25+ Tempat Menarik di Penang Yang Percuma (Percutian Bajet 2019)


Tahukah anda yang Pulau Pinang adalah sebuah pulau yang sangat padat di Malaysia? Bukan sahaja padat dengan penduduk tetapnya sendiri, bahkan dengan para pelancong dari dalam dan luar negara, yang berpusu-pusu datang menyeberangi lautan menggunakan Jambatan Pulau Pinang yang merupakan jambatan terpanjang di Malaysia. Ramai yang datang ke Pulau Pinang kerana keunikan negeri ini yang terletak di sebuah pulau dan mempunyai perjalanan sejarah yang panjang. Struktur bangunan di negeri ini juga banyak menunjukkan percampuran budaya Melayu, Cina dan India. Selain itu, ia sangat terkenal sebagai syurga makanan dan terlalu banyak tempat menarik di Penang yang cantik dan boleh dilawati di sini.
Sebut sahaja Pulau Pinang, yang timbul di dalam kepala sudah tentu keenakan nasi kandarnya, bau kuetiau yang semerbak. Itu sahaja? Tidak sama sekali! Pulau Mutiara ini memiliki pakej yang lengkap sebagai tempat pelancongan bertaraf dunia. Anda hendak tahu tempat-tempat menarik dengan bajet rendah ketika bercuti di sana?
Dalam artikel ini, penulis akan berkongsi tempat-tempat menarik secara percuma dan yang mengenakan bayaran minima. Semoga percutian anda di Pulau Pinang menjadi suatu kenangan yang manis dan berharga. Teruskan bacaan anda untuk maklumat selanjutnya.
Masih ragu-ragu untuk bercuti di Pulau Pinang? Jom kita tengok apa yang boleh anda lihat dah rasai di negeri ini dan selepas ini, keraguan anda pasti hilang.
 

Tempat percutian percuma di Penang

Jambatan Pulau Pinang

Jambatan Pulau Pinang bukanlah tempat yang kita boleh singgah sesuka hati. Mana taknya, kereta bertali arus dari kedua-dua arah hampir setiap masa. Tetapi pengalaman melalui jambatan terpanjang di Malaysia ini untuk memasuki Pulau Pinang daripada Seberang Prai pastinya akan membuat semua orang teruja. Sekarang, sebuah lagi jambatan yang merentasi lautan untuk ke Pulau Pinang sudah dibina untuk mengurangkan kesesakan di sana. Bagi yang ingin menggunakan jalan laut, anda juga boleh menaiki feri untuk ke Pulau Pinang.
 

Pantai Batu Ferringhi

Apa faedahnya datang ke sebuah pulau kalau kita tak pergi jenguk pantai yang ada di sana? Pantai Batu Ferringhi adalah antara pantai yang terkenal di Pulau Pinang. Pantai ini terkenal dengan kebersihan dan kecantikan alam semulajadinya. Yang paling best tentang pantai ini mestilah panorama Matahari terbenam daripada pukul 6.30 petang hingga 7.30 malam. Langit yang kemerah-merahan pasti memukau pandangan sesiapa sahaja yang melihatnya. Setelah itu, pasar malam pula dibuka di kawasan berdekatan. Dah puas tengok Matahari, kita isi pula perut yang kosong dengan makanan-makanas sedap. Terbaik!
 

Bukit Bendera

Bukit Bendera adalah tempat yang sentiasa menggamit kedatangan para pengunjung. Orang ramai mendaki bukit ini dengan melalui trek sejauh 5km untuk tiba ke puncak. Kita boleh memulakan pendakian di Taman Botani Pulau Pinang. Yang pasti, pemandangan di puncak pastinya membuatkan setiap titik peluh mendaki sangat berbaloi. Di puncak, terdapat tempat makan, landskap yang cantik dan sebuah kuil yang menarik. Tapi, bagi yang tak kisah untuk berhabis sedikit duit belanja dan tidak mahu penat mendaki, kita boleh sahaja menaiki kereta kabel untuk ke atas. Pengalaman naik kereta kabel pun menarik.
 

Penang Street Art Trail

Penang Street Art ini sangat menarik untuk dilawati kerana banyak lukisan mural yang sangat menarik dan cantik boleh dilihat secara PERCUMA! Kebanyakan lukisan menggambarkan gaya hidup dan sejarah Pulau Pinang yang sangat berbaloi untuk kita kongsikan di Instagram. Ada juga yang menggelikan hati. Pelukis mural ini sememangnya sangat berbakat. Mural ini biasanya dilukis di belakang bangunan-bangunan. Album percutian kita di sana pasti menjadi lebih berwarna-warni dengan gambar berlatar belakangkan karya seni ini.
Kalau jiwa sedang kacau, memang di sinilah tempat yang terbaik untuk anda mendamaikan hati. Anda pasti akan kagum melihat hasil seni mural yang bukan calang-calang. Tidak lupa juga untuk kaki swafoto, memang anda sakit kepala sebab banyak sangat sudut yang menarik untuk dirakamkan. Macam menarik bukan?
 

Kilang Buah Pala Gee Hup

Sambil berjalan-jalan, tiada salahnya untuk kita menambah ilmu tentang sesuatu yang sangat sinonim dengan tempat yang kita lawati. Pulau Pinang sangat sinonim dengan buah pala. Alang-alang Kilang Buah Pala Gee Hup dibuka untuk dilawati secara percuma, tiada salahnya kita masuk. Di sana, kita boleh mempelajari pelbagai perkara tentang buah pala selain daripada membelinya secara terus dari kilang. Sebagai contoh, kita akan didedahkan dengan bagaimana buah pala diproses untuk dijadikan buah jeruk, jus, rempah, teh, minyak dan balm. Lebih menarik lagi, kita boleh mencuba sendiri keenakan produk makanan dan minuman daripada buah pala sebelum membelinya.
 

Taman Negara Pulau Pinang

Taman Negara Pulau Pinang terkenal sebagai taman negara paling kecil di dunia. Tapi, saiz kecilnya tidak menjejaskan keistimewaan dan keindahan luar biasa yang terdapat di taman negara ini. Taman Negara Pulau Pinang mempunyai kawasan perlindungan penyu, Tasik Meromictic di mana air tawar dengan air masin tidak bercampur, pantai yang sangat cantik dan sesuai untuk aktiviti berenang, 2 trek pendakian bukit melalui hutan hujan terus ke pantai-pantai yang tercantik di Pulau Pinang, beberapa kawasan perkhemahan dan banyak lagi!
 

Taman Botani Pulau Pinang

Taman yang terkenal ini terletak di Pulau Tikus, George Town. Kalau hendak buat percutian bajet tanpa mengeluarkan wang yang banyak, tempat ini sangat sesuai. Pada waktu awal pagi, cuaca di sini agak sejuk. Boleh juga beriadah bersama-sama keluarga. Jangan terkejut, di sini juga disediakan trem untuk melihat-lihat persekitaran taman. Para wanita pastinya akan teruja melihat tanaman kaktus dan pokok bunga yang berwarna-warni.
Taman Botani Pulau Pinang adalah tempat yang paling sesuai untuk mereka yang sukakan aktiviti santai bersama pasangan atau keluarga. Kita boleh berjalan di sepanjang trek, berpiknik atau berjogging di pagi hari di sini. Kita takkan sedar masa berlalu apabila melihat keindahan pemandangan di taman ini yang dipenuhi dengan pelbagai tumbuhan berwarna-warni. Tapi, hati-hati dengan monyet yang selalu berjalga di situ. Di Taman Botani ini terdapat pokok sawit, pokok pine, pokok herba, pokok paku pakis, rumah kaktus dan taman formal. Ada juga burung-burung, rama-rama dan serangga. Sangat menarik!
 

CAT Free Shuttle Bus

Benda ni mungkin benda paling best di Pulau Pinang yang mungkin tidak ada di tempat lain; Perkhidmatan bas shuttle percuma. Perkhidmatan bas shuttle ini meliputi kawasan dari jeti ke Jalan Penang dan balik semula. Sepanjang perjalanan, bas ini akan berhenti di 19 tempat strategik dan menarik untuk memberi peluang kepada para penumpang merasai sendiri pengalaman menarik di negeri ini. Jangan lupa untuk ambil gambar sebagai kenang-kenangan di setiap perhentian. Kita cuma perlu mencari bas dengan papan tanda ‘Hop On Free’. Tak payah buka beg  duit lepas dah naik tau. Percuma je ni.
 

Muzium Kaca i-Box

Jika anda sukakan sesuatu yang unik dan lain dari yang lain, pastikan anda singgah di IBox Glass Museum. Sangat berbaloi untuk kita meluangkan masa di situ kerana ia merupakan muzium kaca pertama di Malaysia yang mempunyai lukisan kaca paling panjang bermotifkan batik. Entah kenapa kita masih boleh masuk ke sini secara percuma. Tak kisahlahkan. Orang bagi percuma, kenapa pula kita nak bayar. Tapi, singgah cepat-cepat. Benda percuma ni, kita tidak tahu percumanya sampai bila. Betul tak?
 

Gurney Paragon Mall

Gurney Paragon Mall dan Gurney Drive adalah sebuah pusat membeli belah yang sangat menarik kerana pelbagai aktiviti boleh dilakukan di sekitarnya. Lokasinya yang terletak di kawasan pantai juga sangat strategik bagi mereka yang sukakan suasana dan angin pantai. Pada hari Sabtu terakhir setiap bulan, konsert muzik outdoor diadakan untuk tontonan ramai. Gurney Plaza pula boleh menjadi tempat untuk mereka yang suka membeli belah. Di situ juga, terdapat banyak restoran. Kalau teringin nak makan street food, keluar saja, anda boleh jumpa banyak gerai makanan berdekatan.
 

Pasar Lorong Kulit

Kalau anda membayangkan tempat ini sekadar pasar awam biasa, silap besarlah. Pasar karat yang terbesar di Pulau Pinang ini menjadi syurga buat penggemar barangan antik, pakaian bundle, aksesori gajet, makanan dan sebagainya. Pasar yang terletak di George Town ini dibuka setiap hari.
 

Padang Kota Lama

Jangan tak tahu, di sini juga terdapat banyak peninggalan sejarah yang amat bernilai. Antaranya ialah Padang Kota Lama. Padang ini merupakan peninggalan kerajaan British sebagi tempat perarakan dan berkumpul tentera mereka. Yang paling menarik, padang yang terletak di Espelande, George Town ini terletak berhampiran laut. Tentu sejuk sahaja ditiup bayu laut apabila berjalan di sini.
 

Masjid Terapung Tanjung Bungah

Jika anda ke Batu Ferringhi atau ke George Town, bolehlah singgah menunaikan solat di masjid ini. Apa yang menarik tentang masjid ini? Masjid ini ialah masjid terapung pertama yang dibina di Malaysia. Masjid yang asalnya diperbuat daripada kayu ini, telah menggamit hati pelancong dengan rekaan senibinanya yang terkini. Jangan lupa singgah di sini nanti!
 

Saanen Dairy Goat Farm

Hendakkan suasana yang lain dari kebiasaan? Lupakan pusat membeli-belah, hiruk-pikuk bandar yang menyesakkan dada. Bolehlah anda merasakan suasana di ladang ternakan kambing. Tentu anak-anak anda teruja memberi makan kepada kambing-kambing yang diternak. Sambil bercuti, dapat juga mereka melalui pengalaman yang menarik. Jika berminat, bolehlah anda kunjungi ladang yang terletak di Sungai Pinang, Balik Pulau ini.
 

Hutan Pelajaran Air Hitam Dalam

Hendak cuba berjalan di jambatan gantung? Mendengar bunyi kicauan burung-burung? Menghayati keindahan hutan yang menyejukkan mata? Yang paling mengujakan, terbentang menghijau petak-petak sawah padi. Biar betul? Di mana lokasinya? Hutan ini terletak di Kampung Air Hitam Dalam, Tasek Gelugor di Seberang Perai Utara. Macan-macam aktiviti yang boleh dilakukan di sini bersama seisi keluarga. Jangan lupa dapatkan maklumat lanjut tentang tempat ini.
 

Rumah P. Ramlee

Siapa yang tidak kenal seniman negara terulung ini? Tanpa mengira bangsa dan agama, P.Ramlee telah menyatukan rakyat melalui filem-filemnya. Jika anda ingin melihat sendiri rumah yang pernah diduduki oleh beliau, boleh sahaja ke Taman Kampar, George Town. Kenangan lalu pasti menggamit hati apabila berjalan-jalan di sekitar rumah ini. Lagu-lagu beliau sentiasa dimainkan untuk menghidupkan suasana. Segala kisah hidupnya, selain pencapaian beliau dalam industri seni juga dipamerkan.
 

Penang Avatar Secret Garden

Hendak rasa macam berada dalam filem ‘Avatar’? Ah, rugi kalau tidak datang ke sini. Jangan lupa bawa keluarga anda ke kebun ajaib yang terletak di Tanjung Tokong, Tanjung Bungah. Anda pasti tidak akan melepaskan peluang bergambar dengan pokok-pokok yang diterangi cahaya berwarna-warni. Alah, sama macam dalam filem tersebut. Tempat ini dibuka pada waktu siang dan juga malam. Kalau hendak rasakan suasana alam fantasi, sebaik-baiknya datang berkunjung pada waktu malam.
 

Clan Jetties Floating Village

Ada lagi ke tempat menarik? Sudah tentu di Pulau Pinang terdapat banyak tempat menarik. Salah satunya, perkampungan terapung masyarakat Cina di Weld Quay, George Town. Wah, macam menarik! Rumah-rumah di sini terapung di atas air, membuatkan pemandangannya sangat indah. Jika hendak melihat aktiviti masyarakat di sini, sebaik-baiknya datanglah seawal pagi.
 

Tokong Kek Lok Si

Apa yang menarik tentang tempat beribadat masyarakat Buddha ini ialah ia merupakan tokong terbesar di Asia Tenggara. Dikatakan kerana keluasan tokong ini, ia mengambil masa 20 tahun untuk disiapkan. Bayangkan besarnya tempat ini! Senibinanya ialah gabungan Thailand dan Burma. Kalau terasa macam hendak berada di Bali, jangan lupa ke tokong yang terletak di Ayer Hitam ini.

Tempat percutian bajet di Penang 

Muzium Perhutanan Pulau Pinang

Muzium ini mempamerkan aneka artifak berkaitan perhutanan. Harga tiket yang dikenakan juga sangat murah iaitu RM1 untuk dewasa dan RM0.50 untuk kanak-kanak. Malah harganya juga menjadi lebih murah jika datang secara berkumpulan (lebih 15 orang) iaitu RM0.80. Malah, muzium ini terletak di Taman Rimba Teluk Bahang. Setelah dapat banyak maklumat tentang hutan, boleh juga anda bermandi-manda atau berkelah bersama keluarga di taman ini pula. Tentu seronok jadinya!
 

Countryside Stables

Apa kata cuba aktiviti berkuda bersama anak-anak? Di sini, selain boleh menunggang kuda, para pengunjung juga boleh memberi makan jerami padi kepada kuda-kuda. Jangan risau, bayaran yang dikenakan masih mampu bayar iaitu RM5 sahaja. Jangan lupa kunjungi tempat ini yang terletak di Balik Pulau. Anak-anak pasti lupa dunia dibuatnya.
 

Muzium Gohkaki

Hendak mengimbau permainan masa zaman kanak-kanak dulu? Inilah tempatnya yang terletak di George Town. Percayalah anak-anak anda akan melupakan gajet yang dibanggakan selama ini. Di sini, kanak-kanak akan ditunjukkan cara bermainan permainan tradisional seperti batu seremban, congkak, tingting, getah dan sebagainya. Dapat dibayangkan betapa seronoknya anak-anak kita nanti. Ibu dan bapanya juga boleh tumpang sekaki sambil teringat kampung halaman. Harga tiket yang dikenakan cuma RM5.
 

Akhir kalam

Jadi, anda bolehlah mula membuat perancangan jika hendak ke Pulau Pinang. Tidak perlu mengeluarkan kos yang tinggi, anda masih mampu berseronok bersama keluarga dan rakan-rakan. Yang penting, anda perlu merancang percutian dengan betul-betul. Diharapkan artikel ini dapat membuat anda tersenyum sampai ke telinga. Jangan risau, masih banyak tempat yang boleh diteroka walaupun poket hampir kering!
Berbaloi menjejakkan kami ke negeri yang mendapat pengiktirafan UNESCO ini.
Jika pergi ke selatan, jangan lupa pergi tempat menarik di Melaka yang percuma pula.
Semoga bermanfaat.

Carian dari Google:

  • tempat menarik di penang yang percuma
Sebarkan kebaikan

Leave a Comment