Sakit Tekak – Punca, Cara Hilangkan & Makanan Untuk Kurangkan Sakit

Sakit tekak

Anda pasti pernah berdepan dengan situasi tekak berasa amat perit dan menganggu proses kelancaran untuk anda bercakap. Sudah tentu situasi tersebut amat menjengkelkan terutamanya jika pekerjaan anda memerlukan anda untuk banyak bercakap dan bersuara. Ikuti perkongsian artikel ini untuk mengetahui cara dan tip mengatasi masalah dan kenali punca sakit tekak ini.
Sakit tekak merupakan simptom yang paling biasa berlaku dalam kalangan populasi kita. Ia boleh berlaku disebabkan oleh pelbagai punca. Perubahan cuaca juga berupaya untuk membuatkan anda mengalami sakit tekak
 

Apa itu sakit tekak?

Sakit tekak atau turut dikenali dalam Bahasa Inggeris sebagai ‘faringitis’ merujuk kepada jangkitan biasa dengan sakit tekak. Bahasa mudah yang orang lain faham ialah sore throat.
Ia boleh merangkumi perasaan kesakitan, kekeringan ataupun kegatalan pada tekak anda. Sesiapa sahaja berisiko untuk mengalami sakit tekak ini.
Individu yang mengalami masalah ini akan berasa tidak selesa semasa bercakap di mana keadaan tekak terasa menyakitkan atau rasa terbakar. Keadaan ini juga akan menyebabkan kesukaran untuk makan. Ia biasanya hilang dengan sendiri dalam seminggu tanpa menyebabkan kerosakan.
 

Punca sakit tekak

Masalah sakit tekak ini boleh berlaku disebabkan oleh beberapa punca. Antaranya seperti:

Alahan

Alahan atau alergi merupakan satu tindak balas badan yang sensitif terhadap alergen, iaitu punca yang menyebabkan alahan. Alergen adalah seperti debu, debunga mahupun titisan hingus yang mengalir ke arah tekak daripada hidung anda.
 

Virus

Jangkitan virus adalah jangkitan biasa dan paling kerap berlaku dalam komuniti. Antara contoh virus yang boleh mengakibatkan sakit tekak adalah  virus selsema, croup dan mononucleosis. Ia sering menjadi punca sakit tekak ketika menelan.
 

Bakteria

Jangkitan bakteria pula boleh menyebabkan simptom yang lebih menyakitkan dan kronik. Strep throat ataupun sakit tekak akibat jangkitan ‘Streptococcus’boleh menyebabkan sakit tekak yang serius dan kesusahan menelan.
 
Jika bakteria ialah penyebab sakit tekak, anda memerlukan antibiotik. Jangkitan bakteria tekak boleh menyebabkan komplikasi kepada jantung ataupun masalah buah pinggang jika tidak dirawat. Jadi jangan ambil mudah!
 

Asid refluks

Masalah sakit tekak yang disebabkan asid refluks ini biasanya terjadi pada waktu pagi. Ini kerana asid perut boleh mengalir ke tekak anda ketika anda sedang tidur pada waktu malam.
 

Kerengsaan

Puncanya kerengsaan adalah disebabkan oleh udara kering, bahan kimia ataupun asap rokok. Kesakitan akibat kerengsaan ini akan lebih menyakiti apabila anda bernafas melalui mulut.
 

Penggunaan suara berlebihan

Masalah ini turut dikenali sebagai ‘Laryngitis’.Ia berlaku disebabkan penggunaan suara yang berlebihan.
Keadaan ini sering dialami oleh individu dalam sesetengah pekerjaan yang memerlukan penggunaan suara yang lebih banyak berbanding pekerjaan lain seperti penyanyi profesional, atau tenaga pengajar seperti cikgu.
Selain berasa sakit tekak, penggunaan suara yang berlebihan boleh mengakibatkan suara anda menjadi serak dan sakit semasa bercakap.
 

Kanser

Keadaan ini boleh berlaku jika terdapat tumor atau ketumbuhan yang mengakibatkan sakit tekak. Situasi ini boleh menyebabkan punca sakit tekak ini berlanjutan.
 

Post-intubation

Bagi individu yang menjalani pembedahan yang diintubasi, mereka akan cenderung untuk mengalami rasa sakit tekak kesan daripada tiub yang dimasukkan ke dalam tekak mereka.
 

Tanda-tanda sakit tekak

Mengalami sakit tekak adalah satu simptom dan ia boleh merangkumi rasa sakit, kegatalan, kekeringan dan kerengsaan pada tekak. Namun, walau bagaimanapun, apabila anda mengalami masalah sakit tekak, anda cenderung untuk mengalami gejala dan simptom yang lain.
Antara gejala dan simptom tersebut adalah seperti hidung tersumbat, hidung berair, bersin, batuk, demam, sakit telinga, tonsil menjadi besar dan bengkak, sakit leher, sakit ketika bercakap atau menelan, tekak merah, berdengkur dan sukar bernafas, air liur meleleh dan bengkak kelenjar yang menyakitkan leher. Kesan daripada gejala ini anda mungkin akan kehilangan selera makan anda.
 

Cara hilangkan sakit tekak

Untuk merawat sakit tekak anda yang mungkin anda tidak mengetahui penyebabnya, adalah sebaiknya untuk anda mendapatkan pemeriksaan daripada doktor bagi mendapatkan rawatan dan ubatan yang sewajarnya.
Umumnya, jika anda mempunyai jangkitan bakteria pada tekak, anda akan diberikan antibiotik. Sekiranya pemeriksaan lebih lanjut perlu dilakukan, anda akan dirujuk kepada pakar ENT (ear, nose and throat). 
Masalah sakit tekak yang kerana jangkitan virus pada tekak akan pulih dan baik dengan sendiri dalam masa 2-7 hari. Doktor akan memberikan nasihat supaya berehat di rumah sepenuhnya supaya sistem imun dapat melawan jangkitan.
Jemput baca artikel lain yang khusus membincangkan tentang cara menghilangkan sakit tekak.
 

Makanan bantu kurangkan sakit tekak

Mengalami sakit tekak mungkin akan menyebabkan anda hilang selera makan. Tetapi terdapat beberapa jenis makanan yang dipercayai dapat membantu mengurangkan rasa sakit tekak yang dihadapi.
 

Aiskrim

Merupakan sejenis makanan sangat sesuai untuk merawat tekak yang sakit. Makanan – makanan sejuk dapat membantu melegakan kesakitan tekak dan tekstur krimnya yang lembut menambahkan lagi keselesaan tekak di samping mudah untuk ditelan.
Jika anda risau produk tenusu akan membuatkan batuk anda menjadi lebih teruk, jangan risau kerana kajian telah mengesahkan bahawa produk tenusu tidak melakukannya, melainkan anda mempunyai alahan.
Orang kata aiskrim vanilla sangat berkesan dan membantu.
 

Teh

Teh merupakan satu minuman penawar yang baik kepada sakit tekak sejak turun temurun. Ia ternyata berkesan. Jadi sekiranya anda sakit tekak, pilih untuk meminum teh hijau, chamomile atau teh hitam.
 

Pisang

Mempunyai ciri yang mudah ditelan dan teksturnya sangat lembut. Ia kaya dengan serat dan vitamin C yang membantu melawan penyakit, kesan daripada sifat antioksidanya. Pisang juga mengandungi gula yang mampu memberikan tenaga segera di samping seratnya mampu membuatkan anda rasa lebih kenyang.
 

Madu

Adalah sejenis makanan yang mempunyai khasiat yang sangat banyak. Dengan rasa yang lazat, mudah dimakan dan mudah dimasukkan dalam pelbagai jenis hidangan. Madu telah disenaraikan oleh Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) sebagai salah satu ubat batuk.
 

Licorice

Akar licorice atau akar manis adalah sejenis herba yang telah sekian lama digunakan untuk merawat batuk dan sakit tekak. Anda boleh ambil air akar licorice dengan ubat batuk untuk mendapatkan kesan yang lebih efektif.
 
Akhir kata
Sakit tekak
Sakit tekak boleh menjadi tanda amaran banyak keadaan perubatan yang serius. Jika kesakitan berterusan, anda perlu berjumpa doktor untuk memastikan keadaan anda adalah baik-baik saja.
Semoga bermanfaat.
 

Carian dari Google:

  • TEKAK SAKIT
  • doa sakit tekak
  • punca suara serak ketika demam