10+ Kebaikan Kad Kredit (e.g Maybank, CIMB, Bank Rakyat, Bank Islam)

Kebaikan kad kredit dan keburukan

 
Statistik Jabatan Insolvensi Malaysia menyatakan kira-kira 70 orang rakyat Malaysia diisytiharkan muflis setiap hari. Dianggarkan 5% hingga ke 8% daripada jumlah itu adalah disebabkan oleh penggunaan kad kredit dan jumlah tersebut dipercayai akan meningkat dari setahun ke setahun. Bila dengar perkataan muflis, adakah wajar ini adalah antara kebaikan kad kredit?
Izinkan kami menyorot sedikit sejarah.
Diperkenalkan oleh Frank MacNamara pada tahun 1950 untuk memudahkan pembayaran, kad kredit pada awalnya hanya digunakan oleh golongan atasan.
Namun seiring peredaran masa, kad yang ditakrifkan oleh Universiti Oxford sebagai satu kad bagi memberi kemudahan kepada pemegangnya untuk memperolehi barang-barang keperluan secara hutang telah dijadikan pengganti wang tunai bagi majoriti pengguna.
Kad kredit memiliki kebaikan dan keburukan tersendiri. Baik buruk penggunaan kad kredit bergantung sepenuhnya pada pemilik kad tersebut. Jika bijak menggunakannya, kad kredit akan menjadi ‘teman’ yang dapat membantu meringankan beban. Sebaliknya, ia boleh berubah menjadi ‘api’ yang memakan diri jika tidak digunakan dengan bijak.

Kebaikan kad kredit

Lebih selamat, tak perlu bawa ‘cash’

Salah satu faktor yang menggalakkan penggunaan kad kredit ialah individu tidak perlu membawa wang tunai yang banyak untuk membeli-belah.
Bagi sesetengah orang, membawa wang tunai yang banyak merupakan satu beban dan mendedahkan mereka kepada risiko kehilangan wang serta kecurian. Penggunaan kad kredit menggelakkan semua risiko tersebut kerana hanya tandatangan yang diperlukan bagi setiap transaksi perbelanjaan.
Sebenarnya, tak kiralah anda ambil kad kredit dari mana sekalipun – kad kredit Maybank, CIMB, Ambank, AEON, RHB, BSN – semuanya adalah selamat.
Cuma cara penggunaan kita apabila di atas talian itu yang membuatkan poket tidak selamat.
 

Boleh rancang perbelanjaan

Kebaikan kad kredit yang lain ialah kita boleh buat bajet sendiri setiap bulan.
Setiap transaksi yang dilakukan menggunakan kad kredit direkodkan secara automatik. Pengguna akan mendapat penyata lengkap mengenai perbelanjaan mereka pada setiap bulan.
Secara tidak langsung, penyata tersebut dapat digunakan untuk merancang perbelanjaan bulanan. Dengan pengetahuan dan kesedaran yang tinggi tentang hala tuju perbelanjaan, pengguna boleh menggelakkan perbelanjaan yang tidak diingini.
Tengok penyata kad kredit, dan buat analisis sendiri, bahagian mana yang perlu dikurangkan perbelanjaan.
 

Maybank Card Spending Tracker

Jika anda menggunakan kad kredit Maybank, anda boleh lihat senarai perbelanjaan menggunakan Maybank2u secara percuma.
Dapatkan pemahaman yang lebih jelas mengenai tabiat perbelanjaan anda dan uruskan perbelanjaan anda mengikut keperluan anda sendiri dengan fungsi Card Spending Tracker.
Perbelanjaan kad debit & kad kredit pada setiap bulan dipisahkan ke dalam kategori dan ditunjukkan pada carta pai untuk memudahkan pemahaman.
Kategori yang boleh digunakan ialah:

  • Pengangkutan
  • Runcit
  • Utiliti
  • Makanan
  • Penginapan
  • Sukan
  • Perkhidmatan kewangan
  • Telekomunikasi
  • Hiburan
  • Lain-lain
  • Pendidikan
  • Insurans

Untuk menggunakan fungsi ini, masuk ke Maybank2u.com.my dan pilih ‘My Account‘ dari menu utama.
Pilih paparan seterusnya di bawah ‘Cards‘ dan lihat ‘Auto Spending Tracker‘ di bawah ‘My Total Spending‘ yang ditunjukkan dalam carta pai.
 

Perlindungan kepada pengguna

Semua transaksi kad kredit adalah dilindungi. Sebarang akses yang tidak sah biasanya tidak akan melibatkan wang simpanan kita secara terus.
Segala transaksi yang tidak sah boleh dilaporkan kepada pihak bank dengan mengemukakan aduan pertikaian (dispute report) untuk penyiasatan dan tindakan lanjut. Transaksi tidak sah akan terbatal secara automatik tanpa sebarang pembayaran atau caj dikenakan kepada pengguna.
Dengan bertambahnya penipu yang beleluasa di Internet, sudah pasti ini adalah salah satu kebaikan kad kredit yang tidak dapat disangkal.
 

Banyak ganjaran (reward)

Setiap wang yang dibelanjakan menggunakan kad kredit akan melayakkan pengguna untuk mengumpul mata ganjaran. Mata ganjaran ini boleh ditebus dengan hadiah-hadiah menarik seperti baucer membeli belah, petrol, barangan elektrik ataupun ganjaran perjalanan (miles) daripada syarikat penerbangan.
Orang perempuan pasti setuju, ini sememangnya kebaikan kad kredit yang akan membuatkan mereka lebih banyak berbelanja.
 

Mata kredit (Credit rating)

Pengguna kad kredit juga mempunyai mata kredit (credit rating) tersendiri.Jika pengguna mempunyai rekod pembayaran yang baik, mereka akan memperolehi mata kredit yang tinggi dan ini akan memudahkan urusan permohonan pinjaman pada masa akan datang.
Pengguna juga boleh mendapatkan pinjaman dengan kadar faedah lebih rendah jika memiliki mata kredit yang baik.
Jika credit rating tinggi juga, buatlah pinjaman rumah atau pinjaman kereta, nescaya semuanya akan jadi mudah.
 

Keburukan kad kredit

Jangan ingat kad kredit cuma ada kebaikan. Sebenarnya, ada lebih banyak keburukan yang ramai orang terlepas pandang. Lebih-lebih lagi pada ‘fresh graduate‘.
 

Jadi lebih boros

Ini adalah keburukan kad kredit yang paling utama.
Penggunaan kad kredit boleh mewujudkan budaya berbelanja yang kurang sihat dan tidak terkawal. Pemegang kad kredit boleh berbelanja tanpa had kerana kemudahan kredit boleh digunakan pada bila-bila masa sehingga membuatkan pengguna berhutang dan berbelanja lebih daripada kemampuan.
Penggunaan yang tidak terkawal akan membawa kepada masalah hutang yang lebih besar dan menganggu sistem kewangan individu.
Janganlah sampai bayar down payment kereta menggunakan kad kredit yang jumlahnya beribu-ribu. Takut tak larat nak bayar hutang nanti.
Sebaliknya, jika sudah buat kajian dan perbandingan insurans kereta paling murah, bolehlah gunakan kad kredit itu.
 

Caj mengarut yang tinggi

Kadar faedah yang dikenakan sangat tinggi iaitu sehingga 2 peratus sebulan bersamaan 24 peratus sebulan. Faedah boleh meningkat apabila pengguna tidak membayar bil kad kredit sepenuhnya dalam tempoh yang ditetapkan pada setiap bulan.
Jumlah ini akan semakin meningkat dari semasa ke semasa.
 

Tak diterima di semua tempat

Tidak semua peniaga menerima pembelian secara kredit terutama kedai biasa atau kedai kecil. Justeru, lokasi yang boleh dikunjungi oleh pemegang kad kredit adalah terhad memandangkan pemegang kad kredit mungkin menghadapi masalah sekiranya tempatyang dikunjungi menolak penggunaan kad kredit.
Contohnya, jika anda menggunakan kad kredit American Express dari Maybank, tidak semua stesen minyak menerimanya. Lebih baik menggunakan samada VISA atau Master Card sahaja.
 

Mudah disalahgunakan oleh ‘scammer

Mudah digunakan juga merupakan keburukan kad kredit. Aapabila sesebuah kad kredit hilang, ia boleh digunakan oleh individu yang menjumpainya dengan mudah.
Contohnya, untuk mengisi minyak kerana tandatangan pemilik tidak diperlukan untuk isi minyak menggunakan kad kredit.
 

Inflasi pada negara

Penggunaan kad kredit mungkin akan mendatangkan kesan negatif terhadap ekonomi negara. Perbelanjaan yang tidak terkawal akan mengakibatkan permintaan melebihi penawaran.
Masalah ini boleh membawa kepada masalah inflasi di negara kita, yang akhirnya membawa kepada masalah kemelesetan ekonomi.
Cuma, tidak semua orang faham tentang keburukan kad kredit dan kesannya pada inflasi.
 

Akhir kalam

Kad kredit Maybank CIMB
Seperti yang dinyatakan tadi, tak kiralah anda ambil kad kredit dari mana sekalipun – iaitu kad kredit Maybank, CIMB, Ambank, AEON, RHB, BSN, Bank Rakyat, Citibank – pastikan berhati-hati semasa berbelanja.
Paling baik, selepas berbelanja, terus bayar tanpa hutang.
Jika anda seorang yang beragama Islam, pastikan buat kajian terlebih dahulu. Pastikan mendahulukan kad kredit Islamik berbanding konvensional. Semoga ada keberkatannya.
Semoga bermanfaat.