Cara Untuk Fasih Berbahasa Inggeris (Supaya Lebih Confident)

Kalau boleh, semua orang mahu fasih English. Tapi, bukan semudah itu. Maka, kami akan kongsikan beberapa cara untuk fasih berbahasa Inggeris yang anda boleh cuba.

1. Jangan malu

Ini yang paling penting sekali. Cuba ubah ‘mindset‘ terlebih dahulu.Ingin ditekankan sekali lagi, inilah cara untuk fasih berbahasa Inggeris yang paling asas sekali.
Kalau hati jadi lemah bila orang ketawakan kita tak pandai berbahasa Inggeris, kena belajar kuatkan lagi hati. Bagi hati kering. Kena berani dan percaya yang kita boleh berbahasa Inggeris. ‘Broken English‘ itu biasa. Janji orang faham. Yang penting, mesej itu sampai. Lama-lama, akan jadi fasih juga.

2. Faham maksud lirik lagu

Nampak macam tak logik, tapi inilah yang saya cuba sendiri. Dulu-dulu, cuma ada kaset yang berserta dengan kertas yang ada lirik. Sekarang lagi mudah, Spotify ada. Jika mahu lirik, boleh guna Shazam atau Musixmatch.

Ada yang pertikaikan, dengar lagu melalaikan. Benar, jika dengar lagu sampai tinggal solat, berdosa. Apa salahnya, tukar sedikit pemikiran, dengan lagu untuk ilmu.
Lain dengan baca buku, dengar lagu sambil mengikuti lirik adalah cara yang bukan konvensional. Ia nampak lebih santai dan mudah diterimapakai.

3. Main permainan video

Barangkali, ramai yang kata, “Lagilah macam tak sesuai!”. Tapi percayalah, ia akan membantu mempercepatkan proses pembelajaran bahasa Inggeris. Ini kerana dalam game, ada banyak frasa bahasa Inggeris yang jarang kita guna. Bila ia diulang banyak kali, ia lekat dalam otak kita. Tidak kira samada game di komputer atau telefon bimbit, kedua-duanya akan membantu.

4. Baca kamus

Tidaklah sampai perlu rebus kamus Dewan dan minum airnya. Cukup sekadar tahu yang biasa-biasa, yang digunakan selalu dalam percakapan.
Kalau mahu bercakap, kita perlukan vocabulary. Antara sebab kita tidak mahu bercakap bahasa Inggeris ialah kerana kurangnya vocabulary yang kita boleh guna.

5. Banyak berlatih

Persetankan orang yang cakap kita ‘poyo‘ dan berlagak. Kunci kejayaan ialah praktik, praktis, praktis. Jika tidak cakap Bahasa Inggeris selalu, macam mana mahu fasih?
Jika segan cakap dengan kawan sendiri, rajin-rajinkan pergi ke tempat tumpuan pelancong. Bukannya nak jual apa-apa, sekadar ingin bertegur sapa.
Tengok mana-mana tempat yang ada banyak bas pelancong seperti Bangunan Sultan Abdul Samad dan Dataran Merdeka di Kuala Lumpur.
Peduli apa, belasah sahaja.

6. Dengar radio English

Jangan asyik dengar Era dan Hot FM sahaja. Sesekali tukar IKIM FM untuk kerohanian. Jangan lupa buka BFM 89.9 untuk mendengar bagaimana mereka bercakap dengan Bahasa Inggeris yang sangat sopan dan tersusun. Bukan mahu kata Hitz atau Mix tidak bagus. Rancangan yang berunsurkan hiburan, tidak sama dengan rancangan bual bisnes. Percayalah, jika dengar BFM 89.9 selalu, perbendaharaan kata kita dalam Bahasa Inggeris akan bertambah.

7. Baca Reddit

Jangan asyik main Facebook sepanjang masa. Kadang-kadang, kita kena larikan diri dari laman yang tidak sudah-sudah ‘troll‘ sana sini. Cuba buka Reddit atau Quora. Benar, bukan 100% ilmiah kerana ada juga ‘spam‘ yang tidak relevan langsung dengan topik. Tapi cubalah baca dan sertai sekali dalam menjawab persoalan di sana. Bila kita jawab dengan tatabahasa yang salah, akan ada orang betulkan.

8. Banyak tengok Netflix

Sedikit-sebanyak akan ada vocabulary yang kita akan dapat belajar. Kalau bukan Astro Movies, Netflix pun ada, dan langganan tidaklah terlalu mahal.
Cuba tonton cerita yang menggunakan American English dan satu lagi, British English. Nampak sama, tapi tak serupa.

9. Jangan fokus grammar

Susun ayat itu nombor dua. Banyakkan vocabulary dahulu. Baru sedap mahu berbicara. Biarlah orang nak ketawa, kita tunggang terbalik susun ayat. Janji ada orang faham.

Kesimpulan

Benar, cara untuk fasih berbahasa Inggeris bukanlah sesuatu yang boleh dikecapi dalam masa yang singkat. Lama-kelamaan, secara tidak sedar, kita akan pandai susun ayat. Teruskan berlatih.

Layari The Berkat untuk lebih banyak maklumat tentang pendidikan dan kerjaya.

Leave a Comment