5 Hak Suami dan Tanggungjawab Isteri Kepada Suami


Apa hak suami terhadap isteri? Dan apakah tanggungjawab isteri kepada suami. Kedua-duanya adalah perkara yang sama dan saling berkait rapat. Tanggungjawab isteri ialah menunaikan hak isteri.

1. Taat pada suami, dan patuh terhadap nasihatnya

Isteri wajib mentaati dalam segala perintah suami melainkan pada perkara-perkara maksiat dan larangan terhadap Allah s.w.t. “Rasulullah s.a.w. pernah melarang kepada Muaz bin Jabal ketika beliau bersujud kepada baginda kerana mengikut amalan ahli Syam: Jangan kamu lakukan sebagaimana mereka, maka sesungguhnya aku, sekiranya aku diberi suatu perintah agar seseorang bersujud kepada selain dari Allah, sudah pasti akan aku perintahkan seorang isteri untuk bersujud kepada suaminya.”
Hadith ini telah menerangkan kepada kita bahawa ketaatan seorang isteri kepada suaminya adalah suatu perkara yang wajib. Para isteri janganlah merasakan ketaatan kepada suami merupakan suatu perkara yang boleh membebankan dirinya, kerana walaupun ia berat untuk dilaksanakan, tetapi Allah s.w.t. telah menjanjikan balasan yang terbaik sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w. yang diriwatkan oleh Ibnu Majah dan Tirmizi yang bermaksud : “Mana-mana wanita yang mati sedangkan suaminya redha akannya, maka dia akan masuk syurga.”
Manakala di dalam hadith lain yang diriwayatkan oleh Ahmad dan selainnya, sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud : “Sekiranya seseorang wanita sembahyang lima waktu, berpuasa sebulan Ramadhan, memelihara kemaluannya dan taat akan suaminya, akan dikatakan padanya masuklah kamu dari mana-mana pintu syurga yang kamu kehendaki.”

2. Memelihara maruah suami dan hartanya

Pelihara maruah dan harta itu, samada ketika kehadiran suami, dan juga semasa ketiadaannya.
Adalah menjadi kewajipan bagi seseorang isteri agar memelihara maruah, rahsia dan harta suami kerana suami merupakan ketua rumahtangga yang mengetuai dan menguruskan segala urusan yang berkaitan dengannya.
Perkara ini telah disebut di dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Bukhari dalam sahihnya dari Abi Hurairah r.a. sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud : “… dan janganlah seorang wanita membelanjakan harta suaminya melainkan dengan izinnya.” Manakala hadith lain daripada Ibn Umar dan Ibn Abbas r.a. “Janganlah seorang wanita mensedekahkan sesuatu harta dari rumah suaminya melainkan dengan izinnya, maka sekiranya dilakukannya juga, adalah bagi suaminya pahala dan ke atasnya (isteri) dosa…”

3. Bantu suami dalam menguruskan hal rumahtangga

Adapun isteri telah dicipta kejadiannya untuk mengandung dan melahirkan anak. Oleh itu, sesuai dengan fitrah kejadian wanita terhadap tugas-tugas yang diamanahkan, seorang isteri perlu membantu suami dalam menguruskan rumahtangga seperti memelihara anak-anak dan menjalankan urusan-urusan di dalam rumah.
Inilah hikmah Allah s.w.t. yang telah ditetapkan dengan meletakkan setiap kumpulan ahli dalam pekerjaannya. Setiap lelaki dan wanita dipertanggungjawabkan dengan pekerjaan yang munasabah dan sesuai dengan kejadiannya sebagaimana firman Allah s.w.t. di dalam surah Al-Baqarah ayat 228 yang bermaksud: “Dan isteri-isteri itu mempunyai hak yang sama seperti kewajipan yang ditanggung oleh mereka dengan cara yang sepatutnya.”

4. Minta izin suami dalam perkara-perkara tertentu

Adalah menjadi kewajipan bagi seorang isteri untuk meminta izin terlebih dahulu dari suami dalam perkara-perkara tertentu seperti untuk membenarkan seseorang yang lain memasuki rumah dan berpuasa sunat.
Rasulullah s.a.w. telah bersabda di dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Bukhari yang bermaksud : “Tidak halal bagi seorang wanita berpuasa sedangkan suaminya menyaksikannya melainkan dengan izin suaminya, dan tidak mengizinkan seseorang memasuki rumah kecuali dengan izin suaminya…”

5. Tinggal bersama suami di tempat yang disediakan

Wajib bagi seorang isteri tinggal bersama suami di tempat tinggal yang telah disediakan bagi perkahwinan mereka. Para isteri tidak boleh keluar dari rumah suaminya atau enggan tinggal bersama suaminya melainkan dengan izin suaminya.
Wanita yang keluar rumah tanpa izin suaminya boleh mengundang fitnah dan ia turut merosakkan nilai-nilai kekeluargaan seperti mendatangkan syak wasangka pada suami dan lain-lain kecelakaan yang lebih besar.
Oleh sebab itu, suami mempunyai hak untuk menahan isteri agar tidak keluar dari rumah melainkan dengan izinnya atau pada perkara-perkara yang penting seperti menunaikan fardu haji dengan syarat bermahram.
Ini kerana, ia merupakan suatu perintah Allah yang mendahului perintah suami atau menziarahi ibu bapanya kerana larangan suami terhadap isteri daripada menziarahi ibu bapanya akan membawa kerosakan yang lebih besar lagi iaitu terputusnya silaturrahim.
Semoga semua pembaca di The Berkat mendapat kebahagiaan dalam rumahtangga. Klik untuk baca hak isteri dan tanggungjawab suami kepada isteri pula.
Sumber: Cinta Sakinah JAIPK
[yasr_overall_rating size=”medium”]

Sebarkan kebaikan
  • 2
    Shares

Leave a Comment