10+ Cara Menghilangkan Sakit Tekak (Biar Lega & Kurang Kahak)

Cara menghilangkan sakit tekak dengan cepat

Perit, sakit dan tidak selesa! Itu menggambarkan keadaan sakit tekak yang pastinya pernah dihadapi setiap antara kita, baik dewasa mahupun kanak-kanak. Silap haribulan, hilang suara dan berdarah. Masa inilah baru tercari-cari cara menghilangkan sakit tekak, agar cepat lega. Kalau batuk, boleh juga cuba cara hilangkan batuk dan gatal tekak.
Bila mula kena sakit tekak, ia bukan sahaja menjejaskan selera makan, makan turut mempengaruhi mood kita sepanjang hari. Silap hari bulan boleh bikin gaduh, kata orang.
Penyebab sakit tekak tidak selalu jelas. Tetapi dalam kebanyakan kes, ia adalah gejala jangkitan virus atau bakteria. Kebiasaanya ia disusuli dengan gejala bersin, batuk atau melarat menjadi demam selesema.
Oleh kerana kebanyakan sakit tekak adalah disebabkan oleh virus dan tidak memerlukan rawatan antibiotik, rawatan di rumah adalah cara mudah bagi menghilangkan sakit tekak.
 

Cara hilangkan sakit tekak

Berikut kami sediakan ‘peti kecemasan’ iaitu petua dan kaedah yang sering menjadi amalan orang kita apabila berdepan sakit tekak.

Sedapnya aiskrim vanila!

Siapa tidak suka aiskrim vanila? Rasanya yang lembut dan berkrim menjadi pilihan popular meredakan sakit tekak masyarakat kita.
Walaupun ada perbalahan kalangan pengamal perubatan mengenai keberkesanan aiskrim ini dalam rawatan awal sakit tekak, namun rata-rata yang mencuba setuju ia membantu mengurangkan keradangan pada tekak.
 

Kumur-kumur dengan air garam

Amalan ini mungkin salah satu kaedah paling lama dalam membantu menghilangkan sakit tekak. Apabila sakit tekak, sel-sel dalam membran mukus anda bengkak. Garam menyerap air dengan sangat baik dan oleh itu membantu meredakan bengkak sekali gus mengurangkan rasa sakit. Ia juga membasuh lendir yang berlebihan pada tekak. Anda juga boleh menambah satu sudu teh kunyit – ia adalah anti-radang yang sangat baik.
 

Minum madu dan lemon

Sama seperti garam, madu membantu mengeluarkan air dari sel-sel yang meradang. Ia juga mempunyai ciri-ciri antibakteria dan telah terbukti berkesan untuk melegakan batuk pada kanak-kanak.
Hanya tambah satu sudu madu dan satu sudu teh jus lemon ke dalam secawan air panas dan kacau sebelum minum.
 

Minum air asam jawa

Asam jawa juga dipercayai mampu menghilangkan sakit tekak. Ia turut menjadi amalan orang terdahulu bagi merawat suara serak.
Caranya, ambil sedikit asam jawa lalu bancuh bersama segelas air. Amalkan minum pada waktu pagi dan malam.
 

Hisap bawang putih

Bawang putih mempunyai ciri-ciri antiseptik, yang boleh membantu jika anda mempunyai jangkitan bakteria pada tekak.
Apabila dihancurkan, ia mengeluarkan sebatian dipanggil allicin yang mempunyai ciri antibakteria, antikulat dan antiviral.
Cara terbaik untuk menggunakan bawang adalah dengan menghisapnya selama 15 minit. Ini mungkin sukar bagi kebanyakan orang.Mungkin anda boleh minumnya dan menambah beberapa madu atau minyak zaitun.
Juga boleh dicampurkan bersama sayur-sayuran lain dan jus sayuran. Tapi, lebih berkesan jika dimakan mentah.
Anda sanggup?
 

Hirup sup ayam

Petua ini betul-betul membantu! Ia hangat dan membantu melembabkan tekak. Sama seperti minum teh panas, sup panas boleh menenangkan tekak yang sakit. Ia juga membantu anda terhidrat (garam jangan lebih ye). Selain itu, sup ayam mungkin mengandungi bahan anti-radang.
 

Kulum lozenges sakit tekak

Lozenges boleh memberikan bantuan sementara dari sakit tekak dengan merangsang pengeluaran air liur. Oleh itu, ia membantu mengekalkan kelembapan kerongkong dan memberi kesan ‘penyejukan’.
Elak beri kepada kanak-kanak, dikhuatiri tercekik.
Boleh dapatkan di mana-mana sahaja farmasi berdekatan.
 

Mandi wap

Bernafas dalam stim dari pancuran hangat juga membantu mengurangkan bengkak dan meredakan rasa sakit tekak. Selain mandi wap, anda juga boleh bernafas dalam stim melalui sinki atau bekas berisi air panas. Tarik nafas panjang selama beberapa minit, ulang selama diperlukan.
 

Kekal hidrat, rehat secukupnya

Apabila sakit, badan anda perlu kekal terhidrasi dan berehat dengan baik kerana ini akan membantu melawan jangkitan lebih cepat. Jadi minum banyak air dan dapatkan cukup tidur!
Salah satu cara untuk mencegah pendedahan kepada kuman yang menyebabkan sakit tekak ialah mencuci tangan dengan air hangat dan sabun sepanjang hari.
Sentiasa bawa sanitizer dan basuh tangan apabila anda menyentuh permukaan umum seperti papan kekunci, berjabat tangan, atau terdedah kepada orang yang batuk atau bersin.
 

Akhir kalam

Cuba elak diri dari orang yang sakit. Jangan berkongsi barangan peribadi, seperti berus gigi, cermin mata, dan tuala dengan orang lain. Paling penting, cuba dahulu cara hilangkan sakit tekak secara tradisional ini. Juga boleh gunakan bahan semulajadi seperti cadangan Healthline. Mudah-mudahan menjadi.
Bagaimanapun, anda dinasihatkan agar berjumpa doktor jika sakit tekak berlanjutan lama.