Cara Solat Istikharah Ringkas (Untuk Petunjuk Jodoh, Cerai, Kerja)

Bila hati tidak keruan dah berbolak-balik, disarankan agar melaksanakan solat istikharah. Samada tentang cinta, jodoh, cerai atau kerja sekalipun, kita semua digalakkan untuk solat istikharah agar mendapat petunjuk dari Allah.
Izinkan kami untuk terus berkongsi.
 

Maksud Solat Istikharah

Istikharah dari segi amalan adalah bermaksud untuk meminta yang terbaik. Kadang-kala kita didatangi dengan pelbagai pilihan, samada yang menarik atau tidak.
Ada buruk dan baiknya dalam memilih antara dua. Kadang-kala pula, tiada pilihan langsung dimana kita sedang terduduk buntu memilih jalan dan pintu apa yang harus dilalui.
Mengikut Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan pula, solat istikharah adalah satu cara memohon petunjuk dan jalan yang terbaik dalam apa jua perkara yang dihadapai. Ianya adalah satu sunnah yang diajarkan oleh Nabi saw kepada umatnya.
Hukum solat isktikharah adalah sunat. Bagi sesiapa yang ada hajat atau ingin memohon petunjuk tentang satu perkara yang ingin dilakukannya maka disunatkan kepadanya solat dua rakaat dan berdoa dengan doa yang telah diajarkan oleh Nabi saw.
 

Tujuan Solat Istikharah

“Pergilah solat istikharah”, detik hati. Namun, jangan sewenangnya meletakkan seluruh ‘tanggungjawab membuat pilihan ke atas solat tersebut. Apa guna segala deria dan akal fikiran yang telah Tuhan nikmatkan?
Pertama sekali, nilaikan dan senaraikan baik dan buruk setiap pilihan yang ada di atas kertas. Kemudian boleh mencuba untuk mencari maklumat dan bertanyakan kepada orang yang berpengetahuan agama, dipercayai dan bijaksana. Begitulah nasihat dari Imam Al-Nawawi.
Sekiranya sudah berusaha namun masih belum boleh memilih, di sini gunanya solat istikharah kepada kita. Kita memohon supaya Allah SWT memberi ilham dan petunjuk kepada kita dalam membuat keputusan yang terbaik.
 

Waktu Solat Istikharah

Rakaat solat ini adalah sebanyak dua rakaat sehingga dua belas rakaat, bergantung kepada setiap individu. Ia boleh dilaksanakan pada bila-bila masa, pagi, petang atau malam. Elok juga dilakukan pada waktu malam sebelum tidur.
Imam Abdul Al-Wahab Al-Sha’rani dan Sheikh Ibnu Al-Arabi pula mencadangkan ia dilakukan pada waktu dhuha, iaitu pada waktu ‘cantik’ dan waktu ‘rezeki’di mana ketika fajar sudah mula terbit sehingga sebelum tengahari.
 

Cara Mudah Solat Istikharah

Sekiranya dalam perjalanan atau mengalami haid, memadai dengan membaca doanya sahaja. Manakala berikut adalah cara solat istikarah yang ringkas bagi yang mampu;

  • Niat: “Sahaja aku solat sunat istikarah dua rakaat kerana Allah Taala.”
  • Rakaat pertama: Surah Al-Fatihah & Surah Al-Kafirun / tujuh kali ayat Al-Kursi
  • Rakaat kedua: Surah Al-Fatihah & Surah Al-Ikhlas
  • Ketika sujud terakhir, pohonlah kepada Allah S.W.Tdipertunjukkan jalan yang betul dalam membuat keputusan
  • Selepas memberi salam, bacalah alhamdulillah, berselawat dan diikuti bacaan doa istikarah

Doa Solat Istikharah (Yang Umum)

Doa boleh dibaca dalam bahasa Arab atau terjemahan Bahasa Melayu sepertimana berikut;
“Ya Allah, aku memohon agar Engkau memilihkan mana yang baik pada ilmu Engkau ya Allah. Aku memohon agar Engkau memberikan kepastian melalui ketentuanMu dan aku memohon limpahan Engkau Yang Maha Agung, kerana sesungguhnya Engkau Yang Maha Berkuasa, walhal aku tidak tahu dan Engkaulah Yang Amat Maha Mengetahui segala sesuatu yang masih tersembunyi.”
 
“Ya Allah, jika persoalan ini…(nyatakan persoalan anda itu di sini)…baik bagiku, baik bagi agamaku, dan baik bagi hidupku, maka mudahkanlah ia bagiku, kemudian berikanlah keberkatan didalamnya untukku.”
 
“Ya Allah, jika sesungguhnya persoalan ini…(nyatakan persoalan anda itu di sini)… tidak baik bagiku, bagi agamaku dan penghidupanku, juga tidak baik akibatnya bagiku, maka jauhkanlah hal ini daripadaku, dan jauhkanlah aku daripadanya. Taqdirkanlah aku (dengan) kebaikan di mana sahaja aku berada kemudian jadikanlah aku orang yang redha atas anugerah Mu.”
 

Tunggu Mimpi Selepas Solat Istikharah

Setelah berusaha memilih, bertanya dan berdoa, berserahlah kepada Allah SWT. Pilihan kadang-kala dipertunjukkan melalui mimpi, atau gerak hati.
Walaubagaimanapun, kita tidak semestinya akan ternampak mimpi atau tanda. Allah Maha Berkuasa. Kemungkinan Allah SWT akan meletakkan sedikit kecenderungan di dalam hati kita untuk menjalankan sesuatu tindakan atau sebaliknya.
 

Istikharah: Dalam soal jodoh dan memilih pasangan

Begitu juga sekiranya anda ingin melaksanakan solat istikarah untuk memilih jodoh yang terbaik untuk diri anda, anda boleh tukarkan kepada “(nama jodoh) sebagai pasangan hidup” .
Walaubagaimanapun, anda bebas untuk menggunakan ayat sendiri yang lebih anda fahami kerana Allah Maha Mengetahui apa yang anda ingin nyatakan.
 

Istikharah: Untuk bercerai dengan pasangan

Di bahagian atas tadi, pening memikirkan untuk memilih jodoh yang sesuai.
Sebaliknya, ini adalah tentang mempertahankan jodoh sedia ada.
Jika hubungan rumah tangga tidak lagi seperti dulu, mungkin anda sedang berkira-kira untuk bercerai. Sebelum bercerai, ada baiknya lakukan solat istikharah. Jangan ambil keputusan mendadak.
Walaubagaimanapun, adalah lebih afdal sekiranya anda menyebut dan ‘berbual-bual’ dengan Allah dalam doa. Pasti, ini adalah antara salah satu keputusan yang sangat sukar untuk ada. Ia bakal memberi impak kepada keluarga dan anak-anak.
Doa sahaja terlebih dahulu. Serahkan semuanya pada Allah.
Berdoalah.
“Ya Allah! Jika jodoh aku dengan dia ini masih lagi kuat, kau kekalkanlah hubungan kami. Namun, jika bercerai itu lebih baik untukku, untuk anak-anakku, untuk keluargaku, untuk masa depanku dan untuk agamaku, maka kau permudahkanlah”.
Ini hanya sekadar contoh. Anda boleh tambah lagi doa tersebut dalam Bahasa Melayu, mengikut apa yang ada dalam hati. Menangis, merintihlah pada Allah.
 

Istikharah: Untuk pilihan sambung belajar

Anda dapat banyak tawaran, tetapi tidak tahu mahu pilih yang mana satu. Kursus yang ditawarkan, semuanya menarik belaka.
Maka, di sinilah istikharah itu menjadi penyelesaian. Bukan sekadar ikut pendapat keluarga dan kawan-kawan rapat. Ada baiknya untuk mendirikan solat istikharah yang ‘bertanya‘ pada Allah yang Maha Mengetahui tentang masa depan kita.

Istikharah: Dalam memilih kerja

Selepas habis belajar, mungkin anda mendapat tawaran kerja pula. Contohnya, satu tawaran dari Petronas dan satu lagi dari Telekom Malaysia. Tentu pening kepala untuk memilih salah satu.
Berdoalah.
“Ya Allah! Jika Dikau mengetahui bahawa pekerjaan yang aku akan terima ini adalah baik untukku, maka Kau takdirkanlah untuk aku.…”.
Ini hanya sekadar contoh. Anda boleh sambung lagi doa tersebut dalam Bahasa Melayu, mengikut apa yang ada dalam hati.
 

Kelebihan Solat Istikharah

Akhir kata, berikut adalah kelebihan solat istikharah kepada umat islam;

  • Menguatkan hubungan Makhluk dengan Sang Pencipta
  • Menenangkan fikiran dan memberi keyakinan
  • Mengingati kisah Nabi Ibrahim mendapat ilham mengorbankan anaknya melalui mimpi
  • Kisah Nabi Yusuf dan kehebatannya menafsir ilmu mimpi
  • Mengikut amalan anjuran Nabi Muhammad SAW

Akhir kalam

Cara solat istikharah
Ingatlah, setiap pilihan ada baik buruknya. Setiap baik buruk ada pengajarannya. Setiap pengajaran akan memantapkan kita sebagai seorang insan.
Doa dan cara solat istikharah anda sudah tahu. Jangan bertangguh-tangguh dalam membuat keputusan. Jangan juga terburu-buru. Kami doakan yang terbaik untuk anda.
Semoga bermanfaat.

Carian dari Google:

  • kebaikan solat istikharah
  • solat istikharah cerai
  • waktu solat istikharah