Cara Menghilangkan Sakit Ulu Hati (Heartburn, Tak Sama Dengan Gastrik)

Sakit ulu hati

Kesakitan yang dirasai di bahagian bawah tengah dada adalah antara simptom yang kerap dialami oleh ramai individu. Bagaimana sebenarnya rasa sakit ulu hati? Pesakit akan melaporkan terdapat rasa panas atau seperti sesuatu yang tajam berada di dada mereka. Ia juga boleh menjadi semakin teruk selepas makan.
Menurut TheStar, lebih kurang 50% penduduk Malaysia pernah mengalami masalah gastrointestinal. Dan yang paling kerap ialah refluks asid (acid reflux) ini. Sakit ulu hati ialah salah satu daripada tanda-tandanya.
 

Punca sakit ulu hati

Ia berpunca daripada kegagalan otot di bahagian bawah salur makan (esofagus) yang pada asalnya berfungsi untuk mengawal kemasukan makanan ke dalam perut manusia.
Apabila otot ini tidak dapat bekerja pada tahap yang optimum, terdapat pengaliran keluar asid dari dalam perut ke dalam esofagus. Umum mengetahui bahawa asid boleh bersifat menghakis dan keadaan ini menyebabkan keradangan pada dinding esofagus.
Tidak kiralah sakit sebelah kiri atau kanan, kesakitan yang dirasai tersebut adalah berpunca daripada urutan kejadian ini.
 

GERD & simptom sakit ulu hati

Dalam Bahasa Inggeris, sakit ulu hati dikenali sebagai ‘heartburn’. Ia merupakan salah satu simptom yang dirangkum di dalam ‘Gastroesophageal Reflux Disease’ (GERD). Antara gejala lain yang boleh dialami oleh pesakit GERD ini adalah:

  1. Rasa panas di leher
  2. Terasa masam pada bahagian mulut dan belakang tekak
  3. ‘Angin’ yang banyak
  4. Batuk yang tidak berhenti buat masa yang lama
  5. Suara menjadi serak
  6. Kesukaran bernafas untuk pesakit yang berada pada tahap kronik

Berbeza dengan sakit ‘gastrik’ yang selalu menyerang pada bulan puasa, sakit ulu hati selalunya tertumpu pada bahagian tengah dada, betul-betul di bawah tulang dada dan di atas bahagian abdomen.
Kesakitan selepas makan adalah antara ciri lain untuk sakit ulu hati ini kerana pada ketika itu, rembesan asid akan bertambah bagi menyediakan makanan yang diambil untuk proses pencernaan.
 

Sakit biasa atau serangan jantung?

Antara perkara yang perlu diketahui masyarakat adalah simptom sakit ulu hati ini boleh menjadi sama dengan tanda-tanda serangan jantung. Walaubagaimanapun, ia boleh dibezakan dengan mengenalpasti gejala-gejala serangan jantung yang lain seperti:

  1. Berpeluh
  2. Rasa tidak selesa
  3. Rasa ingin pitam
  4. Sakit yang boleh merebak di bahagian bahu
  5. Berdebar-debar

 

Makanan penyebab sakit ulu hati

Terdapat hubungan yang rapat di antara jenis makanan yang diambil dan kesakitan yang dihadapi. Namun, ia berbeza mengikut individu.
Antara makanan biasa yang sering dikaitkan dengan keadaan ini adalah makanan yang bersifat pedas dan masam.
Anda perlu mengenalpasti dengan sendiri makanan yang bertanggungjawab dan berusaha sedaya upaya demi mengelakkan diri daripada menikmati juadah-juadah tersebut.
 

Rawatan & cara mengatasi sakit ulu hati

Jaga pemakanan

Pastikan anda menjaga pemakanan yang menjadi punca sakit ulu hati, iaitu yang bersifat pedas dan masa. Rujuk perenggan di atas untuk maklumat lanjut.
 

Guna ubat gastrik

Selain daripada menjauhi makanan yang menjadi dalang kepada kesakitan ini, anda boleh cuba untuk mengambil ubat di mana-mana farmasi berdekatan.
Ubat rawatan ‘gastrik’ boleh digunapakai untuk menyelesaikan masalah ini. Anda juga boleh meminta pandangan daripada ahli farmasi ataupun doktor untuk pilihan ubat-ubatan yang lain. Ia sangat senang untuk didapati dan murah.
 

Turun berat badan

Di samping itu, penurunan berat badan juga boleh memainkan peranan dalam menyebabkan sakit ulu hati. Janganlah turun secara mendadak dan tiba-tiba, tetapi turunkan berat badan dengan cara yang sihat. Boleh juga baca tentang kebaikan chia seed, yang bagus untuk kesihatan.
 

Makan dengan beradab

Elakkan dari makan hidangan yang banyak sekaligus namun sebaliknya, ambil bahagian yang lebih kecil dan makan sekerap yang mungkin.
 

Jangan hisap rokok

Sedutan asap rokok boleh mengurangkan lagi fungsi otot pada bahagian bawah esofagus dan oleh itu, cuba untuk berhenti merokok.
 

Jangan minum kopi

Kurangkan juga pengambilan minuman berkafein seperti kopi dan teh kerana ia boleh meningkatkan penghasilan asid dalam perut dan seterusnya merumitkan lagi situasi.
 

Lain-lain

Komplikasi

Sakit ulu hati adalah salah satu petanda GERD. Penyakit ini mempunyai potensi untuk menjadi asas kepada keadaan yang lebih serius.
Antaranya adalah ulser perut dan kanser esofagus. Sehubungan dengan itu, individu harus sentiasa memantau keadaan kesihatan masing-masing dan segera berjumpa dengan ahli perubatan jika sakit ulu hati ini berlarutan walaupun langkah-langkah rawatan sudah diambil.
 

Kehamilan dan GERD

Adalah menjadi suatu yang normal untuk wanita hamil mengalami perkara ini. Hal ini disebabkan oleh berat daripada kandungan yang mengenakan tekanan terhadap otot pada salur makanan dan seterusnya mengurangkan fungsi kawalan.
Langkah-langkah rawatan di atas boleh digunapakai oleh bakal-bakal ibu bagi memberi sedikit kelegaan dan keselesaan sepanjang tempoh kehamilan.
Walau bagaimanapun, jika mengalami sakit ini selepas bersalin, sila jumpa doktor untuk maklumat lanjut.
 

Akhir kalam

Punca sakit ulu hati
Jika diamati betul-betul, punca ‘heartburn‘ selalunya datang dari pemakanan. Jagalah pemakanan kita, mudah-mudahan dijauhkan dari penyakit sebegini.
Semoga bermanfaat.