10+ Aktiviti Selepas Pencen (Lepas Bersara, Jangan Duduk Sahaja)

Sudah menjadi kebiasaan bagi golongan yang bakal bersara, soalan pertama yang akan diajukan adalah “Lepas pencen nak buat apa?”. Setelah mengorbankan separuh usia anda untuk menyara diri dan keluarga, tibalah masanya untuk anda memasuki fasa yang seterusnya. Yang akan terfikir-fikir, “Apa aktiviti selepas pencen yang berfaedah dan bermanfaat?”.
Benar, perancangan selepas pencen perlu dilakukan awal, supaya tidak panik dan menggelabah nanti. Namun, janganlah pula merancang bab lain; iaitu merancang untuk kahwin lagi satu! Kami gurau-gurau sahaja.
 

Senarai aktiviti selepas pencen

Berikut adalah beberapa aktiviti selepas pencen yang boleh anda lakukan: –
 

Jadi  sukarelawan / ‘volunteer

Sekiranya anda gemar dalam aktiviti kemasyarakatan, alam persaraan adalah masa yang paling sesuai untuk diluangkan bagi membantu golongan yang memerlukan.
Terdapat pelbagai aktiviti yang boleh dilakukan seperti aktiviti gotong-royong, memberi makan kepada golongan fakir miskin, membantu di perpustakaan atau hospital, dan malah anda boleh membantu mangsa di negara yang sedang dalam pergolakan akibat peperangan seperti Syria, Libya, Myanmar dan sebagainya.
Kebanyakan aktiviti kemasyarakatan atau kemanusiaan ini sentiasa memerlukan sukarelawan yang mempunyai kelapangan masa kerana mereka tidak menawarkan sebarang imbuhan dari segi kewangan.
Tambahan pula, sukarelawan yang masih bekerja hanya boleh meluangkan waktu pada hari cuti sahaja berbanding golongan pesara.
Berikut adalah beberapa pertubuhan sukarelawan yang boleh disertai: –

 

Cari hobi baru

Sekiranya anda telah mempunyai hobi masa lapang semasa berada dalam dunia pekerjaan lagi, maka proses peralihan kepada dunia persaraan mungkin menjadi lebih mudah.
Akan tetapi jika anda masih belum mempunyai sebarang hobi, anda dinasihati supaya mencuba pelbagai jenis aktiviti ketika anda masih bekerja lagi supaya anda mengenalpasti hobi yang dapat memenuhi citarasa anda.
Hobi bukan sekadar mengisi masa lapang anda tetapi juga membolehkan anda berkenalan dan berinteraksi dengan kenalan baru yang mempunyai minat yang sama. Ini kerana perhubungan anda dengan rakan-rakan sekerja mungkin anda berkurangan kerana mereka masih sibuk dengan alam pekerjaan mereka.
Untuk mencari aktiviti berhampiran kawasan anda, anda boleh menggunakan laman web seperti meetup.com yang menyenaraikan pelbagai jenis aktiviti menarik.
 

Lazimi majlis ilmu di masjid

Pernahkah terlintas di hati anda sewaktu di zaman muda, “Nanti dah tua, barulah beribadat.”? Inilah waktu yang paling sesuai untuk anda melakukan aktiviti kerohanian kerana anda masih mempunyai kekuatan fizikal dan masa untuk mempelajari ilmu berkaitan keagamaan.
Bagi umat Islam, terdapat banyak aktiviti di masjid berhampiran anda seperti kuliah, tadabbur Al-Quran, program berbuka puasa, ceramah perdana dan sebagainya untuk mengisi masa lapang anda.
Sekiranya anda inginkan pengajian yang lebih mendalam, terdapat kelas bimbingan Al-Quran, mempelajari Bahasa Arab Al-Quran dan sekolah pondok untuk dewasa di mana anda perlu tinggal di pondok tersebut untuk sepanjang tempoh pengajian.
Bagi yang bukan beragama Islam, anda perlu merujuk kepada pusat ibadat berhampiran anda mengenai aktiviti yang ditawarkan.
 

Berjalan keliling dunia

Semasa sibuk bekerja dulu, cukup susah untuk dapat cuti panjang. Sekarang, bila sudah bersara, boleh ajak pasangan untuk bercuti dan berjalan mengelilingi dunia.
Jika belum menunaikan umrah dan Haji, jadikan itu keutamaan dahulu. Selepas itu, baru fikir untuk pergi luar negara sambil melihat sejarah kegemilangan Islam pada zaman dahulu.
Ramai orang mencadangkan, pergi ke wilayah Balkan, iaitu Croatia, Bosnia and Herzegovina, Slovenia, Serbia, Montenegro, Kosovo, Macedonia, Romania, Bulgaria, Albania, Greece dan Turki (yang di bahagian Eropah).
Cuma aktiviti selepas pencen ini sesuai jika ada duit lebih. Jangan pergi jika kewangan tidak mengizinkan. Paling penting, jangan sampai berhutang.
 

Mengajar ilmu secara percuma

Percayalah, ini antara aktiviti selepas pencen yang bakal membuatkan hati akan terasa bahagia.
Tentu sekali anda ada satu kemahiran yang lain dari yang lain semasa bekerja dahulu. Contohnya, jika bersara sebagai pengurus, mesti pandai tentang pengurusan masa dan pekerja.
Jika berjawatan VP, mesti pandai tentang strategic management dan leadership.
Jika anda dulu seorang cikgu, lebih mudah. Boleh ajar subjek yang anda mahir itu pada pelajar-pelajar yang memerlukan. Lebih bagus lagi untuk anak-anak yang tidak berkemampuan.
Ramai orang di luar sana yang terkapai-kapai dan tidak tahu tentang apa yang anda tahu. Masa inilah bantu mereka untuk berjaya.
Jadikan ilmu yang anda ajar itu sebagai saham di hari akhirat nanti.
 

Cuba sertai marathon

Hanya kerana anda bersara daripada alam pekerjaan tidak bermaksud anda bersara daripada hidup. Terdapat golongan pesara yang seolah-olah “menyerah kalah” selepas bersara dengan hanya meluangkan masa dengan menonton TV sepanjang hari.
Sebagaimana yang anda sedia maklum, golongan yang berusia lebih mudah terdedah dengan pelbagai jenis penyakit di mana kos perubatan adalah sangat tinggi. Oleh itu aktiviti fizikal seperti bersukan membantu anda mengurangkan risiko penyakit dan baik untuk kesihatan secara menyeluruh.
Di antara faedah bersukan termasuklah membantu dalam pengurusan berat badan; meningkatkan kecekapan fungsi jantung, mengawal masalah kencing manis dan menurunkan tahap kolesterol.
Juga boleh membantu fungsi peredaran darah, menurunkan tahap tekanan darah tinggi dan tekanan perasaan. Ia terbukti dalam membantu untuk menguatkan otot dan tulang.
 

Cari pekerjaan baru, cuba kerjaya yang lain

Idea ini mungkin agak pelik memandangkan anda baru sahaja meninggalkan dunia pekerjaan. Namun begitu, terdapat beberapa faktor yang mungkin menyebabkan anda akan mempertimbangkan cadangan ini: –
Kos sara hidup yang tinggi – Tidak dinafikan bahawa anda mempunyai wang simpanan, wang pampasan atau wang pencen untuk persaraan anda tetapi dengan keadaan ekonomi yang tidak menentu, adalah lebih selamat jika anda tidak bergantung sepenuhnya kepada wang tersebut dan mempunyai sumber pendapatan tambahan bagi menampung kehidupan harian. Setidak-tidaknya, kena fikir bagaimana mahu jana pendapatan selepas pencen.perancangan selepas pencen
Bekerja kerana minat – sekiranya anda mempunyai hobi atau kegemaran dalam sesuatu bidang, anda mungkin boleh memohon kerja dalam bidang tersebut. Sebagai contohnya, anda seorang kaki pancing dan berminat dengan peralatan memancing, anda boleh memohon kerja di kedai pancing di mana ianya tidak memerlukan kelayakan yang tinggi.
Mengisi masa lapang – setelah bekerja hampir keseluruhan hayat anda, kemungkinan besar anda akan menghadapi masalah “mati kutu” atau kebosanan kerana seolah-olah tiada matlamat hidup. Daripada membazirkan masa di kedai kopi, masa anda boleh dimanfaatkan dengan bekerja.
Anda tidak semestinya perlu bekerja sepenuh masa tetapi juga boleh memilih pekerjaan sambilan untuk mengisi masa anda. Anggaplah fasa ini sebagai peralihan daripada alam pekerjaan kepada persaraan sepenuhnya.
 

Cuba-cuba berniaga

Ini adalah salah satu aktiviti selepas pencen yang berisiko tinggi. Perlu tanya pasangan dahulu sebab ia akan melibatkan sejumlah duit yang besar.
Sekiranya anda seorang yang sukakan cabaran atau inginkan kebebasan dalam bekerja, memulakan perniagaan merupakan jalan terbaik untuk menjana pendapatan bagi keluarga anda.
Dengan adanya pelbagai teknologi semasa, anda boleh menjalankan perniagaan di rumah melalui Internet. Berikut adalah beberapa cadangan perniagaan / bekerja sendiri: –
Perniagaan dropshipping atau affiliate dengan menjual produk secara online
Pemandu Grab atau Uber pada masa lapang
Menulis blog atau memulakan channel YouTube
Bertukang atau membaiki peralatan elektrik
…dan bermacam-macam lagi.
Apapun pilihan anda, pastikan perniagaan yang anda ceburi tidak memerlukan modal yang besar. AWAS! Elakkan sama sekali daripada melaburkan wang anda ke dalam sebarang pelaburan yang tidak diketahui kerana golongan yang baru bersara biasanya menjadi sasaran pihak tertentu yang ingin mengaut keuntungan. Jangan habiskan duit simpanan di bank dan duit KWSP yang ada.
Ada kes di mana, ahli keluarga atau rakan-rakan anda yang mungkin akan memujuk anda untuk melaburkan wang persaraan anda ke dalam perniagaan mereka dengan pelbagai janji pulangan yang menguntungkan. Perlu diingatkan bahawa anda telah mengumpulkan wang tersebut seumur hidup untuk tujuan bagi menyara kehidupan selepas persaraan, jadi perlulah bijak dalam membuat keputusan.
 

Akhir kalam

Aktiviti selepas bersara
Kesimpulannya, fasa persaraan bukanlah bermaksud kehidupan anda telah berakhir tetapi sebenarnya membuka peluang buat anda untuk menerokai sesuatu yang baru, mendekatkan diri kepada sang Pencipta, merapatkan hubungan silaturrahim dengan ahli keluarga yang jauh dan sebagainya.
Manfaatkan masa anda dengan sebaiknya dengan melakukan aktiviti selepas pencen yang betul-betul memberikan faedah dan manfaat. Ini kerana ianya umpama “peluang kedua” buat anda untuk memulakan kehidupan yang baru.
Paling penting, pastikan simpanan anda cukup. Jika anda ada akaun Amanah Saham Bumiputra, jangan semata-mata login ASB untuk keluarkan duit sahaja. Biarkan sahaja pelaburan itu, mudah-mudahan dapat pada anak satu hari nanti.
Jika anda layak mendapat Bantuan Sara Hidup pula, janganlah terlalu menunggu duit BSH masuk. Pandai-pandailah uruskan kewangan sendiri.
Semoga bermanfaat!

Carian dari Google:

  • cadangan aktiviti selepas bersara
  • aktiviti setelah bersara
  • berniaga selepas bersara
  • berniaga selepas bersara kerajaan
  • kerja selepas pencen
  • kerja untuk orang pencen
  • kerjaya selepas pencen
  • pekerjaan selepas bersara
  • perniagaan masa pencen
  • senarai aktiviti semasa bersara