sekiranya pemeriksaan lebih lanjut perlu dilakukan, anda akan dirujuk kepada pakar ENT (ear, nose and throat). 
Masalah sakit tekak yang kerana jangkitan virus pada tekak akan pulih dan baik dengan sendiri dalam masa 2-7 hari. Doktor akan memberikan nasihat supaya berehat di rumah sepenuhnya supaya sistem imun dapat melawan jangkitan.
Jemput baca artikel lain yang khusus membincangkan tentang cara menghilangkan sakit tekak.
 

Makanan bantu kurangkan sakit tekak

Mengalami sakit tekak mungkin akan menyebabkan anda hilang selera makan. Tetapi terdapat beberapa jenis makanan yang dipercayai dapat membantu mengurangkan rasa sakit tekak yang dihadapi.
 

Aiskrim

Merupakan sejenis makanan sangat sesuai untuk merawat tekak yang sakit. Makanan – makanan sejuk dapat membantu melegakan kesakitan tekak dan tekstur krimnya yang lembut menambahkan lagi keselesaan tekak di samping mudah untuk ditelan.
Jika anda risau produk tenusu akan membuatkan batuk anda menjadi lebih teruk, jangan risau kerana kajian telah mengesahkan bahawa produk tenusu tidak melakukannya, melainkan anda mempunyai alahan.
Orang kata aiskrim vanilla sangat berkesan dan membantu.
 

Teh

Teh merupakan satu minuman penawar yang baik kepada sakit tekak sejak turun temurun. Ia ternyata berkesan. Jadi sekiranya anda sakit tekak, pilih untuk meminum teh hijau, chamomile atau teh hitam.
 

Pisang

Mempunyai ciri yang mudah ditelan dan teksturnya sangat lembut. Ia kaya dengan serat dan vitamin C yang membantu melawan penyakit, kesan daripada sifat antioksidanya. Pisang juga mengandungi gula yang mampu memberikan tenaga segera di samping seratnya mampu membuatkan anda rasa lebih kenyang.
 

Madu

Adalah sejenis makanan yang mempunyai khasiat yang sangat banyak. Dengan rasa yang lazat, mudah dimakan dan mudah dimasukkan dalam pelbagai jenis hidangan. Madu telah disenaraikan oleh Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) sebagai salah satu ubat batuk.
 

Licorice

Akar licorice atau akar manis adalah sejenis herba yang telah sekian lama digunakan untuk merawat batuk dan sakit tekak. Anda boleh ambil air akar licorice dengan ubat batuk untuk mendapatkan kesan yang lebih efektif.
 
Akhir kata
Sakit tekak
Sakit tekak boleh menjadi tanda amaran banyak keadaan perubatan yang serius. Jika kesakitan berterusan, anda perlu berjumpa doktor untuk memastikan keadaan anda adalah baik-baik saja.
Semoga bermanfaat.
 

Carian dari Google:

  • punca suara serak ketika demam

10+ Cara Hilangkan Sakit Tekak (Supaya Cepat Lega, Tidak Berpanjangan )

Cara hilangkan sakit tekak

Dengan keadaan cuaca yang tidak menentu sekarang di Malaysia, ramai di antara kita yang batuk dan sakit tekak yang membuatkan kita rasa tidak selesa ketika berada di tempat awam ataupun masa kita hendak berehat. Itulah sebab sekarang ini mencari-cari cara hilangkan sakit tekak, supaya hilang rasa tidak selesa itu.
Selalunya, sakit tekak yang kita alami ini disebabkan oleh cuaca terlampau panas dan mengambil masa selama lima hingga tujuh hari untuk ia lega sepenuhnya. Lebih teruk lagi, ada yang sakit tekak, tonsil dan selsema. Ingat, walaupun sudah cuba cara menghilangkan sakit tekak, ia bukan boleh hilang serta-merta.
Terdapat banyak rawatan yang disyorkan untuk melegakan sakit tekak daripada ubat-ubatan dari farmasi sehinggalah rawatan tradisional yang dapat melegakan dengan cepat.
Cuma bagi ibu yang sedang hamil, sila dapatkan pandangan doktor terlebih dahulu. Begitu juga jika ada bayi, sila bawa ke klinik bagi mendapatkan konsultasi doktor sebelum berbuat apa-apa.
Jadi, berikut kami senaraikan beberapa petua, antara cara menghilangkan sakit tekak melalui rawatan ubat di farmasi dan juga rawatan tradisional.
 

Minum ubat batuk

Kebanyakan ubat batuk mengandungi bahan untuk melegakan keradangan dalam tekak anda supaya berasa lebih selesa ketika membuat kerja. Sekarang, ada ubat batuk yang datang dalam bentuk pil dan ada juga yang memberikan pilihan kepada anda untuk mengambil kesan mengantuk atau tidak.
Ubat batuk cecair ini boleh didapati di farmasi atau kedai runcit bagi ubat batuk yang dikilangkan secara besar-besaran seperti ubat cap ibu dan anak, Hurix, dan lain-lain.
Ambil ubat batuk ini dalam dos yang disyorkan dan elakkan mengambil ubat batuk yang memberi kesan mengantuk ketika anda memandu. Ianya rawatan yang berkesan, iaitu alternatif sebagai cara hilangkan sakit tekak dan batuk yang minima.
 

Kemam / hisap lozenge

Lozenge telah direka khas sebagai salah satu cara hilangkan sakit tekak dan juga rasa gatal pada tekak selepas anda menghisapnya.
Dapatkan lozenge yang mempunyai kesan penyejuk bagi kelegaan tambahan kerana tekak anda yang gatal itu disebabkan oleh panas yang seterusnya menyebabkan kemerahan pada tekak anda.
Dengan mengambil lozenge yang mempunyai kesan penyejuk, kesan gatal pada tekak anda akan lega dengan lebih pantas lagi.
 

Minum banyak air

Badan kita memerlukan air sekurang-kurangnya 2 liter sehari. Dengan pengambilan air yang banyak, sel-sel dalam badan akan diperbaiki dengan lebih lancar, memberikan hidrasi secukupnya dan seterusnya dapat melegakan sakit tekak anda. Lebihkan minum air masak daripada meminum air yang terlalu panas dan terlalu sejuk.
 

Minum teh

Ekstrak teh mempunyai kelebihan untuk melegakan keradangan dan gatal tekak. Teh herba boleh memberikan kelegaan kepada tekak anda tetapi daun teh hitam, hijau atau putih mempunyai antioksida yang dapat menguatkan imunisasi badan dan mengelakkan daripada terkenanya penyakit. Anda juga boleh tambah sedikit madu bagi meningkatkan lagi kesan kelegaan kepada tekak anda.
 

Kumur dengan air garam

Air Garam dapat mematikan kuman. Jadi, dengan berkumur dengan air garam, kuman yang berada pada tekak anda dapat dihapuskan seterusnya mengurangkan rasa gatal dan sakit pada tekak anda. Ianya mempunyai fungsi yang hampir sama dengan antibiotik
 

Minum air limau campur madu

Sebiji limau kasturi atau limau nipis yang dicampurkan dengan satu sudu madu dapat menghilangkan rasa gatal dan sakit pada tekak. Bagi sesetengah orang, rawatan ini sudah mencukupi untuk melegakan sakit tekak sepenuhnya.
 

Ambil satu sudu madu

Seperti yang anda tahu, madu merupakan raja segala ubat. Satu sudu madu mampu hilangkan sakit tekak dan juga kesan keradangan yang menyebabkan tekak anda berasa gatal. Gunakan satu sudu madu kelulut untuk kesan yang lebih efektif.
 

Banyakkan berehat

Kadangkala, sakit tekak yang anda alami merupakan salah satu tanda bahawa badan anda memerlukan rehat yang mencukupi. Rehat yang cukup dapat memberi peluang kepada badan anda untuk memperbaiki segala sel dalam badan dan untuk memberikan kesegaran semula kepada badan anda.
 

Hindari tempat panas

Rehat dalam rumah. Tidak perlu keluar ke tempat-tempat yang panas. Ia akan menyebabkan tekak lebih gatal dan sakit.
 

Dapatkan nasihat pakar

Sekiranya sakit tekak anda berlarutan, sila dapatkan nasihat pakar supaya mereka dapat mengenalpasti punca sakit tekak yang anda alami selama ini.
 

Akhir kalam

Kesimpulannya, terdapat banyak rawatan sakit tekak yang ada di pasaran sama ada berbentuk ubat yang dijual di farmasi atau rawatan tradisional yang melibatkan bahan-bahan semulajadi seperti teh, madu dan limau bagi melegakan sakit tekak anda.
Namun begitu, adalah diingatkan supaya mengambil dos yang ditetapkan sekiranya anda mengambil ubat sakit tekak daripada farmasi. Sekiranya sakit tekak anda berlarutan, sila dapatkan nasihat pakar supaya mereka dapat mengenalpasti punca sakit tekak yang anda alami selama ini. Baca dulu dari MayoClinic untuk maklumat lanjut yang lebih klinikal.
Silalah cuba cara hilangkan sakit tekak yang mudah ini. Mudah-mudahan, dapat kelegaan dengan cepat.
Semoga bermanfaat.

Carian dari Google:

  • cara hilangkan batuk semasa hamil
  • Cara menghilangkan sakit te