Relationship

4 Hak Isteri dan Tanggungjawab Suami Kepada Isteri

Tanggungjawab suami kepada isteri

Jangan gaduh-gaduh. Islam telah menetap garis panduan yang mudah untuk kita ikuti.

Apa hak isteri terhadap suami? Dan apakah tanggungjawab suami kepada isteri. Kedua-duanya adalah perkara yang sama dan saling berkait rapat. Tanggungjawab suami ialah menunaikan hak isteri.

Tanggungjawab merupakan satu tugas yang mesti dilaksanakan bagi melengkapkan kehidupan. Sesuai dengan namanya, setiap orang akan ditanya atau diminta menjawabnya di hadapan Allah kelak seandainya tugas itu tidak dapat disempurnakan.

1. Memberi nafkah kepada isteri

Wajib ke atas suami memberi nafkah ke atas isteri sama ada isteri berkemampuan atau sebaliknya. Isteri mempunyai hak untuk menuntut nafkah dari suami menurut peruntukan yang ada dalam Undang-Undang Keluarga Islam walaupun masih dalam ikatan perkahwinan. Namun begitu, nilainya perlu mengikut kemampuan suami menurut perbelanjaan semasa. Suami tidak boleh mengambil kesempatan untuk menidakkan keupayaannya bagi mencari pendapatan menurut keupayaan sebenar yang diukur dari sudut masa, usia, tenaga dan kesihatan. Contohnya, suami mampu mencari pendapatan tambahan tetapi tidak mahu dengan alasan seperti malas.

Firman Allah s.w.t. di dalam Surah At-Talak ayat 7 yang bermaksud:

“Hendaklah orang yang mampu memberi nafkah menurut kemampuannya. Dan orang yang disempitkan rezekinya hendaklah memberi nafkah dari harta yang diberikan Allah kepadanya. Allah tidak memikulkan beban kepada seseorang melainkan sekadar apa yang Allah berikan kepadanya. Allah kelak akan memberikan kelapangan sesudah kesempitan”

Nafkah yang dimaksudkan ialah seorang suami mesti menyediakan makan, pakaian, tempat tinggal dan keperluan hidup kepada isteri.

Namun begitu, seorang isteri perlu sedar bahawa hak nafkah akan hilang sekiranya mereka nusyuz terhadap suami iaitu tidak taat kepada suami seperti meninggalkan rumah suami dan enggan berpindah mengikut suami. Isteri juga tidak boleh menuntut nafkah yang keterlaluan dari suami terhadap keperluan-keperluan yang tidak sepatutnya.

2. Memimpin dan memelihara iseri dengan nasihat dan pengajaran

Adalah menjadi tanggungjawab suami untuk memimpin isteri ke jalan yang diredhai Allah. Suami mempunyai kuasa mendidik isteri melalui nasihat dan pengajaran yang baik.

Suami hendaklah menegur kesilapan dan memperbetulkan kesalahan isteri dengan kasih sayang dan belas kasihan. Rasulullah s.a.w. telah bersabda yang bermaksud: “Berilah pengajaran yang baik kepada kaum wanita, kerana kaum wanita dijadikan daripada tulang rusuk. Adapun tulang rusuk yang paling bengkok ialah tulang rusuk yang paling atas, yang apabila engkau luruskan ia akan patah dan apabila engkau biarkan ia tetap bengkok. Oleh itu berilah pengajaran kepada kaum wanita dengan cara yang baik.” [Riwayat Bukhari & Muslim]

3. Memberi keadilan kepada isteri, terutama yang berpoligami

Seorang suami wajib berlaku adil terhadap isteri terutama bagi suami yang beristeri lebih dari seorang. Adil itu bermaksud meletakkan sesuatu pada tempatnya. Rasulullah s.a.w. telah bersabda yang bermaksud: “Dan sesungguhnya orang yang paling baik di antara kamu ialah orang yang paling baik pada isterinya.” [Riwayat Tirmizi & Abu Daud]

Bagi suami yang beristeri lebih dari seorang pula, mereka mestilah menyamakan hak dan bergaul dengan baik terhadap isteri-isteri mereka. Keadilan ini meliputi segala aspek melainkan pada perkara yang berkaitan dengan kecenderungan hati dan perasaan kerana ia bukan kehendak dan kekuasaan manusia. Allah s.w.t. berfirman di dalam Surah An-Nisa’ ayat 3 yang bermaksud: “Kemudian jika kamu takut tidak akan dapat berlaku adil, maka kahwinlah seorang saja.”

4. Menggembirakan hati isteri

Seorang suami berhak untuk menggembirakan hati isteri yang telah bekerja untuk suami dalam menguruskan rumahtangga. “Diriwatkan dari Aisyah r.a., bahawa pada suatu hari beliau pernah ditanya: Bagaimanakah sikap baginda Rasul s.a.w. ketika di dalam rumah? Maka Aisyah menjawab: Baginda Rasul adalah orang yang paling lemah lembut, sering tersenyum dan sering pula tertawa.” [Riwayat Ibnu Saad]

Semoga semua pembaca di The Berkat mendapat kebahagiaan dalam rumahtangga. Klik untuk baca hak suami dan tanggungjawab isteri kepada suami pula.

Sumber: Cinta Sakinah JAIPK

Click to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Yang Popular

To Top